Penerokaan negeri Cik Siti Wan Kembang tidak terhenti di Dabong sahaja. Selepas sahaja meneroka apa yang menarik di Dabong, rombongan kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Perjalanan ke Kota Bharu dari Dabong menaiki kenderaan seperti bas/kereta akan memakan masa lebih kurang 2 jam setengah melalui daerah Jeli.
PUSAT KRAFTANGAN
Destinasi pertama kami di Kota Bharu sebelum check in di hotel adalah makan malam di Pusat Kraftangan. Antara menu yang special yang dihidangkan untuk makan malam kami adalah Kari GearBox dan Sup GearBox yang sangat sedap. Firstime min makan Kari GearBox ni. Memang sedap sangat, nak pula makan dengan roti tempayan panas-panas. Memang terangkat.
Kari Gearbox
Selain dari tempat makan, kat sini juga merupakan tempat jualan barangan kraftangan dari pengusaha tempatan seperti batik, seramik dan lain-lain.
Alamat : LOT 1481, Bunut Payong, 3901,
Jalan Kuala Krai, Bandar Kota Bharu, 15150 Kota Bharu, Kelantan
H ELITE DESIGN HOTEL, TUNJONG
Selesai makan malam, kami terus menuju ke H Elite Design Hotel yang berada di Tunjong. Hotel ini merupakan hotel bertaraf 4 bintang yang baru sahaja beroperasi di Kota Bharu yang mempunyai kolam renang dan sangat sesuai untuk percutian keluarga.
Kolam renang untuk orang dewasa
Kolam renang untuk kanak-kanak
Hotel ini menyediakan kemudahan parkir percuma, wifi percuma, gym, kolam renang, laundry dan banyak lagi. Untuk tempahan, korang boleh lakukan di : https://h-elite-design-hotel-kota-bharu.booked.net/
Alamat : AG- G -09 , AlWaqf @ Tunjong,
Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan
WARUNG PAK MAT PULAU PISANG
Kami berpeluang bersarapan pagi di Warung Pak Mat Pulau Pisang yang cukup popular dengan menu Teh Madu beliau. Selain Teh Madu, kat sini juga ada menawarkan pelbagai jenis makanan untuk makan tengahari termasuk ikan singgang, ayam percik dan banyak lagi.
Alamat : Jalan Kuala Besar, Kota Bharu
Operasi : 7.30pagi – 4.30ptg (Selasa tutup)
PANTAI SURI FLOATING MARKET
Selesai sarapan pagi di Warung Pak Mat Pulau Pisang, kami meneruskan perjalanan kami menaiki bot di jeti Medan Ikan Bakar di sebelah Warung Pak Mat Pulau Pisang untuk ke Pasar Terapung Pantai Suri. Jika anda membeli pakej bot di sini, anda akan dikenakan charge RM15 seorang pergi dan balik.
Jadi tak perlu lagi ke negara jiran kalau nak rasai pengalaman membeli belah di pasar terapung ni kerana di Kelantan pun ada dan lebih unik kerana ianya terletak di sebuah pulau kecil dengan suasana yang sangat tradisional.
Untuk pengetahuan korang, Pasar Terapung Pantai Suri merupakan 'floating market' pertama di Malaysia. Kini mereka sudah mempunyai 20 orang peniaga yang meniaga di atas sampan dimana semua peniaga-peniaga ini merupakan penduduk setempat. Banyak makanan dijual termasuklah jeli kelapa, kerabu nipah, lokan bakar, etok-etok salai, kuih muih Kelantan dan teh beng madu yang sedap semuanya.
Kerabu bunga nipah
Kalau korang ke sini, ambillah peluang untuk cuba kerabu bunga nipah yang sudah semestinya susah untuk korang dapat di tempat lain. Selain itu, ada juga beberapa gerai jualan yang berada di atas darat.
Pertandingan Kokok Ayam
Semasa kehadiran kami di sini, kami bertuah kerana dapat dihiburkan dengan persembahan dikir barat dan pertandingan hobi ayam kokok masyarakat Kelantan. Memang betul-betul unik dan bertradisi sangat.
Untuk pengetahuan korang, pasar terapung ini hanya dibuka pada setiap hari Sabtu sahaja bermula jam 8 pagi hingga 3 petang. Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM1 untuk dewasa dan kanak-kanak bawah 12 tahun pula percuma.
Cara kedua untuk korang datang kesini selain melalui jeti Medan Ikan Bakar (MIB) adalah dengan menaiki bot di jeti Kuala Besar. Di sini korang boleh datang dan tunggu bot secara walk-in tanpa membeli pakej terlebih dahulu. Harga tambang pun lebih murah iaitu hanya RM2 seorang untuk sehala.
Alamat : Pulau Suri
Operasi : 8.00 pagi – 3.00 petang (Sabtu sahaja)
BATIK AYU FASHION
Bila dah sampai di Kelantan, tak lengkap rasanya kalau tidak mencari koleksi batik Kelantan kan? Jadi, untuk mendapatkan koleksi batik Kelantan yang berkualiti tinggi korang bolehlah ke Bengkel Batik Ayu Fashion di Kampung Talak.
Untuk pengetahuan korang, Ayu Fashion terkenal dengan pembuatan batik cop dengan kaedah tradisional blok. Yang menjadikan setiap koleksinya menjadi exclusive, blok yang di gunakan adalah tiada corak yang akan berulang. Maksudnya, koleksi batik yang anda beli tidak akan sama dengan mana-mana batik lain . Malah pemiliknya juga berani memberi jaminan jika ada corak batik yang sama beliau sanggup membayar dua (2) kali ganda daripada harga kain berkenaan kepada pelanggan.
Jika korang berpeluang untuk masuk ke bengkel mereka, korang pasti teruja melihat ribuan blok yang telah digunakan, dipamerkan di dinding dan bumbung dalam bengkel Ayu Fashion. Kesemuanya lebih kurang dalam 5000 blok cop batik. Fuh!! Banyak bukan?
Alhamdulillah, kami juga diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman melakukan proses pengecopan lilin. Ternyata ianya bukanlah satu proses yang mudah kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi. Dah selesai tengok proses pembuatan batik, jangan lupa untuk ke butik mereka untuk membeli batik yang dah siap.
Alamat : Lot 1088, Kampung Talak,
16210 Tumpat, Kelantan.
SABYE SABYE CAFE
Bagi yang tertanya-tanya kat mana nak makan untuk makan malam bila ada di sini, saya cadangkan korang datang ke Sabye Sabye Cafe. Kat cafe ni korang boleh dapat pelbagai jenis menu makanan termasuklah masakan panas melayu, western food, thai food dan juga korean food.
Dekorasi cafe yang sangat instagrammable
Sup Belut yang super awesome!
Spicy Korean Chicken with Cheese
Selain tu korang boleh cuba menu bingsu diorang. Macam-macam lagilah makanan best kat sini yang korang kena cuba. Harga pun berpatutan. Tak hairan Sabye Sabye Cafe ni selalu penuh dengan pelanggan.
Alamat : PT 647/3(Bawah),
Kampung Paloh, 16040 Wakaf Bharu, Tumpat Kelantan.
Operasi : 3.00 petang – 12.00 malam (Rabu tutup)
GALERI WAYANG KULIT TRADISIONAL KELANTAN
Tidak jauh dari Sabye Sabye Cafe, korang boleh ke Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan. Galeri ini telah dibangunkan oleh seorang Tok Dalang terkenal di Kelantan yang mesra dipanggil Pak Dain. Untuk pengetahuan korang, Pak Dain merupakan satu-satunya Tok Dalang Wayang Kulit Tradisional Kelantan yang diiktiraf dan mendapat akreditasi di negara ini serta mahir menguasai antara 30-40 watak wayang kulit.
Bagi memastikan warisan wayang kulit ini tidak pupus, Pak Dain juga turut menyediakan mini galeri yang mengumpulkan koleksi wayang kulitnya, membuat bengkel untuk belajar wayang kulit serta membuat patung wayang kulit.
Salah satu usaha Pak Dain dalam memperkenalkan dan menarik minat anak muda pada seni wayang kulit ini, beliau telah mencipta wayang kulit Star Wars yang telah dipersembahkan di tiga buah negara iaitu Perancis, Singapura dan China.
Alamat : Simpang 3 Morak,Kampung Paloh, Wakaf Bharu,
16040 Tumpat Kelantan
Website : https://wayangpakdain.com.my/
Catatan blog ini dapat diwujudkan menerusi program
Ekspresi Media Kelantan 2020
Anjuran Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK2020)
pada 16-20 Julai 2020, di Dabong, Tumpat & Kota Bharu, Kelantan
1 Ulasan
Kelantan memang best.
BalasPadamSayangnya kalau ke sana tak sempat teroka banyak tempat.
Apa pun memang sangat puas hati dengan makanan tempatan. Sedap-sedap belaka!