Dalam lipatan sejarah Kelantan, nama Puteri Saadong terpahat sebagai legenda yang tidak pernah pudar. Kisahnya bukan sekadar tentang kecantikan dan kuasa semata-mata, tetapi juga tentang sebuah pengorbanan yang berakhir dengan tragedi. Di kemuncak amarah dan kekecewaan, cucuk sanggul yang menghiasi rambutnya bertukar menjadi senjata maut seorang raja, sehingga mengubah takdir sebuah kerajaan.
Dalam artikel kali ini, kita akan mengupas kisah penuh Puteri Saadong yang sarat dengan unsur cinta, pengkhianatan, peperangan, dan misteri; sebuah cerita legenda yang terus hidup dalam budaya dan ingatan masyarakat Kelantan.
Siapakah Puteri Saadong?
Puteri Saadong adalah tokoh legenda Kelantan yang hidup sekitar abad ke-17, dipercayai sebagai anak kepada Raja Loyar dari Kerajaan Jembal. Semasa kecil, beliau dipelihara oleh Cik Siti Wan Kembang; raja wanita terkenal di Kelantan yang memerintah Kerajaan Chinta Wangsa. Dibesarkan di istana, Puteri Saadong menjadi seorang wanita yang bukan sahaja jelita, tetapi juga bijaksana, berkarisma, dan disegani.
Beliau dimasyhurkan sebagai Permaisuri Kerajaan Jelasin setelah berkahwin dengan sepupunya, Raja Abdullah. Namun, perjalanan hidupnya jauh daripada kisah cinta yang sempurna; penuh ujian politik, ancaman peperangan, dan pengorbanan besar demi kelangsungan negeri.
Lamaran Raja Siam & Ancaman Perang
Kecantikan Puteri Saadong bukan sekadar menjadi buah mulut di bumi Kelantan, malah menyeberang hingga ke telinga Raja Siam. Terpikat dengan khabar tentang keelokan rupa dan keanggunannya, Raja Siam menghantar utusan ke Kelantan untuk meminang. Namun, lamaran itu ditolak oleh Cik Siti Wan Kembang dan Raja Loyar, sebuah penolakan yang dianggap penghinaan besar oleh pihak Siam.
Kemarahan Raja Siam bertukar menjadi ancaman perang. Ketika itu, Puteri Saadong telah bergelar Permaisuri kepada Raja Abdullah di Kerajaan Jelasin. Ancaman tersebut menjadi kenyataan apabila pasukan Siam melancarkan serangan pertama, namun ia berjaya dipatahkan hasil keberanian pasukan pertahanan Jelasin. Kemenangan itu bagaimanapun tidak bertahan lama, kerana tidak lama kemudian berita sampai bahawa Siam sedang menghimpunkan kekuatan lebih besar untuk menyerang sekali lagi, satu tanda bahaya yang tidak boleh dipandang ringan.
Pengorbanan ke Siam
Bagi mengelakkan pertumpahan darah dan memastikan keselamatan rakyat jelatanya, Puteri Saadong mengambil keputusan yang paling berat dalam hidupnya; meninggalkan tanah air dan menyerahkan diri kepada Raja Siam. Langkah ini bukan tanda kelemahan, tetapi keberanian seorang permaisuri yang sanggup mengorbankan kebahagiaan demi negaranya.
Namun, sebaik tiba di istana Siam, Raja Siam yang pada mulanya berseri kegembiraan tiba-tiba diserang penyakit misteri. Tubuhnya dipenuhi kudis dan kesakitan, membuatkan baginda hanya bergantung harap pada Puteri Saadong. Dengan penuh syarat, Puteri Saadong bersetuju untuk merawatnya, asalkan Siam tidak lagi menyerang Kelantan. Setelah dirawat dengan penuh kesabaran, penyakit Raja Siam akhirnya sembuh, dan baginda menunaikan janjinya dengan membenarkan Puteri Saadong pulang ke tanah air.
Tragedi Cucuk Sanggul
Harapan untuk kembali ke sisi suami bertukar menjadi igauan pahit. Puteri Saadong pulang dengan hati sarat rindu mendapati istana sudah berubah. Raja Abdullah, insan yang pernah dipertahankannya dengan nyawa, kini telah menduakan cintanya dengan mengahwini wanita lain. Lebih menyakitkan, baginda menuduh Puteri Saadong mengkhianati kesetiaan semasa berada di Siam.
Dalam kemarahan yang meledak dengan hatinya sarat dengan kekecewaan dan penghinaan, Puteri Saadong mencabut cucuk sanggul dari rambutnya dan menikam Raja Abdullah; dan detik itu menjadi saksi berakhirnya riwayat seorang raja.
Selepas tragedi berdarah itu, Puteri Saadong melepaskan takhta kepada adik iparnya, Raja Rahim. Baginda kemudian meninggalkan istana, memilih pengasingan jauh daripada kemewahan dan kekuasaan yang pernah dimilikinya.
Pengasingan & Kehilangan Misteri
Selepas melepaskan takhta, Puteri Saadong dikatakan menetap di Bukit Marak bersama pengikut setianya, Awang Selamat. Penduduk tempatan percaya baginda tinggal di sebuah gua tersembunyi di kawasan itu. Terdapat kisah turun-temurun yang menceritakan bagaimana masyarakat sekitar sering “meminjam” pinggan mangkuk dari gua tersebut untuk digunakan dalam majlis perkahwinan, dan setiap kali, ia akan kembali dalam keadaan bersih berkilau, seolah-olah dicuci dengan penuh teliti.
Namun, apabila ada yang gagal memulangkan barang pinjaman itu, Puteri Saadong dipercayai meninggalkan Bukit Marak dan berpindah ke Gunung Ayam. Sejak hari itu, kelibatnya tidak pernah lagi dilihat. Kehilangannya tanpa sebarang tanda menambah lagi misteri, mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu legenda agung yang terus hidup dalam ingatan rakyat Kelantan.
Menurut cerita rakyat, kelibat Puteri Saadong akan muncul sebelum bencana besar melanda Kelantan. Ada yang bersumpah pernah melihatnya sebelum banjir besar 1926, dan sebelum tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua. Hingga kini, kehilangan Puteri Saadong kekal menjadi tanda tanya, mengaburkan garis antara sejarah dan mitos.
Kesimpulan
Perjalanan hidup Puteri Saadong adalah satu kisah yang merentasi sempadan antara sejarah dan legenda. Sebuah kisah seorang permaisuri yang sanggup mengorbankan diri demi rakyat, namun berakhir dengan pengkhianatan dan kehilangan yang penuh misteri.
Sehingga hari ini, kisahnya terus diceritakan dari generasi ke generasi, menjadi simbol keberanian, kesetiaan, dan maruah seorang pemimpin wanita Melayu. Selagi namanya disebut, roh Puteri Saadong akan terus hidup dalam ingatan rakyat.
Baca juga: Puteri-Puteri Lagenda Malaysia: Kisah Sejarah & Mitos
Adakah benar Puteri Saadong membunuh suaminya, atau beliau sebenarnya hanyalah mangsa sejarah yang disalah mengerti? Dan sehingga kini, persoalan yang masih berlegar; Di manakah kini cucuk sanggul yang pernah menjadi senjata tikaman terhadap Raja Abdullah?
📌 Nak baca lagi kisah legenda dan sejarah menarik di Malaysia? Ikuti Projek Travel di media sosial untuk artikel eksklusif, simpan cerita ini sebagai rujukan, dan kongsikan kepada rakan-rakan supaya warisan agung seperti ini tidak hilang ditelan masa.
- Sidang ASEAN 2025: AirAsia Arah Penumpang Rancang Perjalanan Awal
- AirAsia X Lancar Penerbangan Terus Laluan Kuala Lumpur – Tashkent | Tambang Promosi RM799*
- Langkawi Atasi Bali & Phuket! Dinobat Pulau Kedua Terbaik Asia oleh Conde Nast Traveler
- Resipi Sup Tulang Thai
- 8 Keajaiban UNESCO di Arab Saudi
One thought on “Tragedi Berdarah Puteri Saadong : Pengorbanan Dibalas Pengkhianatan”