Pengalaman Menginap di Club Med Lijiang, Yunnan China

Kongsi Artikel ini

Percutian kami ke Lijiang, Yunnan, China kali ini bukan sekadar untuk meneroka keindahan alam semula jadi dan keunikan budaya tempatan, tetapi turut memberikan peluang untuk merasai pengalaman penginapan yang sedikit berbeza. Selain mengunjungi destinasi popular seperti Jade Dragon Snow Mountain, Blue Moon Valley dan beberapa pekan tradisional di sekitar Lijiang, kami juga berpeluang menginap di Club Med Lijiang, sebuah resort premium berkonsepkan all-inclusive yang berlatarbelakangkan keindahan pergunungan Jade Dragon Snow Mountain.

Berbeza daripada penginapan hotel biasa yang kebanyakannya menjadi tempat berehat selepas seharian meneroka destinasi pelancongan, Club Med Lijiang menawarkan pengalaman percutian yang lebih lengkap. Melalui konsep all-inclusive, tetamu bukan sahaja menikmati kemudahan penginapan yang selesa, malah turut mempunyai akses kepada pelbagai pilihan makanan, aktiviti rekreasi, hiburan dan pengalaman menarik yang disediakan dalam kawasan resort.

Sepanjang empat malam menginap di Club Med Lijiang, kami berpeluang meneroka sendiri kemudahan yang ditawarkan, menyertai beberapa aktiviti serta menikmati suasana percutian yang lebih santai tanpa perlu mengejar jadual perjalanan yang padat. Pengalaman ini memberikan perspektif berbeza tentang bagaimana sesebuah resort boleh menjadi sebahagian daripada tarikan utama dalam sesuatu percutian, dan bukannya sekadar tempat untuk bermalam.

Club Med Lijiang: Resort Premium di Kaki Jade Dragon Snow Mountain

Terletak di Lijiang, wilayah Yunnan, China, Club Med Lijiang merupakan sebuah resort premium berkonsepkan all-inclusive yang menawarkan pengalaman percutian berlatarbelakangkan keindahan Jade Dragon Snow Mountain. Lokasinya di kawasan yang kaya dengan landskap semula jadi, sejarah & warisan budaya masyarakat Naxi. Ini menjadikan resort ini antara pilihan penginapan menarik bagi pelancong yang ingin menikmati sisi berbeza Lijiang.

Keunikan Club Med Lijiang bukan sahaja terletak pada pemandangan pergunungannya, tetapi juga pada reka bentuk resort yang menggabungkan elemen seni bina tradisional Naxi dengan kemudahan hospitaliti moden. Susun atur bangunan, halaman terbuka & kawasan landskap yang terjaga mewujudkan persekitaran yang tenang. Sekali gus memberikan suasana percutian yang lebih santai dan eksklusif.

Berbeza daripada hotel konvensional yang kebiasaannya menjadi tempat persinggahan selepas seharian melancong, Club Med Lijiang menawarkan pengalaman penginapan yang turut menjadi sebahagian daripada aktiviti percutian itu sendiri. Pelbagai kemudahan dan aktiviti disediakan bagi membolehkan tetamu menikmati masa berkualiti tanpa perlu meninggalkan kawasan resort.

Bagi kami, antara pengalaman paling mengagumkan sepanjang berada di sini ialah peluang menikmati panorama Jade Dragon Snow Mountain secara langsung dari kawasan resort. Pemandangan pergunungan yang menjadi mercu tanda ikonik Lijiang ini memberikan keistimewaan tersendiri kepada pengalaman penginapan kami.

Apa yang Menarik tentang Konsep All-Inclusive Club Med?

Salah satu sebab utama kami memilih Club Med Lijiang sebagai tempat penginapan adalah kerana konsep all-inclusive yang ditawarkan. Berbeza daripada penginapan hotel konvensional, konsep ini membolehkan tetamu menikmati pelbagai kemudahan & pengalaman percutian melalui satu pakej. Pakej ini yang merangkumi penginapan, makanan dan minuman terpilih, aktiviti rekreasi serta program hiburan yang disediakan mengikut jadual resort.

Bagi kami, pendekatan ini memberikan lebih banyak fleksibiliti sepanjang percutian. Kami tidak perlu terlalu memikirkan soal tempat makan atau merancang aktiviti setiap hari kerana pelbagai pilihan sudah tersedia dalam kawasan resort. Malah, konsep ini juga membolehkan kami mengatur masa dengan lebih santai, sama ada ingin menyertai aktiviti yang disediakan atau sekadar berehat sambil menikmati suasana pergunungan Lijiang.

Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa konsep all-inclusive tidak bermaksud semua perkhidmatan termasuk dalam harga pakej. Beberapa pengalaman tambahan seperti lawatan ke destinasi pelancongan luar resort, rawatan spa dan perkhidmatan tertentu mungkin dikenakan bayaran berasingan. Oleh itu, pelancong disarankan menyemak butiran pakej terlebih dahulu bagi mengetahui kemudahan dan aktiviti yang termasuk dalam tempahan mereka.

Pengalaman Check-In dan Explore Baisha Ancient Town

Memandangkan kami tiba lebih awal daripada waktu check-in, kami mengambil keputusan untuk meninggalkan bagasi di Club Med Lijiang terlebih dahulu sebelum keluar menikmati makan tengah hari di Baisha Ancient Town. Ia sebuah pekan tradisional yang terletak tidak jauh dari resort.

 Baisha Ancient Town

Baisha Ancient Town merupakan antara penempatan bersejarah masyarakat Naxi yang terkenal dengan seni bina tradisional, lorong berbatu & pemandangan Jade Dragon Snow Mountain. Berbanding Lijiang Old Town yang lebih sibuk dengan aktiviti pelancongan, Baisha menawarkan suasana yang lebih santai, dengan deretan kedai kraftangan, kafe & bangunan lama yang masih mengekalkan karakter tempatan.

Untuk makan tengah hari, kami memilih sebuah restoran halal di Baisha Ancient Town yang menyajikan hidangan hot pot, antara pengalaman kulinari yang popular di China. Hidangan ini membolehkan pelbagai bahan seperti hirisan daging, sayur-sayuran dan pilihan makanan lain dimasak sendiri dalam periuk berisi kuah panas. Menikmati hot pot dalam suasana pergunungan Lijiang memberikan pengalaman yang cukup menarik, khususnya selepas perjalanan panjang kami dari Kunming.

restoran halal di lijiang

Selepas makan tengah hari, kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar pekan sambil menikmati keunikan seni bina dan suasana tempatan. Baisha juga mempunyai kepentingan sejarah kerana pernah menjadi pusat politik dan kebudayaan masyarakat Naxi. Antara warisannya yang terkenal ialah Baisha Murals, koleksi lukisan dinding bersejarah yang memperlihatkan pengaruh pelbagai budaya dan kepercayaan.

Bagi kami, persinggahan di Baisha Ancient Town bukan sekadar untuk mengisi masa sementara menunggu waktu check-in, tetapi turut menjadi pengalaman awal yang menarik untuk mengenali budaya, sejarah & makanan di Lijiang. Selesai meneroka pekan ini, kami kembali ke Club Med Lijiang untuk memulakan penginapan selama empat malam.

Pengalaman Menginap di Bilik Club Med Lijiang

Keselesaan bilik merupakan salah satu aspek penting dalam pengalaman menginap di sesebuah resort, lebih-lebih lagi apabila percutian melibatkan aktiviti luar yang memenatkan. Bilik penginapan di Club Med Lijiang direka dengan sentuhan moden yang diinspirasikan daripada seni bina tradisional masyarakat Naxi.

Sepanjang penginapan, kami mendapati biliknya sangat selesa dan sesuai dijadikan tempat berehat selepas seharian meneroka kawasan Lijiang. Antara kemudahan yang kami nikmati ialah balkoni peribadi serta bilik air yang dilengkapi dengan bathtub.

Balkoni dengan Pemandangan Pergunungan

Salah satu kelebihan bilik di Club Med Lijiang ialah kewujudan balkoni yang membolehkan tetamu menikmati suasana luar dan udara pergunungan. Bagi kami, pengalaman berada di kawasan resort yang berlatarbelakangkan Jade Dragon Snow Mountain merupakan sesuatu yang cukup istimewa. Pemandangan pergunungan yang berubah mengikut keadaan cuaca memberikan suasana berbeza sepanjang hari.

Selepas penat berjalan & melakukan aktiviti, kembali ke bilik yang selesa sambil menikmati persekitaran yang tenang menjadi sebahagian daripada pengalaman percutian itu sendiri.

Pengalaman Makanan di Club Med Lijiang

Salah satu kelebihan utama menginap di resort berkonsepkan all-inclusive ialah kemudahan mendapatkan makanan tanpa perlu keluar mencari restoran setiap kali tiba waktu makan. Sepanjang penginapan kami di Club Med Lijiang, pengalaman menjamu selera menjadi sebahagian daripada rutin percutian yang sangat memudahkan.

Dengan pilihan makanan yang disediakan di resort. Kami dapat menikmati sarapan, makan tengah hari & makan malam mengikut jadual serta kemudahan yang tersedia.

Gourmet Lounge dan Noodle Bar

Antara pengalaman yang kami ingat ialah menikmati makanan di Gourmet Lounge atau Noodle Bar selepas pulang daripada lawatan ke Jade Dragon Snow Mountain & Blue Moon Valley. Hari tersebut merupakan antara hari paling padat sepanjang percutian kami kerana melibatkan beberapa lokasi pelancongan di kawasan pergunungan.

Setibanya di resort, kami tidak perlu keluar semula untuk mencari makanan. Sebaliknya, kami boleh terus mendapatkan hidangan di kawasan resort sebelum kembali berehat. Kemudahan sebegini mungkin kelihatan ringkas, tetapi sangat membantu apabila perjalanan melibatkan aktiviti luar yang panjang dan cuaca sejuk.

Pengalaman Mala Hotpot dengan Pemandangan Gunung

Antara pengalaman menjamu selera yang paling menarik sepanjang penginapan kami ialah menikmati mala hotpot dengan latar belakang Jade Dragon Snow Mountain. Kami memilih untuk menikmati hidangan ini pada malam terakhir di Club Med Lijiang.

hotpot di club med lijiang

Suasana pergunungan yang sejuk menjadikan pengalaman menikmati hotpot terasa lebih istimewa. Hidangan panas dalam persekitaran yang dingin sememangnya memberikan kombinasi yang menarik.

Namun, berdasarkan pengalaman kami, pakaian yang sesuai sangat penting, khususnya jika menikmati makanan di kawasan terbuka pada waktu malam. Walaupun suasananya cantik, suhu yang sejuk boleh menyebabkan pengalaman makan menjadi kurang selesa. Sekiranya tidak bersedia dengan pakaian yang cukup tebal.

Bagi tetamu yang ingin mencuba pengalaman hotpot seperti ini, sebaiknya semak keperluan tempahan awal, ketersediaan & sebarang caj tambahan dengan pihak resort.

Perkara yang Perlu Diketahui oleh Pelancong Muslim

Bagi pelancong Muslim yang merancang untuk menginap di Club Med Lijiang. Satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah status halal makanan yang disediakan. Walaupun resort ini menawarkan pelbagai pilihan hidangan antarabangsa & tempatan, kebanyakan makanan yang dihidangkan adalah tidak halal atau mempunyai pengesahan halal.

Lebih 20 Aktiviti Menarik di Club Med Lijiang

Salah satu sebab utama Club Med Lijiang berbeza daripada hotel biasa ialah kepelbagaian aktiviti rekreasi yang disediakan. Resort ini menawarkan lebih daripada 20 aktiviti yang termasuk dalam pakej penginapan tertentu. Di samping iru, ada beberapa pengalaman tambahan yang tertakluk kepada ketersediaan.

berbasikal di club med lijiang

Sepanjang berada di Club Med Lijiang, kami turut berkesempatan mencuba beberapa aktiviti yang disediakan. Antara pengalaman menarik yang ingin kami kongsikan ialah:

  • Flying Trapeze
  • Memanah
  • Berbasikal di Kawasan Resort
  • Pengalaman Kelas Membuat Teh

Indoor Water Park untuk Percutian Keluarga

Satu lagi kemudahan menarik di Club Med Lijiang ialah kawasan permainan air dalaman atau indoor waterland. Kemudahan ini meliputi kawasan seluas kira-kira 1,500 meter persegi dan dilengkapi dengan dua kolam serta gelongsor air. Kemudahan sebegini menjadikan Club Med Lijiang pilihan yang menarik untuk percutian keluarga, khususnya bagi mereka yang membawa anak-anak.

Memandangkan Lijiang mempunyai iklim tanah tinggi yang boleh menjadi sejuk, kewujudan kemudahan rekreasi air dalaman memberikan pilihan aktiviti tambahan kepada tetamu. Selain aktiviti air, resort ini turut menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi lain yang boleh disesuaikan dengan minat & peringkat umur tetamu, tertakluk kepada syarat penyertaan.

Pengalaman Fotoshoot di Club Med Lijiang

Salah satu pengalaman menarik sepanjang penginapan kami ialah sesi fotoshoot yang dilakukan di sekitar kawasan Club Med Lijiang.

Pada hari ketiga, kami sengaja memperlahankan jadual perjalanan untuk menikmati lebih banyak masa di resort. Sekitar 11am kami menyertai sesi fotoshoot percuma yang ditawarkan kepada kami semasa penginapan. Menariknya, kami tidak perlu keluar ke lokasi pelancongan lain kerana kawasan Club Med sendiri sudah mempunyai banyak sudut yang cantik untuk bergambar.

Gabungan seni bina resort, kawasan halaman, pokok-pokok & pemandangan Jade Dragon Snow Mountain menjadikan sesi fotografi ini antara pengalaman yang cukup bermakna. Bagi pasangan atau keluarga yang ingin merakam kenangan percutian, kawasan resort sememangnya menawarkan persekitaran yang menarik untuk fotografi.

Untuk pengetahuan korang, berdasarkan tawaran semasa penginapan kami, setiap bilik layak menerima satu sesi fotografi percuma berserta tiga keping gambar digital. Jika korang menempah 2 bilik, korang berpotensi menerima sehingga 6 keping gambar digital secara percuma, tertakluk pada terma & syarat resort. Sekiranya korang ingin mendapatkan lebih banyak gambar atau menggunakan perkhidmatan solekan profesional, caj tambahan akan dikenakan.

Bagi kami, pengalaman fotografi ini merupakan salah satu nilai tambah yang menarik sepanjang menginap di Club Med Lijiang. Bukan sahaja dapat menikmati suasana resort, malah kami turut membawa pulang kenangan percutian yang dirakam secara profesional.

Evening Entertainment: Hiburan Malam di Club Med Lijiang

Pengalaman menginap di Club Med Lijiang tidak berakhir selepas makan malam. Antara keistimewaan resort ini ialah program hiburan malam atau evening entertainment yang disediakan untuk tetamu. Sepanjang penginapan, kami berpeluang menikmati hiburan yang dianjurkan di resort.

Bagi kami, ini merupakan salah satu kelebihan konsep percutian Club Med. Selepas seharian meneroka kawasan Lijiang atau melakukan aktiviti rekreasi, tetamu masih mempunyai pilihan untuk menikmati suasana malam tanpa perlu keluar mencari tempat hiburan di luar.

Program sebegini juga membantu menjadikan pengalaman penginapan lebih lengkap. Khususnya untuk keluarga dan pelancong yang ingin menghabiskan lebih banyak masa di resort. Jadual serta jenis persembahan boleh berubah mengikut hari dan operasi resort.

Menikmati Jade Dragon Snow Mountain dari Club Med Lijiang

club med lijiang hotel

Jika ditanya apakah pengalaman yang paling kami suka sepanjang menginap di Club Med Lijiang? Salah satu jawapannya ialah peluang menikmati pemandangan Jade Dragon Snow Mountain dalam suasana yang santai. Lijiang sememangnya terkenal dengan gunung bersaljinya, dan kebanyakan pelancong datang untuk melawat kawasan Jade Dragon Snow Mountain National Scenic Area.

Kami sendiri meluangkan satu hari untuk meneroka kawasan tersebut, termasuk Spruce Meadow, Blue Moon Valley dan menyaksikan persembahan Impression Lijiang. Namun, pengalaman menikmati gunung dari kawasan Club Med memberikan perspektif yang berbeza. Kami tidak perlu menaiki kenderaan, membeli tiket atau mengikut jadual lawatan tertentu untuk menikmati keindahan landskap pergunungan.

Pengalaman Minum Petang dengan Pemandangan Gunung

Antara momen yang paling kami ingat ialah ketika duduk menikmati minum petang sambil melihat Jade Dragon Snow Mountain. Selepas pulang daripada Shuhe Ancient Town, kami masih mempunyai masa untuk berehat di kawasan resort sebelum makan malam. Kami mengambil peluang untuk duduk santai sambil menikmati minuman dan pemandangan pergunungan.

