Merancang percutian ke Yunnan, China? Selain meneroka keindahan Kunming, Lijiang Old Town dan Jade Dragon Snow Mountain, korang juga boleh menikmati pengalaman penginapan yang berbeza di Club Med Lijiang, sebuah resort premium yang menggabungkan penginapan, aktiviti rekreasi dan hiburan dalam satu pakej percutian.
Club Med Lijiang, Yunnan China
Terletak di Lijiang, wilayah Yunnan, Club Med Lijiang menawarkan pengalaman percutian berkonsepkan Premium All-Inclusive dengan latar belakang pergunungan yang menakjubkan. Resort ini sesuai dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia yang merancang percutian ke China, sama ada bersama keluarga, pasangan atau rakan-rakan, khususnya bagi mereka yang mahukan keseimbangan antara aktiviti santai dan penerokaan destinasi baharu.

Apa yang menarik, pengalaman menginap di sini bukan sekadar menikmati kemudahan resort. Korang juga berpeluang meneroka keunikan budaya masyarakat Naxi, mengunjungi pekan bersejarah serta menikmati keindahan alam semula jadi yang menjadikan Lijiang antara destinasi pelancongan menarik di Yunnan.
Namun, sebelum memasukkan Club Med Lijiang dalam itinerari percutian korang, ada beberapa perkara yang wajar diketahui, termasuk kemudahan yang ditawarkan, aktiviti yang boleh dibuat di sana, lokasi tarikan berhampiran dan perkara yang termasuk dalam pakej penginapan.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan tarikan Club Med Lijiang serta maklumat penting yang boleh dijadikan rujukan untuk membantu korang merancang percutian ke Yunnan, China dengan lebih teratur.
Tarikan & Aktiviti di Club Med Lijiang
1. Penginapan Selesa dengan Pemandangan Gunung yang Menakjubkan
Salah satu tarikan utama Club Med Lijiang ialah lokasinya yang menawarkan pemandangan Jade Dragon Snow Mountain, antara mercu alam semula jadi paling terkenal di Lijiang. Seni bina resort ini menggabungkan elemen moden dengan inspirasi tradisional masyarakat Naxi. Hasilnya, suasana penginapan kelihatan elegan tetapi masih mengekalkan identiti budaya tempatan.

Resort ini menawarkan lebih dari 200 buah bilik dengan tiga kategori utama:
- Superior Room: Bilik moden dan selesa, sesuai untuk pasangan atau kumpulan kecil.
- Deluxe Room: Menawarkan ruang santai tambahan, dengan pilihan bilik berpemandangan indah dan bilik keluarga.
- Suite: Penginapan lebih eksklusif dengan ruang tamu, pemandangan gunung dan tempat mandi peribadi di kawasan luar bilik.
Setiap bilik direka supaya bersesuaian dengan suasana pergunungan di sekeliling resort. Bilik-biliknya turut mempunyai balkoni untuk tetamu menikmati udara segar dan pemandangan sekitar.

Kemudahan bilik termasuk Wi-Fi, televisyen, pendingin hawa, kelengkapan membuat teh atau kopi, peti keselamatan serta keperluan mandian. Untuk mereka yang gemar berehat sambil menikmati panorama alam, pilihan bilik dengan balkoni atau teres berpemandangan gunung pastinya lebih menarik.
Kemudahan khusus bergantung pada kategori bilik yang dipilih. Oleh itu, semak butiran bilik ketika membuat tempahan, terutamanya jika anda mahukan pemandangan gunung atau kemudahan tertentu.
2. Makan dan Minum Sepanjang Hari Tanpa Perlu Risau tentang Bil
Antara tarikan utama konsep all-inclusive Club Med ialah pengalaman menjamu selera. Tetamu boleh menikmati sarapan, makan tengah hari dan makan malam melalui pakej penginapan tanpa perlu membayar secara berasingan untuk hidangan yang termasuk.

Baisha Restaurant merupakan restoran utama yang menawarkan sajian bufet antarabangsa dan masakan China. Pilihannya merangkumi hidangan panas, makanan tempatan, pilihan Barat, buah-buahan dan pencuci mulut.
Selepas seharian beraktiviti, tetamu boleh bersantai di Dayan Bar atau di Blue Moon Bar (outdoor) sambil menikmati kopi, jus, minuman ringan atau pilihan minuman lain yang termasuk dalam pakej. Cuma perlu diingat, minuman premium tertentu, wain khas dan sesetengah perkhidmatan makanan mungkin dikenakan caj tambahan.
3. Free Photoshoot Pakaian Tradisional
Satu lagi pengalaman menarik yang boleh dinikmati ketika menginap di Club Med Lijiang ialah sesi photoshoot atau fotografi untuk merakam kenangan sepanjang percutian di Yunnan, China.

Menariknya, tetamu berpeluang menikmati sesi fotografi dengan memakai pakaian tradisional yang diinspirasikan oleh budaya tempatan atau gaya kostum drama Cina. Korang boleh bergaya dengan pakaian pilihan sambil merakam gambar kenangan dengan latar belakang resort dan pemandangan Jade Dragon Snow Mountain.
Lebih menarik, setiap bilik layak menerima satu tiket sesi fotografi percuma yang merangkumi tiga keping gambar digital. Ini bermakna, jika korang menempah dua bilik, korang berpotensi menerima enam keping gambar digital percuma, tertakluk pada terma dan syarat semasa resort. Jika korang mahukan lebih banyak gambar atau khidmat solekan khas, caj tambahan akan dikenakan.
Studio fotografi terletak di kawasan lobi resort, sekali gus memudahkan tetamu mendapatkan maklumat dan mengatur sesi bergambar.
4. Indoor Water Park Seluas 1,500 Meter Persegi!
Ini antara kemudahan paling menarik di Club Med Lijiang, terutamanya untuk mereka yang datang bersama keluarga.
Resort ini mempunyai indoor water park seluas 1,500 meter persegi, lengkap dengan gelongsor air, kawasan permainan air dan kolam renang. Menariknya, kawasan permainan air ini berada di dalam bangunan. Jadi, tetamu masih boleh menikmati aktiviti air walaupun cuaca di luar agak sejuk.

Kemudahan ini termasuk dalam tarikan all-inclusive resort, tertakluk pada waktu operasi dan peraturan keselamatan. Bukan kanak-kanak sahaja yang boleh berseronok, orang dewasa juga boleh menikmati kolam renang atau memilih untuk berehat dengan lebih santai.
5. Pelbagai Aktiviti Sukan dan Rekreasi Termasuk dalam Pakej
Percutian di Club Med Lijiang bukan sekadar berehat di bilik atau menikmati makanan. Resort ini turut menyediakan pelbagai aktiviti yang membolehkan tetamu mengisi masa dengan pengalaman baharu. Terdapat lebih dari 20 aktiviti yang termasuk dalam penginapan, selain aktiviti pilihan tertentu yang mungkin memerlukan bayaran tambahan.

Antara aktiviti yang ditawarkan atau disenaraikan dalam kategori rekreasi resort ialah:
- Memanah atau archery
- Yoga dan aktiviti kecergasan
- Tenis dan badminton
- Pickleball
- Aktiviti memanjat dinding
- Flying trapeze
- Sukan berkumpulan
- Penggunaan gimnasium
- Kolam renang dan indoor water park
- Hiburan serta aktiviti santai
Aktiviti yang tersedia bergantung pada jadual operasi, keadaan cuaca, umur peserta dan ketersediaan tenaga pengajar. Bagi mereka yang gemar mencuba sesuatu yang baharu, inilah peluang untuk meneroka aktiviti yang mungkin jarang dilakukan dalam rutin harian.
Korang juga boleh menyusun hari dengan lebih fleksibel, misalnya memulakan pagi dengan aktiviti kecergasan, menikmati makan tengah hari di resort dan menghabiskan waktu petang di taman tema air. Namun, jika terdapat aktiviti tertentu yang menjadi keutamaan korang, semak terlebih dahulu sama ada aktiviti tersebut tersedia dan termasuk dalam pakej penginapan.
6. Hiburan Malam yang Menghidupkan Suasana Resort
Keseronokan di Club Med Lijiang tidak berakhir selepas makan malam. Antara pengalaman menarik ialah program hiburan yang dikendalikan oleh pasukan Club Med, atau lebih dikenali sebagai G.O. (Gentils Organisateurs). Pasukan ini bukan sahaja membantu mengendalikan aktiviti resort, malah turut mewujudkan suasana yang mesra dan menyeronokkan sepanjang percutian.

