LaMain Voyage II: Pengalaman Pakej Sailing Trip Mewah Labuan Bajo

pengalaman naik lamain voyages 2 labuan bajo
Kongsi Artikel ini

LaMain Voyage II: Pengalaman Pakej Sailing Trip Mewah Labuan Bajo

Bercuti atas kapal mewah di Laut Flores? Bunyi macam mimpi kan? Tapi inilah pengalaman sebenar yang korang wajib cuba.. at least sekali dalam seumur hidup. Tak cuba, rugi!

Baru-baru ni, min berpeluang sertai sailing trip paling eksklusif dalam hidup menaiki LaMain Voyage II, sebuah kapal Phinisi tradisional Indonesia yang elegan dan penuh gaya di Labuan Bajo. Dari mula naik sampai turun, setiap detik memang unreal. Jom min kongsikan pengalaman luar biasa ni; mana tahu, ini bakal jadi trip impian korang juga!

Dari Darat ke Laut: Babak Pertama Pelayaran Kami

Pelayaran kami bermula dengan gaya; sehari sebelum pelayaran, kami menginap di resort mewah AYANA Komodo Waecicu Beach, salah satu penginapan bertaraf 5 bintang terbaik di Labuan Bajo. Lokasinya yang menghadap laut memberikan kami rehat yang sempurna sebelum memulakan pengembaraan atas air. Malam itu, kami sempat menikmati makan malam tepi pantai sambil tengok matahari terbenam; suasana tenang, eksklusif dan sungguh memukau.

Keesokan paginya, seawal jam 7.00 pagi, kami sudah bersedia di lobi untuk ke jeti. Dari situ, kami menaiki speed boat yang disediakan khas untuk membawa kami terus ke kapal utama; LaMain Voyage II. Saat kapal itu muncul di kejauhan, rasa teruja semakin membuak. Kemasukan ke kapal pun bukan biasa-biasa ; disambut mesra oleh kru yang lengkap seragam putih santai, siap dengan welcome drink dan tuala sejuk. Terus terasa vibe eksklusif ala-ala selebriti dan VVIP bercuti di tengah lautan!

LaMain Voyage II

Segalanya tersusun rapi, dari proses penyambutan hingga taklimat ringkas tentang keselamatan dan itinerari. Masa ni juga kami diperkenalkan kepada seluruh kru kapal; dari kapten, chef, hingga ke kru teknikal. Layanan mereka sangat mesra dan profesional, terasa macam dah kenal lama.

krew LaMain Voyage II

Dan bila kami mula melabuhkan sauh dan belayar ke arah pulau pertama, Laut Flores menyambut kami dengan angin nyaman dan pemandangan yang tak tergambarkan dengan kata-kata.

Bilik Mewah & Fasiliti Lengkap: Macam Hotel Terapung!

Selesai briefing, kami dibawa untuk sesi lawatan penuh kapal. Kami dibawa dari dek ke dek, melihat sendiri segala kemudahan yang tersedia atas kapal LaMain Voyage II; dan percayalah, rasa macam masuk hotel terapung 5 bintang!

bilik LaMain Voyage

Kapal ini dilengkapi 8 buah kabin mewah berhawa dingin, setiap satunya mempunyai bilik air en-suite yang lengkap dengan pancuran air panas. Min ditempatkan di salah satu kabin di bahagian paling bawah yang ada 1 double bed.

Superior Cabin LaMain Voyage II
Superior Cabin

Bilik utama mereka berada di deck paling atas, ada private balcony, jakuzi dalam bilik, siap untuk korang berendam sambil tengok pemandangan laut; memang next level.

Dekat dek utama, ada 2 lagi kabin dengan katil double dan bilik air sendiri. Manakala di dek bawah, ada 4 kabin selesa; semuanya disusun rapi dan bersih, lengkap dengan tuala, amenities dan dekorasi kayu jati yang buat suasana jadi tenang dan hangat.

Ruang makan pula luas dan berhawa dingin, lengkap dengan bar kecil, dan kami diberitahu yang makanan akan disajikan 3 kali sehari oleh chef profesional atas kapal. Terdapat juga snack bar & minuman non-alkohol yang boleh diambil free flow bila-bila masa.

upper deck lamain voyage II

Kalau korang jenis suka lepak tengok view, bahagian sun deck di tingkat atas adalah tempat paling syok. Dengan angin laut yang sejuk dan view pulau-pulau berbukit, tempat ni memang sesuai untuk ambil gambar, bersantai sambil baca buku, atau sekadar berbaring sambil dengar bunyi ombak. Masa sunset atau sunrise, korang wajib kena ada kat atas ni!

snorkeling labuan bajo

Bagi yang suka aktiviti air, LaMain Voyage II turut lengkap dengan:

  • Platform menyelam yang selamat & stabil
  • Kayak & paddle board
  • Peralatan snorkeling untuk semua tetamu

Pendek kata, semua kelengkapan dan keselesaan tersedia atas kapal; korang hanya perlu relaks, nikmati setiap saat, dan biarkan kru uruskan selebihnya.

Destinasi Impian, Pemandangan Luar Biasa; Walau Tak Ke Padar, Tetap Luar Biasa

Sebenarnya, antara lokasi yang paling kami nanti-nantikan dalam trip ini ialah Pulau Padar; terkenal dengan view ikonik dari puncaknya. Tapi disebabkan keadaan cuaca yang kurang baik dan arahan keselamatan daripada pihak berkuasa taman negara, kami tidak dibenarkan ke sana. Mula-mula memang rasa kecewa, tapi ternyata setiap lokasi lain yang kami singgahi tetap memberikan pengalaman yang tak kalah luar biasa.

Hari Pertama: Pulau Kelor, Komodo & Sunset Terindah

✔️ Pulau Kelor menjadi hentian pertama kami. Pendakian ke puncak bukit agak mencabar tapi sangat berbaloi; pemandangan 360 darjah yang memukau, dengan laut biru turquoise dan latar belakang pulau-pulau lain yang kelihatan seperti lukisan hidup. Bagi yang tak mendaki, snorkeling di tepi pantai pun dah cukup menyeronokkan, airnya jernih dan penuh dengan ikan-ikan kecil warna-warni.

Kelor Island labuan bajo

✔️ Selepas penat hiking, kami balik semula ke kapal untuk makan tengah hari yang disediakan chef. Setiap menu boleh dipuji rasanya. Layanan atas kapal ni memang tip top!

✔️ Petang kami diteruskan ke Loh Buaya Komodo National Park . Di sinilah kami bertemu secara dekat dengan sang naga; komodo sebenar dalam habitat asalnya. Guide tempatan yang berpengalaman bawa kami menjelajah trek hutan sambil berkongsi kisah tentang haiwan purba ini. Suasana agak tegang tapi mendebarkan; pengalaman yang susah nak dapat di tempat lain.

loh buaya komodo national park

✔️ Selepas itu, kami singgah sebentar di Desa Pasir Panjang, sebuah kampung kecil di Pulau Rinca. Di sini, kami disambut mesra oleh penduduk tempatan. Dapat tengok kehidupan harian mereka, melihat anak-anak bermain, dan berinteraksi dengan komuniti yang sangat sederhana tetapi kaya budaya; satu sisi Labuan Bajo yang lebih ‘raw’ dan jujur. Kat sini mengajar kita erti bersyukur dengan kehidupan sebenar!

✔️ Kami kembali ke kapal menjelang senja. Dan inilah momen paling magis hari itu; kami duduk di sun deck, menikmati matahari terbenam perlahan-lahan di ufuk laut, sambil angin laut meniup lembut. Langit oren keemasan, laut tenang. Semuanya terasa sempurna!

@projektravel

The sun doesn’t rush to set — it slowly disappears, teaching us that endings too can be gentle, beautiful, and necessary. Watching the sky burn gold over Labuan Bajo reminded me: not all good things last forever, but they leave behind light that stays in us. — Sunset thoughts from the edge of Komodo paradise. 🌤️✨ #LabuanBajo #Sunset #FlyAirAsia #itstimeforlabuanbajo #UnlockAseanInRealLife

♬ original sound – ProjekTravel – ProjekTravel

✔️ Malamnya, kami menikmati makan malam penuh gaya atas kapal. Dan tak habis di situ; malam dihidupkan dengan sesi karaoke santai dan gelak tawa. Satu malam yang penuh dengan tawa dan memori indah.

🌊 Hari Kedua: Snorkeling, Pulau Tropika & Momen Perpisahan

✔️ Hari kedua bermula dengan sarapan pagi yang menyelerakan di ruang makan; Mi goreng, telur, kopi panas dan buah-buahan tropika. Kemudian, kami teruskan ke lokasi snorkeling pertama: Pulau Sebayur Kecil. Air lautnya jernih seperti kristal dan kami dapat melihat karang laut yang masih sihat, ikan berwarna-warni dan kadangkala penyu lalu berenang perlahan di bawah kami. Aktiviti snorkeling ini memang highlight untuk yang sukakan laut!

✔️ Kami teruskan pelayaran ke Pulau Klepor, sebuah pulau kecil yang tidak ramai orang tahu. Di sini, kami hanya berehat di tepi pantai, mandi laut dan merakam gambar kenangan; suasana sangat tenang, seolah-olah pulau itu milik kami sendiri.

✔️ Sebelum tengah hari, kami pulang ke kapal dan menikmati makan tengah hari terakhir atas kapal, sambil bersembang dan mengenang semula segala aktiviti menarik yang telah kami lalui.

✔️ Destinasi terakhir kami ialah Pulau Sebayur Besar, yang juga menawarkan spot snorkeling cantik. Ada yang turun ke laut sekali lagi, ada juga yang sekadar relaks di dermaga sambil menikmati pemandangan indah pulau ni.

✔️ Menjelang malam, kami mula bersiap untuk check out. Selepas makan malam terakhir; sebelum berpisah, kru mengajak kami ke deck atas untuk sesi penutup. Kami semua berkumpul, menyanyi dan menari bersama kru kapal, dalam suasana penuh keakraban dan gembira.

Walaupun baru kenal, tapi terasa macam keluarga. Itulah magis pelayaran macam ni; bukan sahaja pemandangan yang menawan, tapi hubungan yang terbina sepanjang pelayaran yang menjadikan ia begitu bermakna.

Harga & Apa Yang Disertakan

Mesti ramai yang tertanya-tanya, berapa kos yang kami habis untuk pengalaman pelayaran ni. Kami ambil pakej private charter 2H1M untuk satu kapal; harga sekitar IDR 126,000,000 (~RM33,000) untuk 16 orang maksimum. Kalau bahagi dengan kumpulan kawan, sangat berbaloi!

Termasuk:

  • Kapal layar LaMain Voyage II
  • Makanan harian & snek
  • Minuman (jus, kopi, teh) tanpa had
  • Peralatan snorkeling
  • Pengangkutan dari/ke pelabuhan
  • Guide berlesen

Tip: Pastikan rancang lebih awal dan pergi waktu Mac–Mei kalau nak tengok bukit kehijauan, atau Sep–Dis untuk suasana bukit perang jingga macam lukisan.

Pelayaran Impian Menjadi Nyata

LaMain Voyage bukan sekadar sebuah percutian; ia adalah pengalaman hidup yang mengubah cara kita melihat dunia. Segalanya tentang pelayaran ni terasa sempurna: dari layanan kru yang mesra, bilik mewah bak hotel terapung, makanan yang sedap, hinggalah momen-momen kecil atas dek sambil tengok matahari terbenam.

@projektravel

Escape to the Magical Woneers of Labuan Bajo, Indonesia. Grateful beyond words to lamainvoyages, flyairasia, KBRI KualaLumpur, & Labuan Bajo Flores Tourism Authority for the chance to sail across the stunning waters of Labuan Bajo. #itstimeforlabuanbajo #FlyAirAsia #Bpolbf #LamainVoyages #LabuanBajo

♬ original sound – ProjekTravel – ProjekTravel

Kalau korang tengah cari cara untuk ‘pause’ dari hiruk-pikuk kehidupan, nak reward diri dengan percutian yang benar-benar eksklusif, atau rancang trip istimewa dengan pasangan atau kawan-kawan terdekat; pakej sailing LaMain Voyage II di Labuan Bajo ini adalah jawapan terbaik. Segala-galanya privasi, peribadi dan penuh ketenangan.

Baca Juga: 10 Aktiviti Terbaik di Labuan Bajo, Syurga Tersembunyi Indonesia

Saya balik dengan kulit sunburn, tapi hati yang penuh syukur dan puas. Gambar? Beratus. Tapi memori? Itu tak ternilai. Dan satu yang pasti; ini bukan kali terakhir saya akan belayar di Laut Flores.

Terima kasih diucapkan kepada AirAsia, KBRI KualaLumpur dan Labuan Bajo Flores Tourism Authority.

One thought on “LaMain Voyage II: Pengalaman Pakej Sailing Trip Mewah Labuan Bajo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *