Panggilan Keluarga Jawi Peranakan di Pulau Pinang Yang Masih Dituturkan
Mungkin korang pernah terdengar seseorang memanggil abang ipar mereka dengan gelaran “macan” atau abang dengan sebutan “nana”? Bagi masyarakat Jawi Peranakan Pulau Pinang (Penang), inilah antara istilah kekeluargaan unik yang masih digunakan sejak abad ke-19. Walaupun dunia semakin moden dan masyarakat kini banyak bertutur dalam bahasa Melayu Tanjung serta Inggeris, bahasa warisan Jawi Peranakan tetap segar dan penuh makna dalam kehidupan mereka.
Sejarah Jawi Peranakan di Pulau Pinang
Komuniti Jawi Peranakan mula berkembang di Penang hasil pertemuan pelbagai bangsa dan budaya. Mereka merupakan keturunan campuran India Muslim dengan masyarakat Melayu tempatan, yang kemudian turut menerima pengaruh budaya Arab, Benggali, Punjabi, Gujerat dan Afghani. Hasil asimilasi ini maka wujudlah satu identiti baharu yang unik dari segi adat, budaya, bahasa, dan cara hidup.
Pulau Pinang pada ketika itu adalah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang sibuk, maka tidak hairanlah wujudnya percampuran budaya yang akhirnya melahirkan warisan JawiPeranakan yang unik.
Istilah Kekeluargaan Jawi Peranakan
Bahasa bukan sekadar medium komunikasi, tetapi juga cerminan hubungan erat dan rasa hormat dalam keluarga. Antara istilah yang digunakan oleh masyarakat Jawi Peranakan ialah:
Mami | Ibu saudara |
Mamu | Bapa saudara |
Nana | Abang |
Aci | Kakak |
Macan | Abang ipar |
Maini | Kakak ipar |
Maple | Pengantin lelaki |
Ponu | Pengantin wanita |
Panggilan ini membawa makna yang lebih mendalam berbanding sekadar gelaran, kerana ia mengikat identiti komuniti dengan akar sejarah dan budaya mereka.
Bahasa Sebagai Warisan Identiti
Walaupun generasi baharu semakin terdedah dengan bahasa moden, panggilan tradisi ini masih terus digunakan dalam keluarga tertentu. Ia menjadi simbol bahawa bahasa adalah sebahagian daripada identiti budaya yang tidak boleh dipisahkan.
Penggunaan istilah seperti maini, nana, atau aci adalah bukti bagaimana bahasa mampu mengekalkan jati diri, walaupun arus globalisasi semakin mencabar tradisi tempatan.
Baca juga: Sejarah Disebalik Gelaran Che di Kelantan
Rujukan dan Dokumentasi Sejarah
Bagi anda yang ingin memahami lebih mendalam tentang sejarah dan budaya Jawi Peranakan, buku “Jawi Peranakan di Pulau Pinang: Ekspresi Sebuah Identiti” terbitan Penerbit USM adalah rujukan terbaik. Buku ini menghimpunkan kajian mendalam tentang perjalanan komuniti Jawi Peranakan, termasuk bahasa, tradisi, dan sumbangan mereka dalam sejarah Pulau Pinang.

Warisan bahasa Jawi Peranakan di Penang bukan sekadar nostalgia, tetapi cerminan hubungan kasih sayang, hormat-menghormati, dan kesinambungan budaya. Selagi panggilan seperti mami, mamu, nana dan aci masih dituturkan, selagi itulah identiti komuniti ini kekal hidup di bumi Pulau Mutiara.
📖 Untuk kisah penuh dan kajian yang lebih menyeluruh, dapatkan buku “Jawi Peranakan di Pulau Pinang: Ekspresi Sebuah Identiti”.
👉 Jangan lupa follow Projek Travel, simpan artikel ini, dan kongsikan dengan rakan-rakan supaya lebih ramai mengenali khazanah budaya unik ini.