Adakah Naga Betul-Betul Wujud di Tasik Chini?

Naga Betul-Betul Wujud di Tasik Chini
Kongsi Artikel ini

Legenda Naga Tasik Chini: Mitos Seri Gumum & Misteri Alam Ghaib Pahang

Di sebalik permukaan air Tasik Chini yang tenang, tersembunyi kisah yang mampu membuatkan bulu roma berdiri! Bagi masyarakat tempatan, tasik ini bukan sekadar khazanah alam, tetapi pintu kepada dunia legenda yang dihuni makhluk ghaib yang diberi nama Seri Gumum. Seri Gumum merupakan naga mistik yang dikatakan mendiami dasar tasik sejak sekian lama.

Soalnya, adakah naga itu benar-benar wujud, atau sekadar dongeng untuk mengajar manusia supaya menghormati alam?

Tasik Chini & Status UNESCO

Tasik Chini bukan sekadar tasik semula jadi biasa, ia adalah tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia yang merangkumi 12 tasik kecil (laut). Pada tahun 2009, ia diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO, sebuah pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada kawasan yang mempunyai kepelbagaian biologi luar biasa, nilai ekosistem yang tinggi, serta hubungan rapat antara manusia & alam.

Status ini menjadikan Tasik Chini sebagai kebanggaan rakyat Pahang dan Malaysia. Ia juga menarik perhatian pengkaji, pencinta alam dan pelancong dari seluruh dunia.

Di sini, korang boleh melihat landskap yang memukau dengan teratai yang mekar pada musim tertentu. Tasik ini juga dikelilingi hutan paya yang menjadi habitat pelbagai spesies burung, ikan air tawar dan hidupan liar.

Naga Seri Gumum: Loch Ness Versi Malaysia

Jika Scotland berbangga dengan legenda raksasa Loch Ness, Malaysia pula memiliki kisah naga mistiknya sendiri; Seri Gumum dari Tasik Chini. Nama ini bukan asing bagi penduduk tempatan, terutama masyarakat orang asli Jakun yang menjadi pewaris cerita turun-temurun tentang makhluk tersebut.

Naga Tasik Chini

Dikatakan, Seri Gumum adalah naga purba yang mendiami dasar tasik sejak berabad lamanya, menjaga keseimbangan alam & menjadi penjaga ghaib kawasan itu. Bentuknya digambarkan sebagai makhluk bersisik, bertubuh panjang seperti ular, namun sebesar bot nelayan. Sesekali, menurut cerita, ia akan timbul di permukaan tasik, sama ada untuk mengambil udara atau sebagai amaran kepada manusia yang melanggar pantang larang alam.

Kisah ini menjadi semakin terkenal apabila pada tahun 1956, seorang jurutera British bernama Arthur Potter mendakwa melihat kelibat seekor makhluk besar sedang berenang di tasik itu. Beliau menggambarkannya seperti “seekor ular laut gergasi” yang bergerak perlahan, sebelum tenggelam ke dasar air. Cerita ini tersebar luas, mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa Tasik Chini memang menyimpan misteri besar.

Namun, sehingga hari ini, tiada bukti saintifik yang dapat membuktikan tentang kewujudan Seri Gumum. Tiada fosil, tiada foto jelas, dan tiada rakaman video yang sahih. Tetapi bagi masyarakat setempat, ketiadaan bukti bukanlah penafian. Bagi mereka, legenda ini adalah sebahagian daripada identiti Tasik Chini; satu kisah yang terus hidup di hati penduduk & memikat rasa ingin tahu pelancong dari seluruh dunia.

Kisah Kewujudan Naga di Tasik Chini

Kisah Pertama: Amaran Nenek Tua & Terbentuknya Tasik Chini

Menurut cerita orang asli Jakun, kawasan Tasik Chini dahulunya adalah hutan yang subur. Sekumpulan penduduk membuka penempatan baharu dan membersihkan tanah tanpa memohon izin daripada semangat hutan.

Tiba-tiba, muncul seorang nenek tua misteri bertongkat yang memberi amaran. Sebagai tanda sempadan, dia memacak tongkat di tanah dan berpesan agar ia tidak dicabut. Namun, akibat kelalaian, tongkat itu tercabut, lalu memancutkan air deras yang menenggelamkan kawasan tersebut hingga terbentuklah Tajik Chini.

Dikatakan, nenek tua itu sebenarnya sedang melindungi mereka daripada seekor makhluk ghaib, naga Seri Gumum yang menyamar sebagai kayu balak reput.

Kisah Kedua: Cinta Tragis Seri Gumum & Putera Kemboja

Versi lain menceritakan tentang Taman Larangan di atas Tasik Chini, dihuni oleh puteri jelita Seri Gumum akibat sumpahan. Pertemuannya dengan Putera Kemboja membuahkan cinta pandang pertama. Namun, sumpahan menghalang mereka untuk bersama.

Akhirnya, setelah dipujuk, Seri Gumum memecahkan sumpahan dan mereka bertukar menjadi naga. Mereka berenang ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan, Seri Gumum berpatah balik untuk mengambil setagen yang tertinggal, namun ia tersangkut di Pulau Bukit Dato. Sebelum sempat melepaskan diri, ayam berkokok menandakan siang, menyebabkan Seri Gumum berubah menjadi Pulau Tioman. Putera Kemboja yang kehilangan kekasihnya turut menerima nasib sama, bertukar menjadi Pulau Lingga.

Misteri Yang Terus Hidup

Walaupun sains tidak dapat membuktikan kewujudan naga Tasik Chini, kisah Seri Gumum kekal sebagai warisan budaya Pahang. Ia menjadi simbol bagaimana masyarakat Melayu dahulu mengaitkan fenomena alam dengan cerita rakyat untuk mendidik generasi tentang pentingnya menghormati alam semula jadi.

Baca juga: 15 Cerita Rakyat & Lagenda Melayu Yang Penuh Pengajaran

Kesimpulannya, sama ada mitos atau realiti, l egenda naga Tasik Chini tetap menjadi salah satu cerita rakyat paling memikat di Malaysia. Ia menggabungkan keindahan alam, unsur mistik, dan nilai pengajaran yang tidak lapuk ditelan zaman.

💬 Kalau korang suka cerita legenda macam ni, follow Projek Travel untuk lebih banyak kisah warisan, mitos, & destinasi menarik di Malaysia! Simpan & kongsikan artikel ini supaya generasi akan datang terus mengenang warisan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *