Rasai Pengalaman Kembara Mesra Muslim di Australia Barat | Kembara jalanan di luar negara menawarkan gabungan sempurna antara keseronokan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ia memberikan anda peluang untuk meneroka kawasan yang belum pernah dijejaki, merasa pengalaman baharu dan meluaskan perspektif anda, di samping membolehkan anda menikmati keindahan dan keajaiban destinasi tersebut.
Jika anda sedang merancang untuk pergi bercuti, sama ada ke percutian penuh santai atau perjalanan penuh pengembaraan yang mesra Muslim, di mana pengembaraan jalan terbuka menanti anda, Australia Barat adalah jawapannya. Negeri terbesar Australia tersebut merupakan destinasi yang mengalu-alukan semua jenis pelancong termasuklah pengembara Muslim. Selain daripada menyediakan beberapa kemudahan dan perkhidmatan mesra Muslim di seluruh negeri untuk keselesaan para pengembara Muslim, Australia Barat juga menghargai kepelbagaian budaya.
Perth (Boorloo), ibu negeri Australia Barat, hanyalah lima jam penerbangan daripada Kuala Lumpur. Berikut merupakan beberapa idea untuk membantu anda memulakan kembara jalanan mesra Muslim anda.
Hub Aktiviti dan Penerokaan Budaya
Banyak tempat awam, hotel dan restoran di Australia Barat menawar pilihan makanan halal dan kemudahan untuk solat bagi memenuhi keperluan pengembara Muslim. Terdapat juga sejumlah masjid yang boleh dijumpai di bandar-bandar utama seperti Perth, Fremantle (Walyalup) dan Broome (Rubibi). Anda juga boleh mencuba pelbagai makanan halal yang ditawar di daerah berbeza, daripada buah-buahan dan sayur-sayuran segar ke makanan laut penuh enak terus daripada lautan, atau meneroka warisan budaya negeri tersebut yang penuh kaya dengan melawat masyarakat tempatan, termasuklah komuniti Melayu di Katanning.
Nikmati makanan laut segar dan penuh dan enak di Fremantle Fishing Boat Harbour
Kredit foto: Tourism Western Australia
Untuk lebih banyak inspirasi berkenaan destinasi dan pengembaraan jalanan mesra Muslim, siri ‘Travelog Western Australia’ wajib ditontoni. Sepanjang siri tersebut, anda akan mendapat tahu mengenai pelbagai budaya berlainan dan belajar mengenai kemudahan-kemudahan dan tarikan mesra Muslim yang tersedia untuk anda terokai.
“Salah satu perkara yang kami nanti-nantikan dalam perjalanan kami ke Australia Barat adalah makanannya. Kami seronok dapat mencuba pelbagai makanan halal di Australia Barat, tambahan lagi kerana kami tahu bahawa semua daging disediakan adalah secara halal. Terdapat pelbagai pilihan hasil tanaman segar di sini, dan kami lega kerana semuanya halal. Masjid senang dijumpai, namun kami juga boleh bersolat di mana-mana sahaja termasuklah di taman dan ruangan awam. Kami juga hargai sesetengah restoran menyedia ruangan yang bersih untuk kami bersolat,” ujar editor travelog Saiful semasa perjalanan beliau ke Australia Barat baru-baru ini.
“Kami syorkan para pengembara untuk mengambil sebanyak mana masa yang mereka perlukan untuk meneroka lanskap Australia Barat yang luas dan indah. Keputusan kami menyewa kereta untuk sebuah pengembaraan jalanan ternyata merupakan keputusan terbaik, kerana ia membolehkan kami meneroka pelbagai kawasan berbeza serta tarikan-tarikan unik destinasi tersebut. Salah satu saat yang paling kami ingati adalah ketika merasai hospitaliti komuniti Melayu di Katanning, yang melayan kami seperti keluarga. Pengalaman inilah yang mendorong kami untuk mengatakan bahawa percutian ke Australia Barat perlulah ada dalam senarai impian setiap orang.”
Kembara Jalanan
Salah satu faedah pengembaraan jalanan di Australia Barat yang mesra Muslim merupakan elemen spontan dan fleksibel yang ditawar. Dengan keupayaan untuk menerokai negeri tersebut mengikut jadual anda dan akses ke kemudahan mesra Muslim, anda boleh menjelajahi tempat-tempat tersembunyi dan mengagumi keindahan alam sekitar sambil berseronok sepanjang perjalanan ke destinasi tujuan anda.
Bunga-bunga liar di Coalseam Conservation Park
Kredit foto: Tourism Western Australia
Destinasi-destinasi di Australia Barat boleh dijelajahi dengan kereta dalam tempoh beberapa hari, minggu atau lebih - bergantung kepada jadual anda. Salah satu laluan pengembaraan jalanan yang popular di Australia Barat ialah Coral Coast yang merentasi Exmouth dari Perth. Di sepanjang jalan, anda dapat menyaksi pelbagai tarikan dan pengalaman seperti gaung, pantai berpasir putih, beting pasir dan pelbagai hidupan laut unik seperti penyu, dugong, ikan lumba-lumba liar dan kemungkinan ikan paus bungkuk.
Sekiranya anda inginkan gabungan antara pengembaraan urban dan alam sekitar yang tidak dapat dilupakan, terokalah jalan dengan pemandangan indah ke barat daya Perth. Di sini, anda akan disapa dengan hutan-hutan menjulang tinggi dan puncak gunung yang bergabung dengan lautan indah. Sambil meneroka daerah tersebut, anda turut dapat merasa hasil-hasil segar seperti makanan laut segar dan buah-buahan tempatan di ladang anggur, ladang pertanian dan pasar tani seperti Olio Bello dan Bunbury Farmers Market.
Walaupun terdapat banyak laluan kereta untuk dipilih dan tarikan untuk diterokai, panduan kembara jalanan Australia Barat adalah sebuah sumber bernilai untuk para pengembara. Ia menampilkan peta yang dipenuhi destinasi-destinasi ikonik untuk diterokai, pilihan perjalanan pendek dan panjang, laluan bunga-bunga liar dan kalendar alam sekitar untuk membantu dalam perancangan anda.
Jadi, apa lagi yang anda nantikan? Mulakan mengemas dan bersedia untuk pengembaraan anda ke Australia Barat dan terokai kesemua keajaiban sepanjang perjalanan anda. Untuk maklumat lanjut mengenai Australia Barat, sila layari www.westernaustralia.com.
0 Ulasan