Makanan Tradisional Kelantan: 26 Hidangan Ikonik Wajib Korang Cuba!

Makanan Tradisional Kelantan
Kongsi Artikel ini

26 Makanan Tradisional Kelantan Paling Popular & Unik Wajib Dicuba

Kelantan cukup terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya dan tradisi masyarakat Melayu, termasuklah dalam aspek gastronomi. Negeri ini bukan sahaja menonjol melalui seni persembahan dan adat resamnya, malah turut memikat perhatian melalui kepelbagaian makanan tradisional Kelantan yang unik serta berakar umbi daripada sejarah panjang peradaban tempatan.

Setiap hidangan, sama ada berupa sajian utama seperti Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Mee Celup, mahupun manisan tradisi seperti Akok Kheddut, Butir Nangka, serta Tahi Itik, menggambarkan kehalusan dan keunikan seni kulinari masyarakat Kelantan. Keistimewaan ini menjadikan masakan Kelantan bukan sahaja terkenal di peringkat tempatan, bahkan diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan kuliner Malaysia yang wajar dipelihara dan diwarisi.

Melalui artikel ini, kami akan huraikan senarai makanan tradisional dan unik Kelantan. Huraian ini bertujuan memberi kefahaman mendalam kepada pembaca tentang keistimewaan setiap hidangan, sekali gus menjadikan pengetahuan ini sebagai rujukan ilmiah serta panduan lengkap bagi pencinta makanan dan pelancong.

Makanan Tradisional Kelantan

Mee Celup

Sekilas pandang, Mee Celup mungkin menyerupai mee rebus, namun keistimewaannya terletak pada kuah serta ramuan sampingan yang digunakan. Kuahnya berasaskan sup yang pekat, dicampur dengan kacang tanah kisar, sayuran segar, dan cili jeruk yang memberikan rasa pedas seimbang. Hidangan ini turut menawarkan variasi pilihan jenis mee, sama ada bihun, mee kuning, ataupun jenis lain mengikut cita rasa individu.

Nasi Tumpang

Nasi lembut seakan nasi himpit yang dibungkus di dalam daun pisang dalam bentuk kon. Turut diserta dengan beberapa jenis lauk di dalamnya mengikut susunan seperti sambal udang, serunding, gulai lemak ayam dan sayur. Anda boleh merasa setiap suapan dengan rasa lauk yang berbeza.

Laksam

Mee gulung tepung beras yang dipotong. Kuahnya lemak manis dan kaya dengan isi ikan serta didatangkan dengan ulam, sedikit cili untuk menambah kepedasan kuah. Boleh dikatakan adik beradik kepada menu laksa lemak biasa.

Nasi Kerabu

Nasi biru yang diwarnakan dengan bunga telang. Ia dihidangkan bersama ulam-ulaman segar, budu, telur masin, keropok, serta lauk seperti ayam percik atau ikan goreng. Keunikan nasi ini terletak pada gabungan rasa masin, manis, pedas, dan pahit ulam herba yang seimbang, menjadikannya antara makanan ikonik negeri Kelantan.

Baca juga: Nasi Kerabu Malaysia Dinobatkan Masakan Terbaik Dunia di Worldchefs 2025

Nasi Dagang

Berbeza dengan Terengganu, Nasi Dagang Kelantan berwarna perang kerana menggunakan campuran beras khas. Ia dikukus berulang kali dan digaul bersama santan, bawang merah, halia, halba serta sedikit garam bagi menghasilkan aroma yang wangi. Hidangan ini lazimnya dinikmati bersama gulai ikan tongkol (ikan ayo), telur rebus, atau lauk lain seperti gulai udang dan gulai ketam. Keistimewaan Nasi Dagang Kelantan turut terletak pada tambahan sambal ikan serta kelapa goreng, sama seperti yang digunakan dalam Nasi Kerabu, yang menjadikan rasanya lebih kaya dan seimbang.

Ayam Percik (Kuah Putih)

Merupakan menu ayam bakar yang disaluti kuah santan pekat berwarna putih. Kuahnya beraroma bawang, halia, serai; menghasilkan rasa lemak, manis, masin yang lengkap dan sedap. Ia lazimnya dinikmati bersama nasi putih atau nasi kerabu sebagai warisan kulinari Kelantan.

Kerabu Sarea

Sejenis salad tradisional Kelantan yang unik kerana menggunakan rumpai laut sebagai bahan utama. Menurut penyelidikan Mardi, rumpai laut yang digunakan berasal daripada spesies Gracilaria, atau lebih dikenali sebagai Algae Merah. Dalam penyediaannya, rumpai laut tersebut digaul bersama isi ikan rebus, kelapa parut sangai, sambal tumis, lalu diperah jus limau nipis untuk menambah rasa segar dan masam seimbang.

Singgang Ikan

Singgang Ikan ialah lauk tradisional berkuah jernih. Ikan segar dimasak bersama bahan asas seperti bawang, lengkuas, asam keping, cili, garam dan sayur bendi sebagai tambahan. Rasanya ringan tetapi seimbang; masam, sedikit pedas dan manis asli ikan. Hidangan ini biasanya lebih lengkap dimakan dengan nasi putih, budu dan ulam, melambangkan kesederhanaan serta tradisi masyarakat Kelantan.

Budu

Sos tradisional Kelantan yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam bersama garam. Ia kaya rasa umami, biasanya dimakan bersama nasi dan ulam dengan tambahan limau nipis atau cili, menjadikannya pelengkap penting dalam hidangan masyarakat Kelantan.

Ketupat Sotong

Ketupat Sotong Kelantan ialah pencuci mulut tradisional yang unik kerana menggunakan sotong segar sebagai acuan untuk pulut. Pulut yang telah digaul dengan santan dimasukkan ke dalam badan sotong, kemudian dimasak bersama santan pekat dan nise (gula melaka) sehingga menghasilkan tekstur lembut, beraroma harum, dan berasa manis berlemak. Keistimewaan hidangan ini terletak pada gabungan rasa santan, nise, dan isi sotong segar yang menjadikannya salah satu sajian manisan paling istimewa di Kelantan.

Akok Kheddut

Sejenis kuih tradisional Kelantan yang terkenal dengan teksturnya yang lembut dan beraroma. Ia diperbuat daripada campuran telur, gula, dan santan yang dibakar dalam ketuhar, menghasilkan permukaan yang berkedut-kedut. Wajib cuba jika ke Kelantan!

Kepok Gotea

Kalau di Terengganu di panggil Keropok Lekor, di Kelantan lebih popular dengan gelaran kepok gotea. Ia diperbuat daripada campuran isi ikan dan tepung sagu, kemudian digoreng atau direbus.

Butir Nangka

Adunan kuih ini diperbuat daripada tepung beras pulut yang dibentuk kecil memanjang, menyerupai butir nangka. Rasanya manis sederhana dengan aroma pandan yang wangi, ditambah sedikit biji halba bagi memberi kelainan. Dari segi warna, ia lazimnya berwarna hijau pastel hasil penggunaan jus pandan asli, namun ada juga yang menggunakan pewarna hijau epal untuk tona lebih menyerlah. Kadangkala, hirisan buah nangka madu turut dimasukkan sebagai pelengkap, menjadikan kuih ini lebih unik dan memikat selera.

Sang Guppal

Sang Guppal, atau dikenali juga sebagai Asam Gumpal, ialah kuih tradisional Melayu berperisa lemak manis yang diperbuat daripada sagu biji atau sagu mata ikan. Sagu ini direbus bersama air dan sedikit garam, kemudian diisi dengan inti sebelum dibentuk bulat seakan gumpalan tangan. Gumpalan sagu tersebut kemudiannya dimasak dalam kuah santan sehingga pekat, dengan tambahan gula merah, halia, dan halba untuk menambahkan aroma serta keenakan rasa.

Tahi Itik

Tahi Itik ialah kuih tradisional Melayu yang terkenal di Kelantan dan Terengganu. Namanya merujuk kepada bentuknya yang bulat dan bertompok, menyerupai tahi itik. Kuih ini diperbuat daripada putih telur yang dipukul bersama gula, dicampur tepung beras serta daun pandan, dan kadangkala ditambah bunga cengkih untuk aroma. Lazimnya, ia dibuat seiring dengan kuih tradisional lain seperti Jala Mas, yang menggunakan kuning telur agar tiada bahan terbuang.

Buah Tanjung

Kuih tradisional Kelantan yang berbentuk titisan air (bentuk bunga tanjung belum berkembang) berwarna kuning keemasan. Ia diperbuat daripada campuran telur dan tepung yang dimasak dalam sirap gula sehingga menghasilkan tekstur lembut dan rasa manis pekat. Kuih ini sering menjadi pilihan dalam majlis istimewa seperti perkahwinan kerana keunikan bentuknya serta nilai simbolik sebagai lambang kemanisan hidup.

Jala Mas (Jala Emas)

Salah satu kuih tradisional Kelantan yang terkenal dalam kategori manisan istana. Ia diperbuat daripada kuning telur itik yang dimasak dalam sirap gula hingga membentuk helaian halus berwarna keemasan. Selain menjadi simbol kemewahan dan kemanisan hidup, Jala Mas juga sering dipadankan dengan kuih tradisional lain seperti Tahi Itik dan Buah Tanjung, yang turut berasaskan telur.

Pulut Bakar

Juga dikenali sebagai Pulut Panggang, ialah makanan tradisional yang diperbuat daripada beras pulut yang dibungkus dengan daun pisang sebelum dibakar di dalam acuan tembaga berbentuk bulat. Pulut ini lazimnya diisi dengan inti serunding ikan atau kelapa yang digaul dengan rempah, menghasilkan rasa lemak beraroma asap yang sangat memikat.

Lompat Tikam

Kuih Lompat Tikam terdiri daripada tiga komponen, iaitu pulut merah , lapisan hijau daripada tepung beras dan air pandan, serta santan putih tawar. Kebiasaannya ia dinikmati bersama air nisan atau gula kabung, yang memberikan rasa manis seimbang dengan kelembutan teksturnya.

Nekbat Sira

Nekbat Sira ialah kuih tradisional Pantai Timur yang berasaskan tepung beras dan telur. Proses penyediaannya melalui dua peringkat: mula-mula adunan dibakar sehingga gebu dan tawar, kemudian disejukkan serta dikeringkan. Seterusnya, kuih ini direndam dalam air gula yang dimasak bersama daun pandan dan cengkih, menjadikannya kembang dengan warna kekuningan serta berperisa manis harum sebelum dihidangkan.

Lepok Duye (Lempok Durian)

Lepok Durian, atau disebut juga Lempok, ialah makanan tradisional Kelantan yang diperbuat daripada isi durian yang dimasak bersama gula pasir, nisan, atau gula melaka sehingga pekat dan berjelira. Biasanya ia dihasilkan daripada durian yang tidak habis dimakan, manakala sesetengah orang turut mencampurkan durian mengkal. Setelah dimasak hingga kering, Lepok Durian boleh disimpan lama dan lazimnya dimakan begitu sahaja atau dijadikan sapuan bersama roti.

Ketupat Palas

Sejenis ketupat tradisional Kelantan yang dibungkus menggunakan daun palas duri. Berbeza dengan ketupat daun kelapa yang berbentuk empat segi atau bawang, ketupat palas berbentuk tiga segi dan diisi dengan pulut yang dimasak bersama santan. Perbezaan utama ketupat ini terletak pada penggunaan pulut sebagai isi, manakala ketupat daun atau ketupat nasi menggunakan beras biasa.

Etok Salai

Etok Salai ialah makanan tradisional Kelantan yang berasaskan etok, sejenis kerang sungai kecil, yang diproses melalui kaedah salai iaitu dibakar atau diasapkan. Dahulu ia dinikmati dalam rasa asal dengan perapan rempah tradisional, namun kini pelbagai variasi perisa seperti tomyam, pedas, manis dan masin dicipta untuk menambah kelainan serta memenuhi selera masyarakat moden.

Sira Labu

Sira Labu merupakan pencuci mulut tradisional Kelantan yang berasaskan labu kuning. Potongan labu dimasak bersama gula Melaka, daun pandan dan sedikit air sehingga empuk serta berlapis rasa manis beraroma harum.

Nasi Manis (Wajik)

Nasi Manis, atau lebih dikenali sebagai Wajik, ialah makanan tradisional Kelantan yang berasaskan beras pulut. Pulut ini dimasak bersama santan dan gula merah atau gula Melaka sehingga pekat, menghasilkan tekstur lembut berkilat dengan rasa manis lemak. Kuih ini sering dihidangkan sebagai pencuci mulut dalam majlis tradisi serta kekal popular sebagai salah satu warisan kuliner Kelantan.

Cek Mek Molek

Cek Mek Molek, ialah kuih tradisional Kelantan yang berasaskan ubi keledek, lazimnya ubi keledek oren. Ubi yang telah dilenyek digaul bersama tepung gandum, diisi dengan inti gula, lalu digoreng hingga berwarna keemasan. Keenakannya terserlah melalui rasa manis cair di dalam dan tekstur rangup di luar.

Kepelbagaian makanan tradisional Kelantan bukan sekadar pengisi selera, tetapi juga mencerminkan identiti budaya yang diwarisi turun-temurun. Dari hidangan utama sehinggalah ke manisan klasik, setiap satunya membawa nilai sejarah, kreativiti, serta kehalusan seni kulinari masyarakat Kelantan.

Dalam era moden, warisan makanan ini bukan sahaja terus dipelihara oleh masyarakat tempatan, malah turut menjadi daya tarikan pelancong dari seluruh dunia. Memahami dan menghargai khazanah kuliner ini adalah usaha penting bagi mengekalkan kelestariannya sebagai sebahagian daripada identiti gastronomi Malaysia.

✨ Kalau korang rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa follow Projek Travel di media sosial. Akan ada lebih banyak perkongsian menarik tentang budaya, sejarah, dan destinasi pelancongan. Simpan artikel ini sebagai rujukan dan kongsikan dengan rakan-rakan supaya warisan makanan Kelantan terus dikenali dan dihargai.

One thought on “Makanan Tradisional Kelantan: 26 Hidangan Ikonik Wajib Korang Cuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *