Ticker

6/recent/ticker-posts

KEMEGAHAN MASJID JAMEK KUALA LUMPUR

Masjid Jamek merupakan salah satu mercu tanda bangunan bersejarah di Kuala Lumpur. Masjid Jamek juga menjadi ikonik serta tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikan senibinanya dan kedudukan yang strategik di tengah ibu kota, Kuala Lumpur. Untuk perkongsian kali ini, kami akan berkongsi beberapa info berkenaan dengan Masjid Jamek. Mungkin ada yang belum tahu especially tentang sejarah pembinaan Masjid Jamek yang kini semakin tersergam indah di Kuala Lumpur!




Lokasi Strategik 


Masjid Jamek terletak di Jalan Tun Perak. Ia terletak di persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak, Kuala Lumpur.  Mengikut sejarah, Masjid Jamek telah dibina oleh pedagang-pedagang Islam yang berasal dari India pada zaman penjajahan British. Ia menjadi sebahagian daripada mercu tanda Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam.


Kenapa Masjid Jamek menjadi tumpuan para pelancong? Sudah tentu kerana kedudukannya yang strategik dan berhampiran dengan kemudahan pengangkutan awam, stesen Putra LRT dan Star LRT iaitu stesen Masjid Jamek. Selain itu, Masjid Jamek terletak berdekatan dengan tempat tarikan yang lain seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka, 


Sejarah Masjid Jamek

Masjid Jamek dibina pada tahun 1909 dan merupakan salah satu masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Pembinaannya direkabentuk dan diselia oleh Pemangku Arkitek Kuala Lumpur, Arthur Benison Hubback yang sebelum ini bertugas di Jabatan Kerja Awam di India. 


Pihak British membina Masjid Jamek berhampiran dengan pusat pentadbiran iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad di seberang Sungai Gombak. Masjid ini memudahkan kakitangan kerajaan beragama Islam mengerjakan solat lima waktu dan solat Jumaat.


Masjid Jamek tidak dapat diperbesarkan kerana dihimpit oleh Sungai Klang dan Sungai Gombak. Awalnya , mereka yang hendak solat perlu mengambil wuduk di bucu pertemuan sungai. Beberapa lapis tangga dibina ke dalam sungai untuk memudahkan orang ramai mengambil air sembahyang. Namun, apa yang kita dapat lihat hari ini adalah kemegahan Masjid Jamek yang kian menyerlah selepas proses penambahbaikan dan naik taraf. Kini, Masjid Jamek tersergam indah!


Senibina Masjid Jamek

Seni bina masjid ini menjadikan ia sebagai mercu tanda yang kemudiannya berkembang sebagai nadi bandaraya Kuala Lumpur. Masjid Jamek merupakan masjid utama terutamnya untuk solat Jumaat dan terkenal sebagai pusat aktiviti Islam. Namun, fungsi Masjid Jamek diambil alih apabila Masjid Negara siap dibina pada tahun 1967. Kini, Masjid Jamek dibuka kepada pelancong asing untuk mengenali lebih dekat tentang Islam dan sejarah pembinaan Masjid Jamek. Namun, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan terus dijalankan di Masjid Jamek tidak kira masa dan ketika. 


Reka bentuk masjid ini menurut tata rajah tradisional India Utara, dengan dewan solat terbuka ke arah laman tertutup atau "sahn". Masjid ini diapit dengan dua menara dan beberapa menara lebih kecil. Kubah bebawang di kemuncak dewan solat dan di kemuncak menara menyerupai seni bina Moghul.


Masjid Jamek adalah contoh seni bina "rasmi" British di Malaysia yang membabitkan gabungan unsur Moor dan Mughal. Belang merah dan putih dinding batu sama seperti Masjid Jamek di Cordoba, Sepanyol, membentuk dinding luar masjid. Persamaan lain dengan masjid Moor boleh dilihat pada gerbang bertiang dalam bentuk berpetak dan perincian dengan selang jalur batu-bata, plaster dan marmar.


Kemegahan Masjid Jamek

Pentadbir Inggeris adalah pihak yang mula membawa kubah di bangunan-bangunan di Malaysia. Sumber inspirasi mereka adalah bangunan-bangunan Moghul di India. Kesannya, maka muncullah masjid berkubah di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Masjid Zahir Alor Star dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Kemuncaknya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan ibu pejabat KTM dan Stesen kereta api Kuala Lumpur semuanya mempunyai struktur kubah sebagai mercu tanda.


Apa yang menarik tentang Masjid Jamek adalah senibina dan strukturnya masih dikekalkan sehingga ke hari ini. Walaupun berpuluh-puluh tahun dibina, melalui proses naik taraf dan penambahbaikan, struktur dan senibina Masjid Jamek masih lagi dipelihara. Satu-satunya masjid tertua yang dijaga rapi, dikawal selia dan megah berdiri di tengah kota raya, Kuala Lumpur. Jujurnya, setiap mata yang memandang pasti akan terpukau dengan keindahan dan keunikan Masjid Jamek.


Untuk anda yang ingin melihat Masjid Jamek dengan lebih dekat, bolehlah kunjungi Masjid Jamek. Masjid Jamek adalah antara destinasi tarikan di Kuala Lumpur yang mudah diakses dengan pengankutan awam. Anda hanya perlu turun di stesen LRT Masjid Jamek. 

Catat Ulasan

0 Ulasan