Panduan Solat Sunat Aidiladha: Waktu, Niat dan Cara

Niat solat sunat Aidiladha
Kongsi Artikel ini

Niat solat sunat Aidiladha, Cara solat sunat Aidiladha, Solat hari raya haji

Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Ia bukan sahaja memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s., tetapi juga menandakan kemuncak ibadah haji bagi jemaah yang berada di Tanah Suci. Bagi umat Islam lain, solat sunat Aidiladha menjadi salah satu ibadah penting yang dilaksanakan pada pagi 10 Zulhijjah.

Definisi & Makna Aidiladha?

Aidiladha, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Eid al-Adha dalam bahasa Arab, merupakan salah satu daripada dua perayaan utama dalam Islam yang diraikan oleh umat Muslim di seluruh dunia. Ia menandakan kemuncak musim haji dan simbol pengorbanan agung dalam sejarah Islam.

Asal Usul Perkataan Aidiladha

Perkataan Aidiladha berasal daripada dua istilah Arab:

  • Eid (عيد) – bermaksud perayaan atau hari besar.
  • Al-Adha (الأضحى) – bermaksud korban atau pengorbanan.

Secara literal, Aidiladha membawa maksud “Perayaan Pengorbanan”.

Kisah Di Sebalik Aidiladha

Perayaan ini memperingati kisah keimanan dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. yang menerima perintah daripada Allah S.W.T untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S. Sebagai tanda ketaatan mutlak, Nabi Ibrahim bersedia melaksanakannya. Namun, dengan penuh rahmat, Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas. Peristiwa ini menjadi simbol utama kepada erti sebenar pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan kepada perintah Tuhan.

Bila Aidiladha Disambut?

Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Islam, iaitu sehari selepas ibadah wukuf di Arafah – rukun haji yang paling penting.

Signifikan Ibadah Korban

Sebagai menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim A.S, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu atau unta. Daging korban ini kemudiannya diagihkan kepada:

  • Golongan fakir miskin
  • Keluarga terdekat
  • Rakan-rakan dan jiran tetangga

Ibadah ini bukan sekadar ritual penyembelihan, tetapi lambang keikhlasan dalam memberi dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Waktu Solat Sunat Aidiladha

Solat Sunat Aidiladha adalah antara amalan utama yang dilakukan pada pagi Hari Raya Korban. Ia merupakan sunnah muakkad; sangat dituntut dan dianjurkan untuk dilakukan oleh seluruh umat Islam, sama ada secara berjemaah mahupun bersendirian.

Bilakah Waktu Solat Aidiladha Bermula?

Solat Sunat Aidiladha boleh mula ditunaikan kira-kira 15 hingga 20 minit selepas waktu syuruk (terbit matahari), iaitu apabila matahari naik setinggi satu tombak. Ia berdasarkan hadis berikut:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW keluar bersama kami pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha), dan solat didirikan apabila matahari naik sekadar dua tombak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Tempoh Waktu Solat

  • Waktu bermula: 15–20 minit selepas syuruk
  • ⛔️ Waktu tamat: Sebelum gelincir matahari, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur

Jika solat tidak sempat dilakukan dalam waktu ini, maka solat sunat Aidiladha tidak lagi boleh ditunaikan kerana ia terikat dengan waktu tertentu sahaja.

Perbezaan Waktu Solat Aidiladha di Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Waktu solat Sunat Aidiladha berbeza sedikit mengikut lokasi di Malaysia, bergantung kepada waktu terbit matahari di kawasan masing-masing.

🕌 Semenanjung Malaysia

Di kebanyakan kawasan Semenanjung, matahari terbit sekitar jam 7:00 pagi. Oleh itu, waktu paling sesuai untuk mula menunaikan solat Aidiladha adalah kira-kira jam 8:00 pagi, iaitu selepas matahari naik setinggi satu tombak (sekitar 15–20 minit selepas syuruk). Waktu ini dianggap paling afdal, selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang mengutamakan solat hari raya pada awal waktu.

🌄 Sabah dan Sarawak

Di Sabah, syuruk berlaku lebih awal, sekitar 6:00 hingga 6:10 pagi, manakala di Sarawak, seperti di Kuching, matahari terbit sekitar 6:25 hingga 6:40 pagi. Maka, solat Aidiladha di kedua-dua negeri ini boleh dimulakan lebih awal, iaitu sekitar 7:30 hingga 8:00 pagi, bergantung kepada lokasi spesifik.

Sekiranya seseorang tidak berpeluang menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau surau, solat Aidiladha masih boleh dilakukan secara individu di rumah, tanpa khutbah, asalkan ia dilaksanakan dalam tempoh waktu yang dibenarkan.

Niat Solat Sunat Aidiladha

Niat merupakan rukun penting dalam setiap ibadah solat. Ia melambangkan keikhlasan dan kesedaran hati bahawa sesuatu amalan dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T. Dalam solat sunat Aidiladha, niat tetap menjadi asas utama sebelum memulakan solat.

Bagaimana Cara Berniat?

Secara asasnya, niat tidak perlu dilafazkan dengan lisan, kerana tempat niat adalah di dalam hati. Memadai dengan menghadirkan niat dalam hati sejurus sebelum takbiratul ihram.

Namun begitu, melafazkan niat secara perlahan tetap digalakkan sebagai cara membantu menumpukan perhatian dan meningkatkan kekhusyukan dalam solat.

Niat Solat Sunat Aidiladha Bersendirian

أُصَلِّي سُنَّةً لِعِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatan Li ‘idilAdha Rak’ataini Adaan Lillahi Taala

Niat Dalam Bahasa Melayu
Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

Niat Solat Sunat Aidiladha Sebagai Makmum

Jika anda solat berjemaah sebagai makmum, anda boleh berniat solat sunat Aidiladha seperti ini:

أُصَلِّي سُنَّةً لِعِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatan Li ‘idilAdha Rak’ataini makmuman Lillahi Taala

Niat Dalam Bahasa Melayu
Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta’ala.

Niat Solat Sunat Aidiladha Sebagai Imam

Jika anda menjadi imam untuk solat berjemaah bersama keluarga, berniatlah sebagai imam:

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatan Li ‘idilAdha Rak’ataini imaman Lillahi Taala

Niat Dalam Bahasa Melayu
Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.

Cara Mengerjakan Solat Sunat Aidiladha

Ringkasan Cara Melakukan Solat Sunat Aidiladha

  • Solat Sunat Aidiladha dimulakan dengan takbiratul ihram sambil berniat dalam hati ‘Sahaja Aku Solat Sunat Aidiladha Dua Rakaat Tunai / Makmum Kerana Allah Taala‘
  • Disunatkan membacalah Doa Iftitah selepas takbiratul ihram.
  • Kemudian lakukan takbir tambahan sebanyak tujuh (7) kali untuk rakaat pertama. Takbir tersebut diselangi dengan bacaan tasbih.
  • Selesai takbir tambahan, bacalah al-Fatihah dan surah lazim.
  • Seterusnya lakukan rukuk, sujud dua kali dan bangun semula untuk rakaat kedua.
  • Rakaat kedua dimulakan dengan takbir intiqalat. Kemudian lakukan takbir tambahan sebanyak lima (5) kali untuk rakaat kedua, dan juga diselangi dengan bacaan tasbih.
  • Seterusnya bacalah surah al-Fatihah dan surah lazim.
  • Kemudian lakukan rukuk, sujud dan tahiyyat akhir untuk rakaat kedua. Akhiri Solat Sunat Aidiladha dengan memberi salam.
  • Jika solat berjemaah, maka seterusnya adalah Khutbah Aidiladha

Mengambil tahu tentang waktu, cara solat, dan niat yang betul untuk Solat Sunat Aidiladha sangat penting agar ibadah kita menepati sunnah dan sah dari segi syariat. Jadikan artikel ini sebagai rujukan bermanfaat untuk keluarga dan komuniti dalam menyambut Hari Raya Korban dengan penuh ilmu dan kefahaman.

BACA: Contoh Ucapan Hari Raya Haji 2025

Jangan lupa simpan dan share artikel ni jika korang rasa bermanfaat! Follow Projek Travel untuk lebih banyak perkongsian menarik tentang budaya, ibadah dan gaya hidup Muslim di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *