Permit Untuk Terbangkan Dron Secara Sah di Malaysia. Untuk pengetahuan korang, jika korang nak menerbangkan dron di Malaysia secara sah, korang kini perlu mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Peraturan ini bukan sekadar formaliti, tetapi langkah penting untuk memastikan keselamatan ruang udara negara serta mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Sama ada untuk tujuan rekreasi atau komersial, semua penerbangan dron perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu. Tanpa permit ini, penerbangan dron boleh dianggap sebagai satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda yang tinggi atau hukuman penjara.
Siapa Yang Perlu Memohon Permit?
Keperluan mendapatkan permit ini merangkumi semua jenis penerbangan dron, sama ada untuk tujuan komersial atau rekreasi. Ini termasuklah:
- Penggambaran perkahwinan
- Video korporat
- Aktiviti rekreasi dengan dron yang mempunyai kamera
- Latihan penerbangan pesawat tanpa pemandu
Jika dron korang terbang di bawah 400 kaki, tetap perlu mendapatkan kebenaran untuk mengelakkan sebarang masalah dengan pihak berkuasa.
Berapa Kos Permit dan Bagaimana Prosesnya?
Bagi mendapatkan permit Authorisation To Fly (ATF), korang perlu membayar RM250 jika dron korang mempunyai berat kurang daripada 20kg. Proses permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh penerbangan bagi memastikan kelancaran dalam mendapatkan kelulusan.
Untuk memudahkan pengguna, CAAM akan menyediakan pendaftaran secara dalam talian, termasuk panduan lengkap untuk membantu pemilik dron mematuhi protokol keselamatan yang ditetapkan. Borang permohonan boleh dimuat turun dan dihantar melalui emel ke drone.atf@caam.gov.my.
Syarat Tambahan Sebelum Menerbangkan Dron
Selain mendapatkan permit ATF daripada CAAM, terdapat beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi:
- Pemeriksaan Standard Keselamatan – Dron perlu disemak oleh SIRIM untuk memastikan ianya memenuhi piawaian keselamatan.
- Permit Fotografi Udara & Pemetaan – Jika penerbangan dron bertujuan untuk fotografi udara atau pemetaan, kebenaran perlu diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Apa Risiko Jika Terbang Tanpa Permit?
Jangan ambil mudah! Jika didapati menerbangkan dron tanpa kebenaran, korang boleh dikenakan denda minimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu. Manakala bagi badan korporat, denda boleh mencecah RM100,000. Ini adalah langkah yang diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan ruang udara negara dikendalikan dengan lebih selamat dan teratur.
Kenapa Peraturan Ini Diperketatkan?
CAAM telah mengenal pasti beberapa operasi dron tanpa kebenaran yang dijalankan untuk tujuan latihan dan komersial. Oleh itu, langkah ini diambil bagi memastikan setiap operasi penerbangan dron dikawal dengan lebih baik, mengelakkan sebarang risiko keselamatan serta melindungi privasi individu dan premis tertentu.
Buat korang yang gemar menerbangkan dron, pastikan korang mematuhi semua syarat yang ditetapkan supaya tidak berdepan dengan masalah undang-undang. Proses permohonan mungkin nampak sedikit leceh, tapi ia adalah langkah penting bagi memastikan penerbangan dron lebih selamat dan tidak menjejaskan ruang udara negara.
Jadi, sebelum terbang, pastikan semuanya beres dan ikut peraturan yang ditetapkan!
Sumber : FMT
Artikel Menarik : Kenali Kepulauan Borneo Malaysia