Menu Sarapan Pagi Popular di Malaysia | Sarapan pagi merupakan asas penting untuk memulakan hari dengan tenaga dan semangat. Di Malaysia, sarapan tidak hanya berfungsi sebagai pengalas perut, tetapi juga mencerminkan kekayaan budaya dan warisan makanan pelbagai kaum. Setiap menu membawa cerita; ada yang diwarisi turun-temurun, ada juga yang melalui evolusi kreatif sehingga menjadi kegemaran ramai hari ini.
Jom kami kongsikan pilihan sarapan ikonik yang digemari ramai, bersama info menarik yang mungkin korang belum tahu.
Senarai Menu Sarapan Pagi Popular di Malaysia
Nasi Lemak
Merupakan hidangan ikonik yang diangkat sebagai raja sarapan rakyat Malaysia. Nasi lemak disediakan daripada beras yang dimasak bersama santan dan daun pandan. Ia biasanya dihidang bersama sambal pedas manis, telur rebus, ikan bilis rangup, kacang goreng, dan timun yang menyegarkan.
Nasi lemak juga sering dinikmati dengan lauk seperti ayam goreng berempah, paru, rendang, sambal kerang atau sotong. Hidangan ini lengkap dan cukup mengenyangkan.
Fakta menarik: Nasi lemak telah tercalon sebagai Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2024, mengangkat martabatnya sebagai simbol kulinari Malaysia.
Roti Canai
Roti canai juga tidak asing sebagai pilihan sarapan utama rakyat Malaysia. Ia terhasil daripada doh yang diuli dan ditebar nipis sebelum dimasak di atas plat panas. Ia digemari kerana teksturnya yang lembut dan aromanya yang memikat. Biasanya dimakan bersama kuah dhal, kari ayam atau sambal bilis, rasanya memang padu dan mengenyangkan.
Kini, roti canai hadir dalam pelbagai variasi seperti roti telur, roti planta & roti boom; sesuai dengan selera moden yang sukakan kelainan.
Fakta Menarik: Menurut TasteAtlas, roti canai Malaysia dinobatkan sebagai makanan jalanan terbaik dunia pada 2022. Setahun kemudian, ia sekali lagi mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai roti terbaik dunia untuk tahun 2023. Sumber : Wikipedia
Teh Tarik
Teh tarik sememangnya minuman pilihan utama rakyat Malaysia, terutamanya ketika bersarapan pagi. Menu minuman wajib ada di setiap warung atau restoran yang menyediakan sarapan pagi. Teh tarik ialah minuman panas tradisional yang menggabungkan teh hitam pekat dan susu pekat manis.
Dengan rasa teh yang pekat, dicampur susu pekat manis dan ‘ditarik’ berulang kali hingga berbuih, teh tarik menawarkan keseimbangan rasa yang memikat. Minuman ini bukan sahaja sedap, malah sering menjadi pelengkap sempurna kepada menu seperti roti canai, kuih-muih tradisional atau nasi lemak.
Fakta Menarik : Disebabkan popularitinya dalam kalangan rakyat Malaysia, teh tarik telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009. Pengisytiharan itu diumumkan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Sekolah Victoria Institution pada 14 Februari.
Nasi Kerabu
Nasi kerabu merupakan antara sarapan tradisional yang sangat unik dan menjadi kebanggaan rakyat Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu. Keistimewaan nasi kerabu terletak pada nasi biru yang dimasak dengan bunga telang. Ia dihidang bersama ulam segar, tumis, sambal kelapa, budu dan telur masin. Hidangan ini akan lebih lengkap jika disajikan dengan pelbagai jenis lauk lain seperti daging bakar, lemak bajar atau ayam percik.
Kini, nasi kerabu bukan sahaja boleh didapati di Pantai Timur, malah menjadi menu sarapan popular di seluruh negara.
Fakta menarik : Nasi kerabu dinobatkan sebagai The Best National Cuisine in the World di Worldchefs National Cuisine Challenge 2025 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Nasi Dagang
Nasi dagang juga merupakan hidangan tradisional yang cukup popular di Pantai Timur, khususnya di Terengganu. Ia dimasak menggunakan beras khas bersama santan, halba dan halia, lalu dihidang dengan gulai ikan tongkol, acar timun dan telur rebus. Gabungan nasi yang lemak dengan kuah gulai yang pekat menjadikan nasi dagang sebagai pilihan sarapan yang mengenyangkan dan penuh citarasa.
Menariknya, Kelantan juga mempunyai versi nasi dagang tersendiri, dengan perbezaan pada jenis beras, rasa kuah dan cara hidangan.
Kesimpulannya, sarapan pagi bukan sekadar rutin harian, tetapi juga cerminan budaya dan identiti masyarakat Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian. Setiap hidangan tradisional yang dinikmati membawa bersama cerita, sejarah dan rasa yang membentuk jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.
Menghargai dan meneruskan warisan makanan ini bukan sahaja memuaskan selera, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian budaya tempatan. Jadi, lepas ni kalau korang singgah di mana-mana kedai sarapan, cuba perhatikan; setiap suapan mungkin lebih bermakna daripada yang disangka.
Save dan share artikel senarai Menu Sarapan Pagi Popular di Malaysia ini sebagai rujukan, dan kongsikan dengan rakan-rakan korang yang juga pencinta sarapan tempatan! Jangan lupa follow Projek Travel untuk kisah menarik tentang makanan, budaya dan kembara dari dalam dan luar negara!