Resipi Sup Tulang Thai

resipi sup tulang thai
Kongsi Artikel ini

Resipi Sup Tulang Ala Thai; Pedas, Masam & Wangi Segar!

Sup Tulang Ala Thai merupakan salah satu hidangan berkuah yang semakin popular di Malaysia, terutamanya bila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidiladha. Kuahnya yang masam, pedas, dan beraroma segar menjadikan sup ini sangat membuka selera. Terutama bila dimakan panas-panas bersama nasi putih dan sambal belacan.

Berbeza dengan sup tradisional tempatan yang kaya rempah kering, versi Thai ini lebih menonjolkan rasa bahan segar seperti daun ketumbar, batang saderi, daun limau purut, cili padi, dan jus limau nipis. Gabungan ini menghasilkan kuah yang ringan tapi “power”, cukup menyegarkan dan tidak memuakkan walau dinikmati berulang kali.

Resipi Sup Tulang Ala Thai

Bahan-Bahan Sup Tulang Ala Thai

Bahan-bahan utama:

  • 1.5 kg tulang lembu
  • 2–2.5 liter air
  • 1 batang serai (dititik)
  • 2 ulas bawang putih (dititik)

Bahan Sup:

  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 biji bawang merah kecil
  • 4 ulas bawang putih
  • 1½ inci halia
  • 1 paket sup bunjut
  • Rempah 4 sekawan
  • Akar & daun ketumbar
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 kiub pati lembu atau ayam (pilihan)
  • 3 sudu besar sos ikan
  • Garam & serbuk lada putih secukupnya
  • 1 batang saderi (batang & daun)
  • 1 biji bawang Holland (dihiris)
  • 3 helai daun limau purut (pilihan)
  • 3–4 sudu besar jus limau nipis
  • 1 biji tomato (dibelah empat)
  • 10 tangkai cili padi (biar sebiji)

Cara Memasak Sup Tulang Ala Thai

  1. Rebus Tulang Hingga Empuk
    Masukkan tulang lembu bersama serai dan bawang putih ke dalam periuk.
    Rebus hingga lembut – lebih kurang 1 jam menggunakan pressure cooker atau 2 jam jika rebus biasa.
    Asingkan tulang dan air rebusan, jangan buang airnya!
  2. Sediakan Bahan Tumis
    Tumbuk halus bawang merah, bawang putih, dan halia.
    Panaskan minyak, kemudian tumis bahan tumbuk hingga naik bau dan kekuningan.
    Masukkan sup bunjut serta rempah 4 sekawan, kacau seketika.
  3. Didihkan Kuah Sup
    Tuang air rebusan tulang ke dalam periuk tumisan.
    Tambahkan akar ketumbar, sos tiram, sos ikan, garam, lada putih dan kiub pati lembu.
    Masukkan tulang lembu rebus tadi, biar mendidih hingga kuah sebati dengan rasa daging.
  4. Masukkan Sayuran dan Perisa Segar
    Tambahkan batang saderi, daun limau purut, dan hirisan bawang Holland.
    Bila hampir siap, masukkan tomato, jus limau nipis, cili padi, serta taburan daun ketumbar segar.
  5. Rasa & Hidang
    Kacau perlahan, sesuaikan rasa masam, masin dan pedas mengikut cita rasa.
    Sedia untuk dihidang panas-panas bersama nasi putih!

Petua Sup Tulang Ala Thai Lebih Sedap

  • Daun ketumbar segar paling wangi jika jenis yang pendek, lebih kurang panjang tapak tangan.
  • Buang sisa minyak yang terapung selepas merebus tulang untuk elak kuah terlalu berminyak.
  • Gunakan bawang Holland kerana aromanya lebih manis dan lembut.
  • Untuk rasa lebih “kick”, tambahkan hirisan limau nipis segar ketika hendak dihidang.

Sup Tulang Ala Thai bukan sekadar lauk biasa, ia hidangan yang menggamit selera dan menyatukan rasa masam, pedas serta wangi herba segar dalam satu mangkuk. Sesuai dimasak ketika cuaca sejuk atau sebagai juadah istimewa untuk keluarga di hujung minggu.

Kalau korang suka resepi macam ni, follow Projek Travel di media sosial untuk dapat lebih banyak idea masakan, tempat makan menarik dan kisah budaya tempatan yang unik! Jangan lupa simpan & kongsi artikel ni untuk rujukan nanti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *