Sumpahan Ikan Tapah Keturunan Pak Kaduk
Sumpahan Ikan Tapah adalah salah satu kisah legenda Melayu yang dikaitkan dengan keturunan Pak Kaduk, figur rakyat yang sering diceritakan dalam sejarah dan hikayat lama. Kisah ini bukan sahaja sarat dengan pengajaran, malah masih dipercayai oleh sesetengah masyarakat hingga ke hari ini, khususnya di Perak.
Siapa Pak Kaduk?
Mengikut cerita, Pak Kaduk ialah seorang pemuda berketurunan raja dari Siak, Sumatera yang berhijrah ke Kampung Pulau, Lambor Kiri, di tebing Sungai Perak. Beliau berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus menetap di sana. Nama Pak Kaduk kemudiannya menjadi sebutan kerana kepandaiannya dalam sabung ayam.

Ayam sabungnya, Biring Si Kunani, sangat gagah dan sering menang sehingga menimbulkan rasa gentar para pembesar. Kemenangan demi kemenangan ini akhirnya sampai ke telinga Sultan Muzafar Shah, yang kemudian mencabar Pak Kaduk dalam sabung ayam dengan syarat yang cukup berat; mempertaruhkan kampung dan keluarganya.
Malangnya, akibat terpedaya dengan helah Sultan, Pak Kaduk kehilangan kampung, isteri, dan anak-anaknya walaupun ayamnya menang. Beliau hanya tinggal sehelai sepinggang bersama seekor kucing peliharaan.
Pertemuan Aneh di Sungai Perak
Suatu hari, ketika duduk termenung di tepi Sungai Perak, Pak Kaduk melihat seekor ikan tapah raksasa. Dengan petunjuk seekor burung kakak tua, beliau membelah perut ikan tersebut dan menemui emas yang banyak. Selepas itu, ikan itu dijahit semula dengan benang urat batang pisang lalu dilepaskan kembali ke sungai. Jadi.. di sinilah bermulanya kisah sumpahan itu.
Sumpahan Pak Kaduk Terhadap Ikan Tapah

Pak Kaduk bersumpah bahawa dirinya, keturunannya hingga ke akhir zaman tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkhianati ikan tapah. Jika sumpah itu dilanggar, mereka akan ditimpa penyakit gatal, melecur, bengkak, atau bahkan maut.
Kata sumpah beliau:
“Mulai hari ini dan ke hadapan, aku, anak isteriku, cucu-cicitku, piyat-piyutku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan, tidak boleh memakan atau menganiaya akan Ikan Tapah...”
Disebabkan sumpahan ini, keturunan Pak Kaduk dipercayai masih berpantang daripada memakan ikan tapah hingga sekarang.
Penawar Sumpahan Ikan Tapah
Menurut cerita lisan, sekiranya ada keturunan Pak Kaduk yang melanggar pantang lalu terkena penyakit, ubatnya ialah dengan menggunakan Kerongsang Emas Tapah. Caranya ialah merendam kerongsang emas tersebut dalam air dan meminumnya atau menyapu air rendaman itu pada bahagian yang terkena bisa sumpahan.
Pengajaran Disebalik Kisah Sumpahan Ikan Tapah
Kisah sumpahan ini memberikan pelbagai pengajaran, antaranya:
- Jangan mudah terpedaya dengan janji kuasa dan harta.
 - Hargai kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
 - Warisan pantang larang Melayu membawa nilai identiti dan kepercayaan masyarakat.
 
Baca juga: Cerita Rakyat Malaysia: 15 Kisah Lagenda & Dongeng Penuh Nilai dan Pengajaran
Legenda sumpahan ikan tapah yang dikaitkan dengan keturunan Pak Kaduk bukan sekadar cerita rakyat, tetapi satu simbol peringatan tentang akibat kerakusan kuasa dan pentingnya pantang larang dalam budaya Melayu. Hingga kini, ia masih menjadi sebahagian daripada khazanah sejarah lisan di Perak.
✨ Kalau korang suka baca kisah lagenda Melayu macam ni, jangan lupa follow media sosial Projek Travel untuk lebih banyak cerita menarik. Simpan dan kongsi artikel ini supaya warisan budaya kita terus hidup!