Bergantung pada jadual harian resort, tetamu boleh menikmati hiburan pentas, persembahan muzik, tarian dan aktiviti interaktif.
Program seperti ini memberi peluang kepada tetamu untuk berinteraksi dengan pengunjung lain, menyertai aktiviti berkumpulan atau sekadar menikmati persembahan selepas seharian meneroka kawasan sekitar.
Bagi keluarga, hiburan malam juga boleh menjadi aktiviti bersama yang menyeronokkan. Pasangan dan kumpulan rakan pula boleh menikmati suasana resort tanpa perlu merancang perjalanan keluar setiap malam. Jenis persembahan dan aktiviti yang berlangsung mungkin berbeza mengikut tarikh penginapan. Oleh itu, rujuk jadual hiburan resort ketika tiba.
7. Mengenali Budaya Masyarakat Naxi di Lijiang
Yunnan bukan sahaja terkenal dengan landskap pergunungan yang menakjubkan, malah mempunyai warisan budaya yang kaya. Antaranya ialah budaya masyarakat Naxi, komuniti tempatan yang mempunyai tradisi seni, bahasa dan warisan tersendiri.

Club Med Lijiang mengetengahkan unsur budaya Naxi melalui reka bentuk resort, pengalaman kulinari dan aktiviti yang memperkenalkan tetamu kepada identiti tempatan. Bagi mereka yang mahu meneroka lebih jauh, kawasan sekitar resort turut menawarkan pengalaman kebudayaan seperti pengenalan kepada tulisan Dongba, bengkel kraftangan dan aktiviti tradisional tertentu.
Aktiviti seperti ini memberi dimensi berbeza kepada percutian. Korang bukan sahaja menikmati keindahan alam Yunnan, tetapi turut berpeluang memahami budaya yang membentuk identiti Lijiang. Bagaimanapun, bengkel kebudayaan dan pengalaman khusus ini ada diantaranya merupakan aktiviti pilihan berbayar yang memerlukan tempahan awal. Semak maklumat terkini dengan pihak resort sebelum menyertai mana-mana program.
8. Resort Mesra Keluarga dengan Kids Club
Bagi keluarga yang merancang percutian bersama anak-anak, Club Med Lijiang menawarkan program dan kemudahan yang direka mengikut kumpulan umur.
Antara program yang disenaraikan ialah:
- Petit Club Med: Untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun.
- Mini Club Med+: Untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 10 tahun.
- Teens Club Med: Untuk golongan remaja 11 hingga 17 tahun.
Melalui program yang bersesuaian, kanak-kanak boleh menyertai aktiviti seperti permainan berkumpulan, seni kreatif, sukan dan pengalaman pembelajaran. Sementara anak-anak mengikuti aktiviti yang sesuai dengan umur mereka, ibu bapa boleh menggunakan masa tersebut untuk berehat atau menikmati kemudahan resort.
Walau bagaimanapun, tidak semua perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semestinya termasuk dalam pakej. Program untuk kanak-kanak berumur bawah empat tahun, contohnya, mungkin memerlukan bayaran tambahan. Ketersediaan Kids Club, had umur, waktu operasi dan syarat penyertaan perlu disahkan ketika membuat tempahan, terutamanya jika anda merancang perjalanan bersama bayi atau kanak-kanak kecil.
9. Club Med Spa by Ahava untuk Pengalaman Relaksasi
Bercuti bukan sekadar mengisi masa dengan aktiviti menarik, tetapi juga peluang untuk merehatkan minda dan tubuh. Di Club Med Lijiang, korang boleh menikmati suasana yang lebih tenang dengan mengunjungi Club Med Spa by Ahava atau meluangkan masa di Zen Pool.

Bagi yang ingin memanjakan diri selepas seharian meneroka Lijiang atau menyertai aktiviti resort, spa ini menawarkan pilihan rawatan relaksasi yang boleh dipertimbangkan sepanjang penginapan. Sementara itu, Zen Pool menjadi satu lagi kemudahan yang boleh korang terokai untuk menikmati waktu santai dalam suasana resort.
Dengan adanya kemudahan ni menjadikan pengalaman menginap di Club Med Lijiang lebih seimbang, dengan pilihan untuk menikmati aktiviti aktif mahupun berehat mengikut keselesaan sendiri. Korang boleh menyusun jadual percutian dengan lebih fleksibel, sama ada mahu menghabiskan masa meneroka destinasi sekitar atau menikmati kemudahan yang tersedia di resort.
Untuk makluman, rawatan spa akan dikenakan bayaran tambahan dan tidak termasuk dalam pakej Premium All-Inclusive. Sebaiknya, semak dengan pihak resort mengenai caj, kemudahan serta syarat penggunaan Zen Pool sebelum menginap.
10. Lokasi Strategik untuk Meneroka Tempat Menarik di Lijiang
Selain kemudahan di dalam resort, Club Med Lijiang juga boleh dijadikan pangkalan untuk meneroka beberapa tempat menarik di Lijiang dan kawasan sekitarnya. Antara destinasi yang boleh dimasukkan dalam itinerari percutian anda ialah:

- Jade Dragon Snow Mountain
Jade Dragon Snow Mountain ialah tarikan alam semula jadi ikonik di Lijiang yang terkenal dengan rangkaian puncak pergunungan dan pemandangan yang memukau. Aktiviti dan akses ke kawasan tertentu bergantung pada keadaan cuaca, peraturan setempat dan jenis lawatan yang ditempah. - Blue Moon Valley
Blue Moon Valley terkenal dengan air berwarna biru kehijauan yang kelihatan menarik apabila berlatarbelakangkan pergunungan. Blue Moon Valley boleh dipertimbangkan bersama lawatan ke Jade Dragon Snow Mountain, bergantung pada jadual dan pengaturan perjalanan. - Baisha Ancient Town
Baisha Ancient Town merupakan antara tarikan bersejarah yang paling hampir dengan resort. Pekan ini terkenal dengan warisan masyarakat Naxi, suasana tradisional dan seni bina yang mencerminkan sejarah Lijiang. - Lijiang Ancient Town
Lijiang Ancient Town menawarkan suasana bandar lama dengan laluan berbatu, bangunan tradisional, kedai tempatan dan pelbagai pilihan makanan. Pengunjung boleh berjalan santai sambil menikmati seni bina bersejarah serta suasana kehidupan tempatan. Destinasi ini juga sesuai dikunjungi pada sebelah petang hingga malam, bergantung pada itinerari dan pilihan aktiviti anda. - Shuhe Ancient Town
Shuhe Ancient Town ialah satu lagi pekan bersejarah yang boleh dimasukkan dalam perancangan perjalanan di Lijiang. Suasananya sesuai untuk mereka yang mahu berjalan santai, meneroka kedai tempatan dan menikmati sisi berbeza warisan kawasan ini.
Perjalanan dari resort ke Lijiang Ancient Town dan Shuhe Ancient Town mengambil masa sekitar 20 hingga 40 minit dengan kenderaan, manakala Baisha Ancient Town kira-kira 10 minit perjalanan. Tempoh sebenar bergantung pada trafik dan keadaan perjalanan.
Club Med turut menawarkan pilihan lawatan luar resort. Walau bagaimanapun, lawatan ke destinasi tertentu biasanya dikenakan bayaran tambahan dan mungkin memerlukan tempahan awal.
Bila Waktu Terbaik untuk Menginap di Club Med Lijiang?
Masa terbaik untuk bercuti di Lijiang bergantung pada pengalaman yang korang inginkan. Jika tujuan utama anda ialah menikmati pemandangan Jade Dragon Snow Mountain, semak ramalan cuaca dan keadaan penglihatan gunung sebelum perjalanan. Bagi mereka yang mahu meneroka bandar lama dan budaya masyarakat Naxi, korang boleh merancang perjalanan yang menggabungkan penginapan di resort dengan lawatan ke Baisha Ancient Town, Lijiang Ancient Town dan Shuhe Ancient Town.
Jika bercuti bersama keluarga, pertimbangkan juga jadual operasi indoor water park, Kids Club dan aktiviti yang ingin disertai. Memandangkan Lijiang terletak di kawasan pergunungan, suhu dan keadaan cuaca boleh berubah mengikut musim serta ketinggian. Bawa pakaian yang sesuai dan semak keadaan cuaca sebelum bertolak, terutama jika anda merancang lawatan ke kawasan pergunungan yang lebih tinggi.
Berbaloi Ke Menginap di Club Med Lijiang?
Club Med Lijiang boleh menjadi pilihan menarik untuk pelancong yang mahukan pengalaman percutian dengan gabungan penginapan selesa, makanan, aktiviti dan kemudahan rekreasi dalam satu resort. Konsep Premium All-Inclusive memudahkan perancangan kerana banyak keperluan sepanjang penginapan boleh diuruskan di dalam resort. Pada masa yang sama, lokasinya berhampiran Jade Dragon Snow Mountain dan Baisha Ancient Town memberi peluang kepada tetamu untuk meneroka keindahan alam serta warisan budaya Lijiang.
Resort ini juga sesuai dipertimbangkan oleh keluarga yang mencari kemudahan mesra kanak-kanak, pasangan yang mahukan suasana percutian berlatarbelakangkan gunung dan kumpulan rakan yang gemar mencuba pelbagai aktiviti. Namun, sama ada ia berbaloi atau tidak bergantung pada bajet, tempoh penginapan dan cara korang menikmati percutian.
Jika korang bercadang menghabiskan banyak masa di resort, pelbagai kemudahan dan aktiviti yang disediakan mungkin memberikan nilai tambahan. Jika lebih gemar berada di luar sepanjang hari, bandingkan harga pakej dengan keperluan perjalanan korang.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Club Med Lijiang boleh menjadi pilihan penginapan yang menarik untuk rakyat Malaysia yang merancang percutian ke Yunnan, China, khususnya bagi mereka yang mengutamakan keselesaan, aktiviti rekreasi dan pengalaman percutian dalam satu pakej. Konsep Premium All-Inclusive membolehkan tetamu menikmati pelbagai kemudahan, hidangan dan aktiviti tanpa perlu menguruskan setiap keperluan secara berasingan. Ditambah dengan kemudahan seperti indoor water park, program kanak-kanak dan hiburan resort, penginapan di sini sesuai dipertimbangkan oleh keluarga yang bercuti bersama anak-anak, pasangan mahupun rakan-rakan.
Lokasinya juga sangat strategik untuk meneroka tarikan popular seperti Jade Dragon Snow Mountain, Blue Moon Valley, Shuhe Ancient Town, Baisha Ancient Town dan Lijiang Ancient Town. Korang boleh mengimbangkan masa antara menikmati kemudahan resort dengan meneroka keindahan alam semula jadi serta warisan budaya masyarakat Naxi.
Bagi pelancong dari Malaysia, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat tempahan. Antaranya ialah harga pakej mengikut musim, tempoh penginapan, kos penerbangan dan pengangkutan, keperluan pemakanan serta caj tambahan untuk aktiviti atau perkhidmatan tertentu. Jika korang memerlukan makanan halal, sebaiknya dapatkan pengesahan terus daripada pihak resort sebelum berlepas.
Jika korang merancang percutian ke Yunnan, China, jangan lupa masukkan Club Med Lijiang dalam senarai penginapan untuk dipertimbangkan. Untuk lebih banyak panduan percutian, destinasi menarik dan tip perjalanan dari Malaysia, ikuti terus Projek Travel dan layari laman web kami untuk mendapatkan lebih banyak inspirasi sebelum memulakan pengembaraan seterusnya!
- Club Med Lijiang: Resort All-Inclusive dengan Pemandangan Jade Dragon Snow Mountain
- Vietjet dan Satair Perkukuh Kerjasama Rantaian Bekalan Penerbangan
- Jom Terokai Yunnan, China! Ini Panduan Percutian dari Malaysia
- Cuti Perayaan Sekolah 2026: Tarikh KPM Kumpulan A dan B
- Bila Cuti Sekolah Hujung Tahun 2026? Semak Tarikh Rasmi