Nasi Kerabu Malaysia Dinobatkan Masakan Terbaik Dunia di Worldchefs 2025 | Malaysia sekali lagi mengukir nama di persada dunia apabila Nasi Kerabu, sajian tradisional dari Kelantan, dinobatkan sebagai βThe Best National Cuisine in the Worldβ dalam pertandingan Worldchefs National Cuisine Challenge 2025 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kejayaan ini dilakar oleh pasukan kulinari kebangsaan Malaysia yang membawa misi memperkenalkan keunikan rasa, nilai budaya dan seni penyediaan masakan tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Nasi Kerabu: Lambang Warisan dan Identiti Rasa
Nasi Kerabu bukan sekadar makanan, ia adalah simbol budaya dan tradisi masyarakat Pantai Timur. Dikenali dengan nasi berwarna biru yang diperoleh daripada bunga telang, ia dihidangkan bersama ulam-ulaman segar, sambal kelapa, budu, keropok, telur masin, dan lauk seperti ayam percik atau lauk lain.
Gabungan rasa lengkap masam, manis, pedas dan aroma herba menjadikan Nasi Kerabu unik dan kompleks, mencerminkan kepelbagaian budaya makanan Malaysia. Bukan sahaja enak, sajian ini juga kaya dengan elemen pemakanan sihat yang bersumberkan bahan semula jadi dan tradisional.
Senarai Hidangan Malaysia yang Dipertandingkan
Dalam kategori National Cuisine, pasukan Malaysia yang terdiri daripada lima chef utama dan dua pengurus pasukan, diberikan masa tiga jam untuk menyediakan tiga jenis hidangan: pembuka selera, hidangan utama, dan pencuci mulut.
Pembuka Selera:
- Otak-otak Daun Pisang
- Kerabu Umai Laktok & Limau Bali
- Lohbak Ayam Penang
Hidangan Utama:
- Nasi Kerabu Ulam-ulaman
- Udang Bakar Sambal
- Ayam Rendang Nogori
- Achar Awak Nyonya
Pencuci Mulut:
- Kuih Keria Melaka
- Puteri Dua Sebilik Pahang
- Cendol Pandan Penang
Setiap resipi diinspirasikan daripada negeri asal ahli pasukan dan dipelajari secara turun-temurun daripada ibu dan nenek mereka. Misi utama mereka adalah untuk menghadirkan rasa asli dari dapur kampung halaman ke meja juri antarabangsa.
Sentuhan Budaya dan Identiti Malaysia
Keunikan persembahan turut menjadi nilai tambah besar. Pasukan Malaysia mengetengahkan elemen adat Melayu seperti penggunaan dulang, bakul, mangkuk tingkat, serta penyediaan air basuh tangan sebelum makan, satu ciri yang tidak diketengahkan oleh peserta dari negara lain.
Ini membezakan Malaysia dan menjadikan pengalaman juri lebih autentik dan bermakna. Para juri yang terdiri daripada pakar gastronomi dari Australia, GERMAN, Afrika, Mesir, Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland, Nordic dan UAE ternyata terpegun dengan kombinasi rasa, cerita dan visual yang ditampilkan.
Chef Syafiq Shahrom: Tulang Belakang Di Sebalik Kejayaan
Antara individu penting di sebalik pencapaian ini ialah Chef Syafiq Shahrom, salah seorang pengurus pasukan dan kini berkhidmat di Grand Hyatt Dubai. Memulakan kerjaya dalam bidang kulinari selepas menamatkan pengajian di KLMUC dalam jurusan Seni Kulinari dan Pengurusan Hotel, Chef Syafiq telah menimba pengalaman luas di pelbagai negara seperti Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Bahamas dan UAE.
Beliau berkongsi bahawa kejayaan pasukan ini bukan diraih dalam sekelip mata. Ia adalah hasil latihan intensif selama tiga bulan bersama pasukan, dengan tumpuan penuh terhadap ketepatan rasa, teknik penyediaan dan persembahan.
Kedudukan Akhir Worldchefs 2025: Malaysia Di Tempat Tertinggi
Pertandingan Worldchefs National Cuisine Challenge 2025 menyaksikan persaingan sengit antara pasukan-pasukan hebat dari seluruh dunia. Dalam edisi kali ini, Malaysia membuktikan keunggulan apabila berjaya merangkul gelaran juara, menewaskan negara-negara dengan tradisi kulinari yang kuat.
Kedudukan akhir pertandingan adalah seperti berikut:
- π₯ Juara: Malaysia
- π₯ Naib Juara: Syria
- π₯ Tempat Ketiga: Perancis
Negara lain dalam Top 10 termasuk Itali, China, India, Indonesia, Sri Lanka, Nepal, Thailand & Afrika Selatan.
Simbol Kebanggaan dan Inspirasi Anak Muda
Pasukan ini diketuai oleh Chef Rene Johari, Chef Syafiq Shahrom dan Chef Azlee Zainon. Mereka membuktikan bahawa makanan tradisional Malaysia mampu bersaing dengan sajian popular dunia seperti sushi, pasta dan tom yam. Barisan utama terdiri daripada Muhammad Azzam Omar, Muhammad Nabil Eman, Raihana Adawiyah Khairil Anwar dan Muhammad Yusri Yuzani. Mereka turut menerima sokongan padu daripada Konsulat Jeneral Malaysia dan Tourism Malaysia di Dubai.
Kejayaan Nasi Kerabu sebagai Masakan Terbaik Dunia di Worldchefs 2025 bukan sekadar kejayaan kulinari. Ia mencerminkan cinta terhadap budaya, ketekunan dalam seni masakan, dan keyakinan pada nilai warisan. Malaysia telah membuktikan bahawa rasa dari kampung halaman boleh menjadi bintang di pentas global.
Simpan dan kongsikan artikel ini sebagai tanda sokongan kepada warisan kulinari negara. Jangan lupa follow Projek Travel untuk cerita menarik tentang makanan, budaya dan destinasi Malaysia yang membanggakan.
3 thoughts on “Nasi Kerabu Malaysia Dinobatkan Masakan Terbaik Dunia di Worldchefs 2025”