Pengalaman Minum Petang dengan Pemandangan Gunung

Pengalaman ini mungkin kelihatan sederhana berbanding aktiviti pelancongan lain yang kami lakukan di Lijiang. Namun, bagi kami, inilah antara perkara yang menjadikan penginapan di Club Med Lijiang begitu bermakna. Tidak semua pengalaman percutian perlu melibatkan lokasi popular atau aktiviti yang padat. Ada kalanya, masa untuk berehat dan menikmati suasana sekeliling menjadi kenangan yang paling diingati.

Club Med Lijiang sebagai Base untuk Meneroka Lijiang

Walaupun Club Med Lijiang menawarkan pelbagai aktiviti di dalam resort, lokasinya juga membolehkan pelancong menggabungkan pengalaman penginapan dengan lawatan ke beberapa tarikan terkenal di Lijiang. Sepanjang empat malam berada di sini, kami menggunakan Club Med sebagai tempat penginapan utama sambil meneroka beberapa destinasi sekitar.

Antara lokasi yang sempat kami lawati ialah:

  • Baisha Ancient Town: Pekan tradisional yang mempunyai kaitan rapat dengan sejarah masyarakat Naxi & merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO Old Town of Lijiang.
  • Jade Dragon Snow Mountain: Kawasan pergunungan terkenal yang menjadi antara tarikan utama pelancongan Lijiang.
  • Blue Moon Valley: Lembah yang terkenal dengan air berwarna biru kehijauan dan pemandangan pergunungan.
  • Lijiang Old Town: Kawasan bandar lama yang mempunyai lorong batu, rumah tradisional, terusan dan suasana malam yang meriah.
  • Shuhe Ancient Town: Penempatan bersejarah yang sesuai untuk berjalan santai, fotografi dan membeli cenderamata.
    Berdasarkan pengalaman kami, kombinasi antara aktiviti luar dan masa berehat di resort merupakan cara terbaik untuk menikmati percutian di Lijiang.

Jika setiap hari dipenuhi dengan aktiviti sightseeing dari awal pagi hingga malam. Tetamu mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menikmati kemudahan yang ditawarkan Club Med. Sebab itu kami memilih untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu hari dengan jadual yang lebih santai.

Tips Sebelum Menginap di Club Med Lijiang

Berdasarkan pengalaman kami, terdapat beberapa perkara yang boleh membantu pelancong menikmati penginapan dengan lebih baik.

1. Peruntukkan masa untuk menikmati resort
Jangan jadikan Club Med sekadar tempat tidur selepas aktiviti pelancongan. Cuba sediakan sekurang-kurangnya satu hari untuk menikmati kemudahan dan aktiviti yang ditawarkan.

2. Semak aktiviti yang termasuk dalam pakej.
Walaupun Club Med menggunakan konsep all-inclusive, sesetengah aktiviti & perkhidmatan tambahan mungkin memerlukan bayaran berasingan.

3. Rancang aktiviti berdasarkan jadual resort
Aktiviti seperti flying trapeze, memanah dan program rekreasi lain mungkin mempunyai jadual tertentu. Semak jadual sebaik tiba supaya tidak terlepas aktiviti yang ingin dicuba.

4. Bawa pakaian yang sesuai dengan cuaca Lijiang.
Lijiang terletak di kawasan tanah tinggi dan suhu boleh menjadi sejuk, khususnya pada waktu malam. Pakaian tebal sangat membantu jika ingin menikmati aktiviti atau makanan di kawasan terbuka.

5. Buat tempahan awal untuk pengalaman tertentu.
Sekiranya ingin menikmati hotpot, rawatan spa atau perkhidmatan tambahan, semak ketersediaan dan keperluan tempahan dengan pihak resort.

6. Seimbangkan aktiviti resort dengan sightseeing.
Lawatan ke Jade Dragon Snow Mountain dan kawasan old town memang menarik, tetapi elakkan jadual yang terlalu padat sehingga tidak sempat menikmati pengalaman penginapan.

Review Club Med Lijiang: Adakah Penginapan Ini Berbaloi?

Selepas empat malam menginap di Club Med Lijiang. Kami merasakan resort ini menawarkan pengalaman yang berbeza daripada kebanyakan hotel yang pernah menjadi tempat persinggahan sepanjang perjalanan. Keistimewaannya bukan terletak pada satu kemudahan sahaja, tetapi pada gabungan lokasi, suasana, aktiviti, makanan dan konsep percutian yang ditawarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *