Ticker

6/recent/ticker-posts

Pengalaman Ke Rumah Panjang Iban Untuk Sambutan Hari Gawai Di Betong Sarawak

open house gawai sarawak

Sarawak, sebuah tanah yang kaya dengan warisan budaya suku Dayak, memberikan pengalaman mengasyikkan kepada pengunjung yang ingin meneroka dan merasai pesona kehidupan tradisional. Min dan beberapa rakan yang lain  telah berpeluang menjadi sebahagian daripada peserta FAM Trip anjuran Tourism Malaysia ke Betong Sarawak untuk memenuhi jemputan rumah terbuka Gawai Dayak di rumah panjang Orang Iban Matop.


Perjalanan ke Betong, Sarawak memakan masa lebih kurang 3 jam dengan menggunakan kenderaan dari bandar Kuching. Setibanya di Rumah Panjang Matop, kami terpegun dengan keindahan seni bina yang cukup berbeza dengan rumah yang biasa kita dapat lihat di semenanjung. Rumah panjang 28 pintu yang dibina pada tahun 1941 ini berdiri kukuh dan gah dengan sokongan puluhan kayu belian besar.

Upacara Miring

Sebelum majlis rumah terbuka dimulai dan tetamu dijemput masuk ke dalam rumah panjang, masyarakat Iban akan melakukan satu upacara penting iaitu upacara miring.  Upacara ini dipercayai oleh masyarakat orang Iban untuk menghormati ‘petara’, roh dan nenek moyang.

rumah panjang matop

Secara umumnya, upacara miring diadakan adalah bertujuan untuk memberkati, melindungi, membawa kebahagian, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat Iban. Yang membuatnya unik adalah setiap daerah/kampung mempunyai cara mereka tersendiri bagaimana melakukan upacara ini.

Adab & Adat Masuk Ke Rumah Panjang

Setelah upacara miring selesai. Para tetamu yang hadir dijemput masuk ke rumah panjang dengan hormatnya. Harus diingatkan bahawa, untuk masuk ke rumah panjang ada adab dan adat yang perlu kita patuhi. Antaranya adalah dengan membuka kasut/selipar dan berjalan perlahan-lahan melalui laluan khas yang dipanggil 'tempuan'.

rumah terbuka gawai dayak

Ini menunjukkan adab dan menghormati budaya masyarakat Iban. Sebelum kami dapat duduk atau melakukan aktiviti lain di dalam rumah panjang, kami di haruskan untuk berjalan dan melalui kesemua pintu-pintu rumah yang ada sebagai tanda pengenalan diri sebagai orang baru yang masuk ke rumah mereka. Setiap pintu yang kami lalui akan menawarkan segelas air, seperti tuak, minuman tradisional Iban.

Bagi yang muslim, kita boleh menolak pemberian air tuak tersebut dengan cara terhormat dan boleh memilih air lain yang mereka sediakan seperti coke dan sebagainya.


Sepanjang perjalanan melalui pintu-pintu ini, min dapat merasai kemesraan dan kebersamaan masyarakat Iban yang sangat menjunjung tinggi nilai persaudaraan. Apabila min sampai di pintu terakhir di rumah panjang ini, min merasakan kehadiran semangat tradisi yang kuat dan berasa terhubung dengan warisan budaya yang sangat berharga.

rumah panjang matop
Bersama rakan pencipta kandungan dari semenangjung Malaysia
Sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Matop bukan sekadar meraikan musim menuai dan tahun baharu, tetapi juga tentang mengekalkan identiti budaya yang unik. Semasa sambutan itu, hidangan khas orang Iban dihidangkan kepada tetamu, memperkayakan pengalaman gastronomi. Min dan rakan-rakan media muslim yang lain turut jamu dengan hidangan HALAL yang khusus.

Pengalaman ini benar-benar memberikan keajaiban yang tidak dapat dilupakan. Kami berasa diterima mesra oleh masyarakat Iban dan menyaksikan kehidupan dan tradisi mereka yang berharga dari dekat.

Lawatan ke Rumah Panjang Matop memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya Iban dan memberi inspirasi kepada kami untuk melindungi dan menghormati warisan budaya kita yang pelbagai.

Catatan blog ini dapat diwujudkan menerusi program FAM Trip Gawai Dayak Open House & Parade, iaitu lawatan media yang diadakan pada 8 hingga 10 Jun 2023 lalu. Acara itu telah dianjurkan oleh Tourism Malaysia sempena mempromosikan Negeri Sarawak.

Catat Ulasan

0 Ulasan