Apa Itu i-KAD. Bagi pekerja asing yang bekerja di Malaysia, i-KAD adalah dokumen pengenalan diri yang sangat penting. Kad ini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia secara percuma untuk pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Dengan adanya i-KAD, pekerja asing dapat membuktikan status pekerjaan mereka dengan lebih mudah.
Jom kita fahami lebih lanjut mengenai fungsi, kepentingan, dan proses mendapatkan i-KAD bagi pekerja asing di Malaysia!
Apa Itu i-KAD?
i-KAD merupakan kad pengenalan diri yang diberikan secara percuma kepada pekerja asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia. Fungsi utama kad ini adalah untuk memudahkan pengesahan identiti pekerja asing di Malaysia tanpa perlu membawa pasport setiap masa.
Jenis-Jenis i-KAD
i-KAD dikeluarkan berdasarkan sektor pekerjaan pekerja asing dan dibezakan melalui warna kad, seperti berikut:
- Ekspatriat – Emas
- Pertanian – Hijau
- Perladangan – Oren
- Pembinaan – Kelabu
- Perkhidmatan – Kuning
- Pembuatan – Merah
- Pembantu rumah – Coklat
Selain warna yang berbeza, i-KAD juga dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih termasuk biometrik dan barkod untuk memudahkan pemeriksaan pihak berkuasa.
Kenapa i-KAD Penting?
Bagi pekerja asing asing di Malaysia, pemilikan i-KAD sangat penting kerana ia bukan sekadar kad pengenalan biasa, ia juga memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan seharian mereka.
Selain itu, ia juga memberikan ketenangan kepada pekerja asing kerana mereka mempunyai dokumen sah yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia untuk mengesahkan status pekerjaan mereka.
- Pengenalan Diri: Berfungsi sebagai kad pengenalan rasmi bagi pekerja asing yang sah bekerja di Malaysia.
- Kemudahan Pengesahan: Memudahkan pihak berkuasa dan majikan untuk mengesahkan status pekerja asing tanpa perlu melihat pasport mereka.
- Mengelakkan Kesulitan: Pekerja asing tidak perlu membawa pasport sepanjang masa, mengurangkan risiko kehilangan atau kecurian.
Proses Serahan i-KAD
Proses mendapatkan i-KAD adalah sangat mudah dan ringkas, namun perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan semua maklumat yang diberikan adalah tepat. Ini bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau masalah ketika menuntut kad tersebut.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diikuti oleh pemohon atau majikan yang menguruskan pekerja asing:
- Hanya untuk pemegang PLKS – Sama ada tahun pertama atau lanjutan.
- Permohonan PLKS telah diluluskan – i-KAD hanya akan diberikan selepas kelulusan permohonan baru atau lanjutan PLKS.
- Maklumat Pekerja Dimasukkan ke Dalam i-KAD – Kad ini akan dicetak dengan butiran pekerja asing.
- Serahan i-KAD – i-KAD yang telah siap boleh dituntut di Pejabat Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia mengikut alamat yang telah ditetapkan.
Sumber : https://www.facebook.com/imigresen
Wajib Bawa i-KAD Setiap Masa!
Pekerja asing yang memiliki i-KAD perlu membawanya setiap masa dan menunjukkan kepada pihak berkuasa jika diminta. Ini bagi memastikan mereka sentiasa dapat membuktikan status pekerjaan mereka dengan sah di Malaysia.
Kesimpulannya, i-KAD merupakan dokumen penting bagi pekerja asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Dengan i-KAD, mereka tidak perlu membawa pasport sepanjang masa dan dapat membuktikan status pekerjaan mereka dengan lebih mudah. Jadi, pastikan jika korang atau pekerja asing di bawah seliaan korang sudah memiliki i-KAD dan sentiasa membawanya ke mana-mana!
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.