Makanan Ikonik Tradisional Mengikut Negeri di Malaysia
Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang berbilang kaum; kaya dengan warisan budaya, dan salah satu khazanah paling bernilai ialah makanan tradisional. Setiap negeri mempunyai makanan ikonik yang tersendiri, dibentuk oleh pengaruh geografi, hasil bumi tempatan, serta interaksi masyarakat sejak berabad lamanya.
Keaslian makanan tradisional mengikut negeri ini bukan sahaja menonjolkan variasi rasa dan teknik penyediaan, tetapi juga berfungsi sebagai simbol perpaduan yang menghubungkan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Makanan Tradisional Ikonik Setiap Negeri
1. Kelantan – Nasi Kerabu
Nasi biru yang diwarnakan dengan bunga telang. Ia dihidangkan bersama ulam-ulaman segar, budu, telur masin, keropok, serta lauk seperti ayam percik atau ikan goreng. Keunikan nasi ini terletak pada gabungan rasa masin, manis, pedas, dan pahit ulam herba yang seimbang, menjadikannya antara makanan ikonik negeri Kelantan.
Baca juga: 26 Makanan Tradisional Kelantan
2. Terengganu – Nasi Dagang
Nasi Dagang Terengganu dipercayai bermula sebagai bekalan nelayan kerana tahan lama, mengenyangkan dan mudah dibawa ke laut. Dimasak daripada campuran beras pulut dan santan, ia dihidang bersama gulai ikan tongkol serta acar timun. Kini, nasi dagang menjadi sarapan pagi kegemaran rakyat Terengganu dan hidangan istimewa pada majlis tertentu.
| Keropok Lekor, Rojak Kateh, Satar |
3. Pahang – Gulai Tempoyak Ikan Patin
Gulai berasaskan tempoyak (fermentasi durian) ini sangat sinonim dengan Pahang terutama di daerah Temerloh. Hidangan ini menggunakan ikan patin yang dimasak dengan tempoyak (durian yang diperam) serta bahan-bahan seperti kunyit, cili, daun kesum, dan bunga kantan, menghasilkan rasa lemak, masam, dan sedikit pedas yang unik.
| Sambal Hitam Belimbing Buluh, Puding Raja |
4. Perak – Rendang Tok
Rendang Tok berasal dari Kampung Pisang, Batu Gajah, Perak sebelum tersebar ke seluruh negeri. Hidangan tradisional ini dimasak lama di atas dapur kayu sehingga kering dan berwarna hitam, menjadikannya unik berbanding rendang lain.
Dahulu hanya dinikmati kerabat diraja, kini Rendang Tok menjadi hidangan rakyat jelata. Ia biasanya menggunakan daging lembu, namun resipi asal berasaskan daging kerbau yang lebih manis dan berurat. Dengan campuran santan, rempah, daun kunyit, limau purut dan kerisik, Rendang Tok bukan sahaja enak dimakan dengan lemang, nasi atau ketupat, tetapi juga terkenal kerana tahan lama walaupun tanpa bahan pengawet.
| Nasi Lemuni |
5. Pulau Pinang – Laksa Penang
Laksa Penang, juga dikenali sebagai asam laksa, merupakan hidangan paling popular di Pulau Pinang. Kuahnya berasaskan ikan dengan rasa masam, pedas dan sedikit manis menjadikannya berbeza daripada laksa negeri lain. Keunikan ini menyebabkan Laksa Penang tersenarai antara 50 makanan paling lazat di dunia.
Asalnya mula digemari sejak tahun 1950-an, apabila komuniti Cina menambah nanas dan daun pudina ke dalam laksa, menjadikannya lebih segar dan istimewa. Selain itu, kawasan Seberang Perai pula terkenal dengan versi laksa campur yang ditambah dengan telur, cucur udang dan sambal tumis sotong, menambah lagi variasi kepada hidangan ikonik Pulau Pinang ini.
| Nasi Kandar, Passembor |
6. Kedah – Gulai Batang Pisang
Gulai Batang Pisang ialah hidangan tradisional yang menjadi signature dish masyarakat Baling, Kedah, khususnya di kawasan kampung. Walaupun dinamakan gulai batang pisang, bahagian yang digunakan sebenarnya ialah umbut pisang – teras batang pisang yang lembut dan berwarna putih, seakan sama dengan umbut kelapa.
Hidangan ini sering dimasak ketika majlis kenduri, dan rasanya lebih enak apabila digandingkan dengan daging bertulang lembu atau kambing yang memberi kuah gulai lebih manis dan berlemak.
| Bihun Sup Sambal Merah, Kuih Bunga Pudak |
7. Perlis – Ringgi (Emping Padi)
Ringgi atau emping padi ialah makanan tradisional Perlis yang hanya dapat dinikmati setahun sekali ketika musim angin timur. Dihasilkan daripada padi pulut yang dimasak di atas api sehingga kekuningan, ia kemudian ditumbuk dengan lesung dan ditampi secara tradisional.
