Beduk Lama di Tokong Mek: Simbol Perpaduan Melayu–Cina di Kelantan

Beduk Lama di Tokong Mek
Kongsi Artikel ini

Beduk Lama Hadiah Sultan Muhammad II di Tokong Mek: Simbol Perpaduan Melayu–Cina di Kelantan

Di Kampung Cina, Kota Bharu, tersimpan sebuah artifak bersejarah yang amat bernilai. Ia merupakan sebuah beduk lama yang dihadiahkan oleh Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah) kepada masyarakat Cina pada tahun 1879. Hingga kini, beduk tersebut masih disimpan rapi di Tokong Mek (Tin Hin Kong). Salah sebuah tokong tertua di Kelantan yang didedikasikan kepada dewi laut Ma Zu, pelindung pelaut Cina sejak turun-temurun.

Latar Belakang Sejarah dan Pemberian Beduk (1879)

Konteks Tahun 1877-1879 – Misi Bunga Emas:

Pemberian beduk ini mempunyai kaitan rapat dengan peristiwa penghantaran Bunga Emas Kelantan kepada Raja Siam. Pada tahun 1877, ketika pemerintahan Sultan Muhammad II. Rombongan kapal yang membawa bunga emas tersebut telah dilanda ribut taufan sebaik sahaja berlayar.

Akibatnya, rombongan berkenaan hilang khabar selama lebih sebulan, menimbulkan kebimbangan besar di istana. Sultan mula risau akan nasib rombongan tersebut. Bimbang sama ada bunga emas selamat diserahkan atau tidak kepada Raja Siam. Dalam kegusaran itu, baginda meminta bantuan seorang tukang tilik istana berketurunan Cina bernama Tok Ubi. Tok Ubi kemudian bertindak mendapatkan petunjuk spiritual dengan mengunjungi Tokong Mek, iaitu tokong masyarakat Cina di Kampung Cina tersebut.

Baca juga : Bunga Mas Original Kelantan

Melalui tiga kali upacara tilikan yang dilakukan di Tokong Mek. Beliau telah memperoleh petunjuk positif bahawa rombongan ufti berada dalam keadaan selamat dan bakal pulang ke Kelantan.

Rombongan Selamat Tiba & Niat Sultan Membalas Jasa:

Ramalan Tok Ubi terbukti benar. Selepas beberapa lama, rombongan pembawa bunga emas ke Siam selamat tiba semula ke Kelantan. Dikatakan telah dikesan tiba di kuala sungai. Berita itu disampaikan kepada Sultan Muhammad II. Baginda amat menghargai jasa Tok Ubi serta komuniti Cina yang membantu menenangkan keresahan istana. Sebagai penghargaan, baginda bertanya jika ada apa-apa permintaan yang wajar dikurniakan kepada masyarakat di Kampung Cina.

Pihak komuniti Cina (melalui tokoh pemimpin mereka) secara sepakat memohon dikurniakan sebuah beduk untuk kegunaan di tokong. Khususnya untuk dibunyikan sebagai isyarat waktu sembahyang dan upacara tertentu di tokong itu. Permintaan unik ini mungkin timbul kerana mereka menyedari pentingnya bunyi beduk sebagai pemberitahu waktu ibadah (sebagaimana praktik di masjid-masjid Melayu).

Sultan amat berbesar hati dengan permintaan tersebut. Baginda segera menitahkan supaya sebuah beduk khas ditempah dan seterusnya menghadiahkannya kepada komuniti Kampung Cina berkenaan. Beduk itulah yang kini masih disimpan elok di Tokong Mek.

Pemberian ini turut mencerminkan keakraban hubungan Sultan dengan masyarakat Cina. Bahkan dikatakan ketua kapal rombongan Bunga Emas ke Siam itu sendiri ialah seorang Cina Kelantan bernama Awang, menunjukkan kepercayaan tinggi Sultan terhadap orang Cina ketika itu

Nilai Budaya Beduk dalam Budaya Kelantan dan Masyarakat Cina Tempatan

Warisan Dua Budaya

Beduk tersebut mempunyai nilai budaya yang amat signifikan kerana menggabungkan elemen tradisi Melayu-Islam dengan budaya komuniti Cina Peranakan Kelantan. Dalam tradisi Melayu Kelantan (dan Nusantara amnya), beduk adalah gendang besar yang lazimnya digunakan di surau & masjid. Fungsinya ialah untuk menandakan masuknya waktu solat, waktu berbuka puasa, serta sebagai alat komunikasi dalam pelbagai acara keramaian.

beduk hadiah dari sultan muhammad II kepada kaum cina di Kelantan

Bunyi beduk sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu sebagai isyarat ritual dan sosial. Penggunaan beduk oleh komuniti Cina di tokong membuktikan wujudnya penyesuaian budaya serta pengaruh timbal balik antara masyarakat Melayu & Cina di Kelantan.

Tokong Mek (Tin Hin Kong)

Tokong Mek di Kampung Cina, Kota Bharu ialah sebuah tapak warisan bersejarah yang berusia lebih ratusan tahun. Dibina sekitar akhir abad ke-18, iaitu pada tahun 1787 semasa pemerintahan Long Yunus. Tokong ini diiktiraf sebagai salah satu tokong Cina tertua di Malaysia, malah antara yang tertua di Asia Tenggara.

tokong mek di kota bharu

Tokong ini didedikasikan kepada dewi laut Ma Zu (dikenali sebagai Ma Chor dalam dialek Hokkien Kelantan) yang sangat dihormati oleh pelaut Cina sebagai pelindung perjalanan di laut. Kehadirannya membuktikan bahawa komuniti Cina telah lama menetap di Kelantan, khususnya di kawasan Kota Bharu. Mereka hidup berdampingan secara harmoni dengan penduduk tempatan sejak lebih dua abad yang lalu.

Masyarakat Cina awal di Kelantan, kebanyakannya dari selatan China (etnik Hokkien & lain-lain). Mereka mula berhijrah seawal era Long Yunus pada 1780-an sehinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah). Penempatan utama mereka berkembang di Kampung Cina Dalam (Kampung Kuala) & Kampung Cina Luar (Sungai Keladi), yang menjadi pusat komuniti serta pusat perdagangan orang Cina ketika itu.

Tokong Mek hari ini bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, tetapi juga sebagai penanda sejarah kewujudan masyarakat Cina Peranakan Kelantan. Melambangkan integrasi budaya dan keagamaan yang unik di negeri ini.

Asimilasi Budaya dalam Komuniti Cina Kelantan

Masyarakat Cina Kelantan terkenal sebagai Cina Peranakan yang memiliki budaya unik hasil asimilasi dengan budaya setempat. Mereka bertutur dalam dialek Hokkien yang bercampur loghat Melayu Kelantan, malah ramai yang lebih selesa berbahasa Melayu Kelantan dalam pergaulan harian. Dari segi gaya hidup, pakaian, makanan dan kepercayaan, komuniti ini menggabungkan unsur-unsur Cina, Melayu dan Siam. Misalnya, kepercayaan tradisional dan perubatan mereka dipengaruhi oleh amalan Melayu dan Siam, di samping berpegang kepada agama Buddha/Tao.

Nama-nama jolokan Melayu turut diberi kepada tokoh-tokoh Cina, sebagai contoh Tok Ubi dan Awang. Ia mencerminkan betapa akrabnya hubungan sosial antara kaum. Dalam konteks ini, beduk hadiah Sultan Muhammad II membawa nilai budaya yang besar: ia melambangkan penerimaan komuniti Cina terhadap sebahagian budaya Melayu (penggunaan beduk) dalam amalan mereka sendiri. Beduk tersebut digunakan di Tokong Mek sebagai alat pemberitahu waktu sembahyang dan memulai upacara keagamaan, serupa fungsinya dengan beduk di masjid sebagai penanda masuk waktu solat.

Integrasi amalan ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina tempatan menghargai budaya Kelantan dan bijak menyesuaikan tradisi mereka dengan adat tempatan tanpa mengorbankan identiti agama mereka. Beduk itu juga dianggap barang kebesaran tokong – ia bukan sekadar instrumen muzik, tetapi simbol perlindungan dan restu daripada pihak berkuasa Melayu (Sultan) terhadap komuniti Cina. Nilai inilah yang menjadikan beduk lama ini satu artifak budaya yang sangat bernilai di Kelantan, melangkaui batas fungsi asalnya.

Peranan dalam Hubungan Etnik Melayu–Cina

Beduk lama di Tokong Mek tidak hanya berfungsi sebagai alat ibadat, tetapi juga sebagai simbol perpaduan dan toleransi antara etnik. Pemberian itu membuktikan bahawa sejak abad ke-19, Sultan Kelantan sudah menzahirkan sikap inklusif terhadap rakyat bukan Islam, sementara masyarakat Cina pula menghargai pengiktirafan tersebut dengan mengekalkan beduk ini sebagai warisan.

Bunyi beduk yang bergema dari Tokong Mek suatu ketika dahulu dapat didengari oleh masyarakat sekitar, termasuk orang Melayu. Ia menjadi bahasa komunikasi bersama yang merentas sempadan agama dan etnik. Bahkan, semangat muhibah itu terbukti kukuh apabila Kelantan tidak terjejas sewaktu rusuhan kaum 13 Mei 1969, kerana masyarakat Melayu dan Cina di negeri ini sudah lama hidup harmoni dan saling menghormati.

Kesimpulan

Beduk “diraja” di tokong lama Kampung Cina ini menjadi bukti kukuh lagi terserlah tentang wujudnya hubungan rapat Melayu–Cina di Kelantan sejak ratusan tahun dahulu. Hingga hari ini, beduk lama di Tokong Mek kekal sebagai artifak sejarah Kelantan yang menggambarkan toleransi, saling hormat dan kerjasama antara dua komuniti besar di negeri ini. Ia bukan sahaja simbol sejarah, tetapi juga bukti bahawa perpaduan kaum boleh dibina melalui saling percaya dan penghargaan budaya.

Melawat Tokong Mek di Kampung Cina bukan sekadar menjejak warisan komuniti Cina, tetapi juga menyelami kisah unik yang mempertautkan hubungan Melayu dan Cina di Kelantan.

👉 Untuk lebih banyak kisah menarik tentang budaya dan sejarah, jangan lupa follow Projek Travel di media sosial. Simpan dan kongsikan artikel ini supaya lebih ramai dapat mengetahui warisan perpaduan yang membanggakan di Kelantan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *