Tempat-Tempat Menarik Yang Boleh Dikunjungi Di Sarawak | Apabila tiba hujung tahun pasti ramai yang mula mencari-cari lokasi untuk pergi bercuti kan. Ada yang memilih untuk ke luar negara tetapi tak kurang juga yang memilih lokasi di dalam Malaysia. Ya, banyak lokasi yang menarik ada di Malaysia tau. Untuk kali ni saya ingin berkongsi bersama pembaca tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Sarawak.
Kenapa Sarawak?? Ha, kerana saya baru sahaja pulang dari negeri ini. Secara jujurnya ini kali pertama saya menjejakkan kaki di negeri Sarawak dan terpesona dengan keindahan negeri yang digelar Sarawak Bumi Kenyalang ini baik dari segi struktur muka bumi dan juga kebudayaannya. Seperti yang kita tahu di Sarawak ada pelbagai kumpulan etnik antaranya Iban, Bidayuh, Melanau, dan Orang Ulu. Jadi peluang yang ada ini sis ambil untuk melihat dan merasai sendiri suasana masyarakat di Sarawak.
Terima kasih diucapkan kepada pihak Tourism Malaysia yang menganjukan program LAWATAN EKSPRESI MEDIA INFLUENCER CUTI-CUTI MALAYSIA SARAWAK (9 - 13 NOVEMBER 2022) dan memberi peluang kepada saya selaku wakil dari Projek Travel untuk menyertai program lawatan ini. Sepanjang berada di sini selama 4 hari, berikut antara tempat-tempat menarik yang saya kunjungi di Sarawak :
Gua Pari-Pari (Fairy Cave), Bau
Bagi mereka yang menggemari untuk meneroka keindahan alam, Gua Pari-Pari atau juga dikenali sebagai Fairy Cave merupakan destinasi yang boleh dikunjungi semasa berada di Sarawak. Gua Pari Pari merupakan gua batu kapur terletak di kawasan Krokong, Bau kira-kira 40km dari Bandar Kuching. Anggaran keluasan kawasan Gua Pari-Pari ini adalah lebih kurang 56 hektar. Wah, sangat luas tu.
Apabila tiba di perkarangan tempat masuk ke Gua Pari-Pari, kelihatan struktur anak tangga untuk naik ke pintu gua. Jadi kita tidak perlu memanjat ataupun hiking, cuma perlu memanjat anak tangga sahaja tapi boleh tahan tinggi juga ye tangga dia. Tu baru nak masuk ke pintu gua tau. Jadi saya sarankan sebelum naik, sila la ke tandas dulu. hehe..
Setelah sampai ke pintu gua, bermula la cabaran sebenar untuk memasuki Gua Pari-Pari. Terdapat tiga laluan di dalam gua iaitu Twilight Trail, Dark Trail dan Summit Trail. Kami hanya akan melalui dua laluan sahaja iaitu Twilight Trail dan Dark Trail. Walaupun laluan di dalam gua tidak terlalu ekstrem tetapi masih perlukan stamina yang tinggi kerana ada banyak anak tangga dan juga beberapa laluan yang licin, sempit dan gelap. Jadi sila masuk dengan pakaian yang sesuai dan juga jangan lupa untuk bawa headlamp.
Apabila berada di dalam Gua Pari-Pari, Subhanallah masing-masing terpegun dengan keindahan alam ciptaan tuhan. Saya sendiri terpesona dengan struktur gua yang terhasil dari pembentukan stalaktif dan stalagmit yang memakan masa berjuta-juta tahun. Di laluan Twilight Trail ni juga terdapat bukaan di mana cahaya matahari dapat masuk seterusnya menyinari kawasan ini di waktu pagi. Jadi, tumbuhan yang hidup di sini akan mengadap ke arah cahaya tersebut.
