Mulai November 2025, rakyat Malaysia kini boleh menikmati perjalanan tanpa had di bawah perkhidmatan BAS.MY dengan harga pas perjalanan 30 hari yang lebih rendah. Harga pas perjalanan diturunkan daripada RM50 kepada hanya RM30 sebulan.
Langkah ini menjadikan kos perjalanan awam lebih mampu milik, bersamaan dengan RM1 sehari bagi pengguna yang kerap menggunakan pengangkutan bas dalam kehidupan harian mereka. Dengan pengurangan kadar ini, rakyat dijangka dapat menjimatkan antara RM200 hingga RM300 sebulan, terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Cakupan Penggunaan Seluruh Negara
Pas perjalanan RM30 sebulan ini bakal diperluas ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan BAS.MY. Menggantikan jenama lama myBAS yang mula beroperasi sejak 2015.
Program SBST (Bas Berhenti-Henti) di bawah inisiatif ini mencatatkan prestasi memberangsangkan. Khususnya di Johor Bahru yang merekodkan jumlah penumpang tertinggi di negara ini sejak 2022. Dengan purata 940,000 penumpang setiap bulan pada tahun 2025.
Selain itu, BAS.MY kini beroperasi di 21 laluan aktif, termasuk tambahan tiga laluan baharu. Dengan pelaburan sebanyak RM134.94 juta bagi tempoh dua tahun untuk mengekalkan mutu dan keberkesanan perkhidmatan.
Kad Konsesi dan Kemudahan Khas
Bagi memudahkan akses kepada pas perjalanan ini, pengguna boleh memohon Kad Konsesi BAS.MY, yang menawarkan kadar istimewa kepada pelajar, warga emas, serta golongan OKU (Orang Kurang Upaya).
Dalam masa yang sama, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif BAS.MY MEDIK yang akan dilaksanakan di Johor Bahru menjelang hujung 2025.
Perkhidmatan ini menyediakan van khas untuk pesakit dialisis, pengguna kerusi roda dan individu OKU, dilengkapi kemudahan mesra pengguna serta berasaskan tempahan mengikut permintaan melalui aplikasi mudah alih atau panggilan telefon.
Terma dan Syarat Penggunaan
Pas perjalanan tanpa had BAS.MY ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia, manakala bukan warganegara dikenakan tambang penuh. Pengguna boleh menempah perkhidmatan melalui aplikasi mudah alih BAS.MY. Atau panggilan telefon, menjadikan proses tempahan lebih cepat, efisien dan mesra pengguna.

Kesimpulan
Langkah menurunkan harga pas perjalanan BAS.MY kepada RM30 sebulan menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, sambil memodenkan sistem pengangkutan awam negara.
Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan mobiliti rakyat. Tetapi juga mencerminkan visi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dengan sistem pengangkutan awam yang inklusif, cekap, & berdaya tahan.
Simpan artikel ni untuk rujukan korang, dan kongsi dengan kawan atau keluarga supaya lebih ramai tahu tentang kemudahan BAS.MY ni. Follow Projek Travel di media sosial untuk info pelancongan, gaya hidup dan inisiatif awam terkini di Malaysia setiap minggu!