Singgora, Pasir Hor: Rumah Tradisi, Makanan Kampung 10 Bintang di Kota Bharu

Singgora, Pasir Hor
Kongsi Artikel ini

Singgora, Pasir Hor: Rumah Tradisi, Vibes & Makanan Kampung 10 Bintang di Kota Bharu

Tak perlu jauh ke pedalaman untuk rasa suasana kampung Kelantan yang asli; cukup singgah ke Singgora , satu permata tersembunyi di Pasir Hor, Kota Bharu. Terletak hanya 4 kilometer dari pusat bandar, tempat ini menggabungkan keindahan seni bina Melayu lama dengan keenakan sajian kampung yang penuh rasa dan kenangan.

Daripada rumah kayu cengal beratap Singgora yang gah berdiri, hinggalah ke pinggan bunga klasik yang terhidang dengan lauk gulai kawah dan ikan rebus goreng, setiap inci Singgora membawa pengunjung ‘balik kampung’ dalam cara yang sangat istimewa. Suasananya damai, makanannya sedap dan pasti puas hati; tak hairanlah ia menjadi pilihan ramai termasuk VVIP dan pelancong luar negeri.

Rumah Cengal Lama, Atap Singgora: Kembali ke Zaman Silam

Dari jauh lagi, struktur kayu tradisional rumah ini sudah mencuri tumpuan. Dibina menggunakan kayu cengal lama dan beratapkan genting Singgora, seni bina klasik rumah ini menggamit rasa; seolah-olah korang dibawa semula ke era rumah nenek moyang.

Tidak hairanlah, Singgora kini tular dan sering dikunjungi oleh VVIP, artis tempatan, instafamous serta pencinta budaya yang menghargai keaslian warisan Melayu.

Makanan Kampung Dengan Sentuhan Nostalgia

Apa yang menjadikan Singgora terkenal adalah hidangan menu makan tengah hari berkonsepkan kampung asli dan sentuhan nostalgia. Lebih mengujakan, semua makanan dihidangkan dalam pinggan bunga klasik, dan tembaga yang membangkitkan nostalgia zaman kecil di kampung.

Antara menu yang sering membuat pelanggan pulang dengan senyum puas:

  • Ayam kampung goreng
  • Udang sambal petai
  • Ikan bakar berempah
  • Kulat sisir goreng
  • Sayur masak lemak
  • Telur dadar daun remunggai
  • Ulam-ulaman segar dengan budu & sambal tradisi
  • Sambal Cuppu
  • Pelbagai kuih muih lama – jala emas, tahi itik, kuih peria, kuih koci

Setiap suapan bukan sahaja mengenyangkan, tetapi menghidupkan semula kenangan zaman kecil bersama keluarga di kampung.

Siapa di Sebalik Singgora?

Singgora diasaskan oleh Mohamad bin Salleh, lebih mesra dikenali sebagai Abe Mat. Beliau merupakan pemilik dan penggerak utama yang membangunkan tempat ini daripada tapak warisan keluarga kepada sebuah destinasi warisan budaya dan kulinari yang kini dikenali ramai.

Dengan minat mendalam terhadap seni bina dan makanan tradisional Melayu, Abe Mat bukan sahaja mengekalkan keaslian rumah warisan, tetapi juga memastikan setiap menu yang disajikan kekal asli, penuh rasa dan penuh jiwa.

Lokasi Penuh
Rumah Singgora
Lot 860, Kampung Air Deras
Jalan Tengku Maasum, Mukim Padang Enggang, Pasir Hor
Lorong Masjid, 15150 Kota Bharu, Kelantan
Facebook: RumahSinggora

Tempahan Awal Sahaja
Perlu diingat, Singgora hanya menerima pelanggan melalui tempahan awal sahaja. Tiada walk-in dibenarkan bagi memastikan layanan eksklusif dan keselesaan semua tetamu.

Di Sini, Makanan Bercerita dan Rumah Menyimpan Jiwa

Singgora bukan sekadar tempat makan, ia adalah ruang hidup yang menghidupkan kembali kenangan lama, rasa kampung yang tulen, & warisan yang hampir dilupakan. Setiap suapan, setiap sudut rumah, & setiap pinggan bunga yang terhidang, membawa cerita; tentang siapa kita, dan dari mana kita datang.

Di bawah kendalian penuh dedikasi Abe Mat, tempat ini berjaya menyatukan keaslian warisan dengan cita rasa kampung yang membumi. Kalau korang ke Kota Bharu dan nak lebih daripada sekadar makan, Singgora Hor wajib ada dalam senarai. Ia bukan sekadar tempat makan, tapi satu pengalaman yang menyentuh hati.

Simpan & kongsi artikel ini untuk inspirasi jalan-jalan ke tempat penuh makna. Jangan lupa follow media sosial Projek Travel untuk temui lebih banyak destinasi budaya & makanan rare di seluruh Malaysia!

One thought on “Singgora, Pasir Hor: Rumah Tradisi, Makanan Kampung 10 Bintang di Kota Bharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *