Jika kalian pernah menjejakkan kaki di Dataran Rehal di Kota Bharu, kalian mesti pernah melihat struktur bangunan batu bata berbentuk empat segi yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan.
Untuk pengetahuan kalian, bangunan tersebut digelar sebagai Bank Pitis yang mana ianya merupakan sebuah bangunan batu tertua yang telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (Long Kundor bin Sultan Ahmad) mulai tahun 1889- 1890. Bangunan ini digunakan sebagai bilik kebal untuk menyimpan pitis/wang perbendaharaan Negeri dan dokumen-dokumen penting kerajaan Kelantan pada masa itu.
Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak (kunci) yang diperbuat daripada besi.
Kawasan ini adalah merupakan tapak asal bangunan Pentadbiran Kerajaan Kelantan yang dikenali dengan nama "Opis Panjang". Bangunan opis panjang ini telah dirobohkan sekitar tahun 1940-an. Dalam tahun 1906, negeri Kelantan mula mengeluarkan mata wang sendiri dikenali dengan nama "pitis".
Pitis ini diperbuat dari timah berbentuk bulat, berkeping dan berlubang di tengah dan nilainya adalah 5 keping bersamaan dengan 1 sen. Selain dari "pitis", jenis-jenis mata wang lain yang pernah digunakan di Kelantan pada kurun ke-16 hingga 19 ialah:
- Duit syiling Kijang
- Dinar Matahari
- Syiling emas bertulisan Arab di kedua belah muka.
Dalam tahun 1909, kesemua keluaran duit syiling Kelantan telah dihentikan apabila British mula mengeluarkan duit syiling negeri-negeri Selat. Bangunan Bank Pitis ini tidak lagi berfungsi apabila bank-bank perdagangan yang pertama di Kelantan iaitu The Mercantile Bank of India Ltd. dikenali "Bank Kerapu" ditubuhkan pada tahun 1912.
Semoga artikel mengenai Bank Pitis Di Kota Bharu Kelantan yang kami kongsikan di atas dapat memberi kalian inspirasi & menambah info mengenai tempat bersejarah yang ada di negeri Kelantan. Sila kongsi di sosial media kalian untuk manfaat bersama. Selamat cuti-cuti Malaysia di Kelantan. Wassalam.
Ikuti kami di media sosial:
Facebook : @projektravel https://www.facebook.com/projektravel
Twitter: @projektravel https://twitter.com/ProjekTravel
Instagram : @projektravel https://www.instagram.com/projektravel/
TikTok: @projektravel https://www.tiktok.com/@projektravel
0 Ulasan