Senarai Gelanggang Pickleball Terbaik di Sekitar Negeri Selangor (2025)
Sukan pickleball kini semakin popular di Malaysia, dan negeri Selangor menjadi antara lokasi utama yang menawarkan pelbagai gelanggang pickleball terbaik untuk semua peringkat pemain. Menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping pong, pickleball merupakan aktiviti riadah moden yang sesuai untuk seisi keluarga.
Dengan penggunaan paddle ringan dan bola plastik berlubang, sukan ini mudah dipelajari namun tetap mencabar. Sama ada anda pemain baharu atau profesional, terdapat banyak tempat bermain pickleball di Selangor yang lengkap dengan fasiliti moden, harga berpatutan dan suasana komuniti yang menyeronokkan.
Jom terokai senarai 12 gelanggang pickleball di Selangor yang wajib anda kunjungi jika ingin kekal aktif sambil bersosial dengan cara yang lebih seronok dan sihat!
Apa Itu Pickleball
Pickleball menggabungkan elemen daripada badminton, tenis dan ping pong, dan dimainkan di atas gelanggang khas bersaiz kecil. Sekilas pandang, gelanggang pickleball kelihatan seperti gelanggang badminton, tetapi lebih padat dengan jaring yang lebih rendah – menjadikannya lebih mudah diakses untuk semua peringkat umur.
Alat utama dalam sukan ini ialah paddle (raket khas) yang biasanya diperbuat daripada kayu atau bahan komposit moden. Bentuknya lebih lebar daripada raket ping pong, tetapi masih ringan dan mudah dikawal. Bola yang digunakan pula diperbuat daripada plastik ringan dengan struktur berlubang, menjadikan permainan ini lebih terkawal, mesra sendi dan selamat.
Pickleball mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1965 oleh tiga sahabat sebagai aktiviti santai keluarga di halaman rumah mereka. Tanpa disangka, sukan ini berkembang pesat dan menjelang tahun 1990, pickleball telah dimainkan di kesemua 50 negeri di AS, menjadi fenomena sukan komuniti yang cukup digemari.
Senarai Gelanggang Pickleball Terbaik di Selangor (2025)
1. Grand Rally Pickleball, Shah Alam
Terletak di aras bumbung Pusat Komersial A Seksyen 7 Shah Alam, Grand Rally memiliki 17 gelanggang bertaraf kejohanan termasuk VIP dan Grand VIP. Waktu operasi dari 8 pagi hingga 1 pagi. Ia lengkap dengan lounge, Pickle Parlour dan BoiBoi Deli; menjadikannya pusat pickleball paling premium di Shah Alam.
2. DINKiT Pickleball, Kota Kemuning
DINKiT Pickleball menawarkan gelanggang indoor yang moden dan selesa dengan harga sewaan bermula RM29 sejam. Terletak di Kota Kemuning, tempat ini juga menyediakan ruang istirahat, peralatan pickleball, kafe Brew N Bread serta berdekatan dengan Taman Tasik; sesuai untuk bersukan dan bersantai bersama keluarga.
3. The Pickle Vibe, Seri Kembangan
Dengan 14 gelanggang indoor moden, The Pickle Vibe di The Atmosphere sesuai untuk semua tahap pemain. Mereka menganjurkan latihan, permainan sosial dan kejohanan secara berkala. Lokasi ini juga mudah diakses dan lengkap dengan kemudahan selesa, menjadikan ia antara pilihan utama di Seri Kembangan.
4. Pickleball Factory, Subang Jaya
Terkenal dengan lima gelanggang tertutup dan satu terbuka, Pickleball Factory turut menawarkan kelas yoga dan restoran Kaiizo. Harga sewa paddle cuma RM4, dan gelanggang dibuka hingga lewat malam. Tempat ini ideal untuk aktiviti riadah dan kesihatan secara menyeluruh dalam suasana santai.
5. Pickle Park, Petaling Jaya
Terletak di Seksyen 13 PJ, Pickle Park menyediakan tujuh gelanggang terbuka dengan kemudahan tempahan melalui aplikasi. Selain ruang istirahat dan kafe Flour, Fire & Stone, gelanggang ini turut menganjurkan latihan dan acara bulanan. Sesuai untuk pemain serius dan komuniti aktif.
6. Hyprground Pickleball, Cyberjaya
Berlokasi di Tamarind Square, Cyberjaya, Hyprground tampil bergaya dengan dua jenis gelanggang – Lounge dan Komuniti. Harga bermula serendah RM30 sejam. Terdapat perkhidmatan katering, paddle sewaan RM5 serta acara sosial dan kejohanan yang menjadikan tempat ini meriah dan dinamik.
7. ATP Pickleball Centre, Klang
Beroperasi dari 7 malam hingga 1 pagi, gelanggang ini sesuai untuk pemain selepas waktu kerja. Terletak di Klang, sewa RM10 sejam termasuk empat paddle. Suasana mesra dan santai menjadikannya lokasi ideal untuk belajar pickleball atau bersosial. Lokasi ini juga dekat dengan GM Klang & Klang Parade.
8. Pickle Drive @ Talent Champs, Kajang
Dengan 6 gelanggang tertutup dan 3 gelanggang terbuka, Pickle Drive menawarkan harga mesra bajet dari RM24 sejam. Pusat ini lengkap dengan ruang rehat, surau, minuman serta kemudahan paddle sewaan. Ia juga mesra semua peringkat pemain dan terletak strategik di Kajang.
9. High on Pickle, Puchong
High On Pickle di Bandar Puchong Jaya menyediakan gelanggang VIP, HOPE dan Latihan dengan kadar bermula RM29 sejam. Komuniti di sini aktif dan welcoming. Terdapat paddle sewaan, bola dijual serta latihan dan kejohanan dianjurkan secara berkala. Suasana indoor memberi keselesaan maksimum.
10. Pickle Crown @ Tropicana Sports Centre, Sungai Buloh
Dengan 11 gelanggang kejohanan, Pickle Crown dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah malam. Kadar bermula RM45 sejam. Menariknya, warga emas nikmati promosi istimewa Golden Deals. Lokasi ini juga lengkap dengan lounge, kedai peralatan dan ruang rehat yang selesa.
11. Seven Fit Sports Centre
Beroperasi dari 7 pagi hingga 2 pagi, Seven Fit Sports Centre sesuai untuk semua lapisan usia. Kadar sewa gelanggang bermula RM20 sejam, paddle RM5 setiap sesi. Lengkap dengan zon santai, surau, minuman dan tempat letak kereta – pilihan ideal untuk bersukan secara konsisten.
12. 9Pickle, Setia Alam
Menawarkan 10 gelanggang separa tertutup bertaraf kejohanan, 9Pickle terkenal dengan fasiliti premium. Tiga jenis gelanggang – Standard, VIP dan Grand – dengan harga bermula RM45 sejam. Pusat ini turut dilengkapi kedai, ruang santai dan makanan, sesuai untuk sesi sukan lengkap dan menyeronokkan.
Dengan semakin banyak gelanggang pickleball dibuka di Selangor, tidak hairanlah sukan ini menjadi pilihan utama ramai untuk kekal aktif dan bersosial secara sihat. Sama ada korang seorang pemula yang baru nak cuba, atau pemain tegar yang mahukan cabaran, pilihan gelanggang yang ada cukup lengkap dari segi fasiliti, harga dan suasana komuniti.
Jadi, tunggu apa lagi? Ajak kawan-kawan, pilih lokasi kegemaran korang dan rasai sendiri keseronokan bermain pickleball di Selangor! Jangan lupa simpan artikel ini sebagai rujukan dan kongsikan dengan rakan lain yang mungkin juga sedang mencari tempat menarik untuk beriadah.
Untuk lebih banyak artikel seperti ini, ikuti kami di media sosial @ProjekTravel dan jom teroka dunia travel dan gaya hidup aktif bersama!
- Sidang ASEAN 2025: AirAsia Arah Penumpang Rancang Perjalanan Awal
- AirAsia X Lancar Penerbangan Terus Laluan Kuala Lumpur – Tashkent | Tambang Promosi RM799*
- Langkawi Atasi Bali & Phuket! Dinobat Pulau Kedua Terbaik Asia oleh Conde Nast Traveler
- Resipi Sup Tulang Thai
- 8 Keajaiban UNESCO di Arab Saudi