Proses membuat ringgi biasanya dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Ringgi yang siap dimakan enak bersama kelapa parut dan gula, menjadikannya sajian warisan unik yang sukar ditemui pada waktu lain.
8. Selangor – Nasi Ambeng
Nasi Ambeng ialah makanan tradisional masyarakat Jawa yang biasanya dihidangkan ketika kenduri seperti tahlil atau doa selamat. Hidangan ini terdiri daripada nasi putih bersama lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa, mi goreng, ikan masin dan rempeyek, yang disajikan di dalam talam untuk dimakan secara berkongsi.
Tradisi unik ini melambangkan nilai kesepakatan dan perpaduan, di mana nasi turut dibawa pulang sebagai berkat untuk keluarga. Kini, Nasi Ambeng telah diwartakan sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor, menjadikannya simbol budaya dan identiti masyarakat Jawa di Malaysia.
9. Negeri Sembilan – Masak Lemak Cili Api
Masak Lemak Cili Api atau masok lomak lado api ialah hidangan tradisional ikonik Negeri Sembilan yang berakar daripada pengaruh Minangkabau. Menggunakan bahan utama seperti cili padi, santan, kunyit dan serai, gulai kuning pekat ini sering dimasak bersama ayam, ikan, siput sedut, sayuran atau daging salai.
Keenakan rasanya yang pedas berlemak menjadikan ia menu kegemaran masyarakat setempat, sama ada sebagai lauk harian bersama nasi putih atau juadah istimewa pada majlis perkahwinan dan keraian.
| Sambal Gesek, Pindang Tetel |
10. Melaka – Asam Pedas
Asam Pedas Melaka ialah hidangan tradisional ikonik yang terkenal dengan kuah merah pedas masam berasaskan cili kering, belacan dan asam jawa. Lazimnya dimasak dengan ikan pari, tenggiri atau kembung bersama bendi dan tomato, hidangan ini paling enak dimakan bersama nasi putih panas. Keunikan rasa pedas, masam dan beraroma menjadikan Asam Pedas Melaka simbol kulinari warisan negeri ini.
| Cencaluk |
11. Johor – Mi Bandung
Mi Bandung ialah hidangan warisan Johor yang sangat popular, khususnya di daerah Muar. Nama “bandung” bermaksud bergandingan, merujuk kepada asal-usul hidangan ini yang hanya menggabungkan mi, telur dan kuah. Kuahnya diperbuat daripada cili, bawang, rempah, udang kering dan pasta udang, sebelum ditambah dengan udang, daging, kek ikan serta sayuran.
| Burasak, Kacang Pool, Laksa Johor |
12. Sabah – Hinava
Hinava atau Hinava Ginapan ialah hidangan tradisional istimewa suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah dan dianggap antara makanan paling popular dalam masyarakat ini. Ia dihasilkan daripada isi ikan segar seperti tenggiri atau yu yang diperap bersama parutan biji buah bambangan, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam. Selain ikan, sotong atau udang juga boleh digunakan.
Hinava sering dihidangkan pada majlis perkahwinan serta menjadi menu utama ketika Tadau Kaamatan, menjadikannya simbol penting dalam budaya kulinari Kadazan-Dusun.
| Latok, Tuhau, Nonsom (Pinasakan Sada) |
13. Sarawak – Laksa Sarawak
Laksa Sarawak ialah hidangan ikonik Bumi Kenyalang yang terkenal dengan kuah rempah khas dicampur santan, menghasilkan rasa kaya dan beraroma. Ia dihidang bersama bihun halus, udang, ayam, telur dadar, tauge serta perahan limau kasturi, lengkap dengan sambal belacan. Keunikan rasanya menjadikan Laksa Sarawak terkenal hingga ke peringkat antarabangsa.
| Manok Pansuh, Kek Lapis Sarawak |
Kepelbagaian makanan tradisional Malaysia mengikut negeri membuktikan bahawa kulinari bukan sahaja soal rasa, tetapi juga lambang sejarah, identiti dan warisan budaya. Setiap hidangan ikonik ini ada menyimpan cerita masyarakat tempatan yang diwarisi turun-temurun.
Sumber rujukan : https://fliphtml5.com/qntbb/bieq/basic
✨ Jangan lupa ikuti Projek Travel untuk lebih banyak perkongsian tentang makanan, budaya, dan destinasi menarik di Malaysia. Simpan & kongsikan artikel ini supaya lebih ramai dapat menghargai khazanah kulinari negara kita.
- Sidang ASEAN 2025: AirAsia Arah Penumpang Rancang Perjalanan Awal
- AirAsia X Lancar Penerbangan Terus Laluan Kuala Lumpur – Tashkent | Tambang Promosi RM799*
- Langkawi Atasi Bali & Phuket! Dinobat Pulau Kedua Terbaik Asia oleh Conde Nast Traveler
- Resipi Sup Tulang Thai
- 8 Keajaiban UNESCO di Arab Saudi