Di kawasan ini juga merupakan Favourite Spot para fotografer kerana lighting kat sini On Point. Malah di sini juga ada disediakan beberapa platform kayu untuk berehat dan bergambar. Apalagi, saya juga tidak ketinggalan untuk mengabadikan beberapa keping gambar sebagai kenangan. Jauh tau datang ke sini dari semenanjung. Rugi la kalau tak berposing di dalam Gua Pari-Pari ni kan.. hehe
Setelah berehat sebentar sambil bergambar di Twilight Trail, kami meneruskan perjalanan untuk ke Dark Trail pula. Ketika memasuk ke laluan Dark Trail, staff dari SFC iaitu En Sobri ada menunjukkan satu bentuk struktur stalagmit yang unik dan menyerupai Dewa Guan Yin (The Goddes Of Mercy). Jadi sebab itulah gua ini mendapat nama Gua Pari-Pari.
Selain itu, gua ini juga mempunyai kisah yang misteri dimana ia dikatakan bahawa pada dahulu kala terdapat sekumpulan manusia yang tinggal di situ, namun mereka kerap mendera kanak-kanak yang menyebabkan ‘penghuni’ gua (pari-pari) menyumpah mereka menjadi batu. Kebenaran kisah ini tidak dapat disahihkan dan hanyalah sekadar cerita legenda Gua Pari Pari. Namun apa yang pasti gua ini pernah menjadi tempat persembunyian tentera Jepun suatu ketika dahulu. Kini Gua Pari-Pari telah diwartakan sebagai rezab di bawah Perbadanan Perhutanan Sarawak.
Alamat :
Gua Pari-Pari
94000 Bau, Sarawak
Harga Tiket :
RM 1 Dewasa (Warganegara)
RM 5 Dewasa (Pelancong Asing)
Waktu Masuk :
Selasa hingga Ahad
9am hingga 4pm
Paku Rock Maze Garden, Bau
Biasanya bila kita masuk hutan terdapat banyak pokok-pokok kan tapi pernah tak masuk 'Hutan Batu'? Hutan batu di sini bukan bermaksud bangunan tetapi memang betul-betul kawasan yang dipenuhi dengan batu pelbagai bentuk. Lokasi yang saya maksudkan adalah Paku Rock Maze Garden yang terletak di Bau, Sarawak.
Kawasan pembentukan batu semulajadi ini tersembunyi dan terletak di belakang tokong cina. Menyedari kawasan ini mempunyai keunikannya yang tersendiri maka penduduk di kawasan ini mengambil inisiatif untuk membangunkan kawasan ini dan mula menjadi tarikan kepada pelancong pada sekitar tahun 2021.
Apabila menusuri laluan di dalam kawasan batuan ni memang mengasyikkan dengan pelbagai rupa batu yang menarik. Tetapi awas, sila ikut papan tanda arah agar tidak sesat kerana laluan nya agak mengelirukan. Oh ya, kami rasa teruja apabila dapat melihat sendiri satu struktur batu yang kelihatan seperti bentuk kepala dinasour 'T-Rex'. Ha, nampak tak? Kalau tak nampak, perhatikan betul-betul ye.
Alamat :
C5GV+G2, 94000 Bau, Sarawak
(Belakang Kuil Shiwang)
Bayaran masuk :
Percuma
(sumbangan dialu-alukan untuk memelihara kawasan Paku Rock Maze Garden)
Tasik Biru, Bau
Ketibaan kami di Tasik Biru disambut dengan hujan lebat jadi kami kena menunggu hujan reda untuk melihat keindahan Tasik Biru. Untuk pengetahuan semua, Tasik Biru ni bukan lah tasik semulajadi tapi merupakan bekas lombong emas terkenal di negeri Sarawak. Ia terbentuk hasil daripada aktiviti perlombongan emas yang dijalankan oleh pelombong Cina Bau.
Dahulu nama asal tasik ni dikenali sebagai Tasik Tai Parit yang bermaksud parit besar dalam bahasa Cina Hakka. Pada tahun 1970-an nama tasik ini ditukar kepada Tasik Biru kerana airnya yang kelihatan kebiruan. Namun ada kisah yang tasik ini dinamakan sedemikian kerana dipercayai menyimpan emas paling cantik serta berkualiti di dunia. Terdapat beberapa lagi kisah misteri dan mitos yang menjadi bualan namun kini Tasik Biru semakin mendapat perhatian dan tarikan para pelancong.
Sekarang Tasik Biru dah semakin meriah dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk rekreasi dan pelancongan. Antaranya seperti food village, para penjaja makanan, tandas, taman rekreasi dan macam-macam lagi. Di tengah-tengah juga ada jambatan terapung untuk merentas tasik. Di seberang tasik siap ada resort tau iaitu Roxy Tasik Biru Resort. So kalau ada yang berminat nak menginap di sini juga boleh.
Setelah menunggu seketika, hujan pun reda. Kami rasa bertuah dapat merasai pengalaman naik bot dan menyusuri keindahan Tasik Biru. Bukan tu sahaja, rupanya di seberang juga ada air terjun yang cantik tau. Apalagi, masing-masing ambil peluang untuk mengabadikan kenangan di sini. Memang cantik dan berbaloi datang ke Tasik Biru ni.
Alamat :
Tasik Biru
94000 Bau, Sarawak, Malaysia
Waktu Operasi :
Isnin Hingga Jumaat : 10am – 6pm
Sabtu, Ahad & Cuti Umum : 9am – 6pm
Harga Tiket :
Menaiki Bot
1 trip pusing tasik termasuk 1 way ke Roxy Rock Café (balik melalui jambatan)
RM10 Dewasa / RM5 Kanak-kanak
Pedal Boat
- Menaiki pedal boat selama 30 minit
- boleh melalui jambatan terapung
RM10 seorang
Jambatan Terapung
Menyeberang tasik melalui jambatan terapung
Tiket adalah RM10 (setiap dewasa + percuma 2 minuman dalam tin)
RM5 (setiap kanak-kanak + percuma 1 minuman dalam tin)
*Dewasa (13 tahun ke atas), Kanak-kanak (2 – 12 tahun)
*Redeem minuman percuma di Roxy Rock Café
Sarawak Culture Village (Kampung Budaya Sarawak)
Seperti yang saya sebutkan di atas, Sarawak mempunyai pelbagai kumpulan etnik. Setiap etnik mempunyai bahasa, kebudayaan, dan cara kehidupan yang tersendiri. Jadi rugi rasanya kalau datang ke Sarawak tapi tidak melihat sendiri kebudayaan mereka di sini. Namun masalahnya sempat ke nak explore dalam masa 4 hari? Jawapannya boleh dengan berkunjung ke Sarawak Culture Village.
Sarawak Culture Village telah dibuka secara rasmi pada tahun 1990 dan lokasinya terletak di kawasan kaki Gunung Santubong, kira-kira 45 minit dari Bandar Kuching. Sarawak Culture Village merupakan sebuah 'muzium hidup' di mana kita dapat merasai pengalaman yang terindah bagi dan menyaksikan sendiri tradisi Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan budaya.
Perkampungan yang seluas 17 ekar ini mempunyai rumah-rumah budaya dari pelbagai bangsa seperti Rumah Panjang, Rumah Bidayuh, Rumah Iban, Rumah Orang Ulu, Rumah Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Dalam setiap rumah akan ada penduduk yang berpakaian tradisional melakukan aktiviti harian mengikut etnik masing-masing. Jadi apabila masuk sahaja ke dalam setiap rumah, kita akan dapat belajar secara langsung kebudayaan mereka. Jangan risau, orang-orangnya peramah tau.
Setelah berjalan hampir ke setiap rumah dengan cuaca yang panas pasti rasa penatkan. Jadi untuk menghilangkan rasa penat, boleh la berehat sebentar sambil menonton persembahan teater kebudayaan di dalam dewan yang berhawa dingin. Persembahan selama 45 minit ini menyaksikan pelbagai jenis tarian dipersembahkan dan ada juga aksi menggunakan sumpit. Rata-rata penonton terhibur dengan keletah lucu penari yang cuba menyumpit belon.
Di akhir persembahan juga kami diberi peluang untuk naik ke pentas menari bersama-sama dengan penari. Memang best.
Alamat :
Sarawak Culture Village
Pantai Damai Santubong,
Kampung Budaya Sarawak,
93752 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi :
Dibuka setiap hari
9am hingga 4pm
Persembahan Kebudayaan :
1st Show : 11.30am
2nd Show : 4.00pm
Harga Tiket :
RM95 Dewasa / RM60 kanak-kanak (2 tahun hingga 12 tahun)
Borneo Culture Museum
Tersergam indah sebuah bangunan berwarna kuning keemasan pasti membuatkan hati tertarik untuk memasuki bangunan ini. Mula dibuka pada 9 Mac lalu, Borneo Cultures Museum merupakan muzium yang terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara. Muzium Ikonik ini juga merupakan sebahagian daripada Kompleks Muzium Sarawak yang terdiri daripada Muzium Sarawak, Muzium Warisan Islam, Muzium Seni Sarawak, Muzium Sejarah Semulajadi, Akuarium Kuching, Bangunan Pejabat Annex dan Bangunan Taksidermi.
Lebih mengujakan bangunan lima tingkat yang serba moden ini mempunyai reka bentuk seni bina tersendiri yang memaparkan keunikan kraf tradisional dan kekayaan warisan budaya masyarakat Sarawak. Sebelum pulang ke Semenanjung, kami sempat singgah di sini untuk menjelajah sendiri keunikan yang ada di muzium ini. Berikut merupakan bahagian-bahagian dalam Borneo Cultures Museum ini :
Level 1 :
- Temporary Exhabition Gallery
- Museum Auditorium
- Museum Function Room
- Museum VIP Lounge
- Museum Shop
- Museum Restaurant
Level 2 : Children's Gallery (Galeri Kanak-Kanak)
- Love Our Rivers (Sayangi Sungai Kita)
- Arts & Crafts (Seni & Kraf)
Level 3 : Permenant Gallery (Galeri Tetap)
- In Harmony With Nature
~ Coastal
~ Rainforest
~ Highlands
- Museum Education Room 3
Level 4 : Permemant Gallery (Galeri Tetap)
- Time Changes (Peredaran Masa)
~ Cave Discoveries and Borneo and Empires (Penemuan Arkeologi dan Kepulauan
Borneo dan Empayar Luar)
~ The Making Of Sarawak and Sarawak in Motion (Sejarah Pembentukan Sarawak
Dan Kebangkitan Sarawak)
- Multipurpose Room 2
- Museum Education Room 4
Level 5 : Permemant Gallery (Galeri Tetap)
- Objects of Desire (Objek Idaman)
~ Trade and Craftmanship (Perdagangan dan Seni Kraftangan)
~ Powerful Designs and Status (Seni Ukiran Spiritual dan Status)
- Museum Education Room 5
Rata-rata kami semua berasa kagum apabila menusuri segala ruang yang ada di dalam muzium ini. Banyak perkara dan info terutama mengenai sejarah dan kehidupan masyarakat Sarawak boleh didapati di sini. Apa yang menariknya muzium ini bukan sekadar mempamerkan khazanah dan artifak malah muzium ini juga menerapkan aspek interaktif dan penggunaan teknologi maklumat terkini bagi memberi impak yang lebih mendalam.
Saya tidak mahu berkongsi lebih mendalam apa yang ada di dalam Borneo Cultures Museum ni sebab nanti tak surprise la kan. Jadi saya sarankan jika berkunjung ke Sarawak, jangan lupa datang ke Borneo Cultures Museum.
Alamat :
Borneo Cultures Museum
Jalan Tun Abang Haji Openg,
93400 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi :
Isnin hingga Jumaat
9:00 am - 4:45 pm
Sabtu, Ahad, Cuti Umum :
9:30 am - 4:30 pm
Kecuali :
Chinese New Year (01 February 2022)
Labour Day (01 May 2022)
Eid al-Fitr (03 May 2022)
Harvest Day (01 June 2022)
Malaysian Indepedence Day (31 August 2022)
Birthday TYT of Sarawak (08 October 2022)
Christmas Day (25 December 2022)
Harga Tiket :
Setelah 4 hari berada di sini ternyata saya sudah mula jatuh cinta dengan keindahan bumi Sarawak baik dari alam semulajadi hingga ke kebudayaan masyarakat dari pelbagai kumpulan etnik. Satu pengalaman yang sangat berharga buat kami semua. Semestinya saya akan kembali lagi ke sini pada masa akan datang. Kepada sesiapa yang ingin ke Sarawak, sila masukkan senarai 'Tempat-Tempat Menarik Yang Boleh Dikunjungi Di Sarawak' di atas ye..
0 Ulasan