Falsafah Tarian Zapin
Tarian Zapin merupakan antara salah satu tarian tradisional Melayu yang paling dikenali di Malaysia. Berakar daripada pengaruh budaya Arab, tarian ini telah melalui proses asimilasi dan berkembang menjadi seni persembahan yang sarat dengan nilai estetika serta falsafah hidup masyarakat Melayu.
Gerak langkahnya yang tertib, lemah lembut dan penuh simbolik menjadikan Zapin bukan sahaja medium hiburan, tetapi juga wadah yang mencerminkan adab, kehalusan budi, dan keindahan tamadun Melayu. Hingga ke hari ini, Zapin terus dipersembahkan dalam pelbagai majlis budaya dan rasmi, melambangkan kekayaan warisan seni bangsa yang masih relevan sepanjang zaman.
Sejarah dan Asimilasi Budaya Zapin
Asal-usul Zapin dipercayai datang dari tanah Arab, khususnya dari Hadramaut. Namun apabila sampai ke alam Melayu, ia melalui proses asimilasi dan adaptasi, sehingga lahir satu bentuk seni tari yang unik dan beridentiti Melayu. Zapin bukan lagi milik asing, ia menjadi sebahagian daripada warisan budaya Nusantara, diolah dengan kelembutan, kehalusan gerak dan tertib yang mencerminkan jiwa bangsa Melayu.
Falsafah di Sebalik Gerak Tari Zapin Lelaki dan Wanita
Dalam Zapin, setiap gerak tari membawa falsafah tersendiri. Penari lelaki harus menampilkan imej maskulin, gagah dan tegap. Gerakan mereka melambangkan sifat seorang pelindung; lelaki yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan maruah wanita. Justeru, lelaki dilarang sama sekali meniru gerakan feminin dalam tarian.
Sebaliknya, penari wanita pula menzahirkan sifat keanggunan, pemalu dan lemah lembut. Gerak tari mereka tidak boleh terlalu menonjol, apatah lagi bersifat erotis. Goyangan pinggul mesti terkawal, lambaian tangan harus di bawah paras bahu, dan hayunan tidak boleh berlebihan. Semua ini adalah simbol kejelitaan seorang gadis Melayu terakhir;sopan, beradab dan penuh kehalusan budi.
Simbolik Liuk dan Gerakan Zapin
Salah satu falsafah terindah dalam Zapin ialah gerakan liuk, iaitu tubuh yang menunduk sambil berpusing ke kiri dan kanan. Liuk ini melambangkan sikap merendah diri, tidak angkuh atau sombong, seiring dengan nilai murni orang Melayu yang menghargai kesederhanaan.
Lebih menarik, kiraan muzik dan gerak Zapin kerap menggunakan angka 2, 3, 4, 6, dan 7, tetapi tidak pernah 1 dan 5. Hal ini kerana angka 1 melambangkan Ketuhanan, manakala angka 5 melambangkan Rukun Islam. Kedua-dua angka ini dianggap eksklusif untuk urusan agama, menunjukkan betapa seni Zapin bukan sekadar hiburan, tetapi mengakar pada falsafah hidup Melayu-Islam.
Kesimpulan
Zapin adalah cerminan jiwa Melayu, lembut namun berprinsip, indah tetapi penuh disiplin. Warisan ini mengajar kita bahawa seni bukan sekadar hiburan, sebaliknya wadah untuk menzahirkan adab, falsafah dan maruah bangsa. Dengan terus memelihara dan menghargai Zapin, kita sebenarnya sedang menjaga akar budaya yang menjadikan Melayu itu istimewa di mata dunia.
Baca juga: Tarian Mengikut Negeri di Malaysia
Kalau korang rasa artikel tentang falsafah tarian zapin ini bermanfaat, jangan lupa simpan, kongsikan dengan rakan-rakan. Follow Projek Travel untuk lebih banyak perkongsian menarik tentang sejarah, budaya & warisan bangsa.
Sumber: Facebook The Patriot Asia