Fakta Menarik Etok Salai: Makanan Kegemaran Orang Kelantan

Fakta Menarik Tentang Etok Salai
Kongsi Artikel ini

Ramai yang tidak tahu fakta menarik tentang etok salai, makanan tradisional Kelantan yang semakin popular.Jika korang berpeluang melancong ke negeri Kelantan, jangan lepaskan peluang untuk mencuba satu street food yang popular di kalangan masyarakat setempat : etok salai. Sebagai hidangan kudapan kegemaran ramai, etok salai bukan sahaja enak, tetapi juga murah dan mudah didapati di sekitar negeri Kelantan.

Di sini, etok salai bukan sekadar makanan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman kulinari yang unik.

Apa itu Etok?

Etok, yang mempunyai nama saintifik Corbiculacea, adalah sejenis haiwan bercengkerang yang tergolong dalam keluarga moluska dwicengkerang. Ia biasanya hidup di persekitaran air tawar, terutamanya di kawasan sungai rendah yang bersempadan dengan air payau. Walaupun habitatnya berada di antara pertemuan air tawar dan air masin, etok lebih cenderung menetap di sungai berbanding muara yang berhampiran laut. Spesies etok yang sering ditemui termasuklah Corbicula fluminea, Cyrenacea, dan Sphaeriacea.

Cara Masak Etok

Etok boleh dimasak dalam pelbagai cara, antaranya gulai lemak putih, singgang, salai, dan goreng berempah. Namun, kaedah yang paling popular adalah dengan menyalainya.

Proses penyalaiannya agak panjang, bermula dengan pembersihan etok secara teliti untuk memastikan tiada kotoran yang tersisa khususnya pada cengkerangnya. Selepas itu, etok akan diperap dengan campuran bahan-bahan seperti serai, bawang putih, halia, ketumbar, dan halba yang dikisar halus untuk menambahkan aroma dan rasa.

Menariknya, setiap penyalai etok mempunyai ramuan rahsia tersendiri yang menjadikan rasa etok salai mereka unik dan berbeza antara satu sama lain.

Cara Makan Etok

Bagi yang belum biasa makan etok, berhati-hati ya: kulitnya agak keras dan boleh buat gigi sumbing kalau tak kena gaya! Biasanya, kulit etok dibuka menggunakan gigi, satu cara tradisional yang biasa diamalkan oleh orang Kelantan. Sebenarnya, ada teknik lain untuk membuka kulit etok ini, sama ada menggunakan mata pisau atau menggunakan kulit etok yang lain sebagai alat bantu.

Namun, bagi orang Kelantan, pengalaman membuka kulit etok dengan gigi adalah sebahagian daripada keseronokan menikmati etok salai. Dengan cara ini, korang boleh rasa rempah yang melekat pada kulit etok, memberikan pengalaman rasa yang lebih kaya.

Oh ya, satu lagi tip penting—selepas makan etok, elakkan terus minum air, terutama sekali air sejuk. Ini kerana, perut mungkin akan rasa kurang selesa atau sakit. Jadi, bertenang dulu sebelum minum ya!

@projektravel ASMR etok salai KakNa Pengkalan Chepa. Keno try 6 perisa etok salai dio. Memey jadi sekmu. #EtokKakNa #MakanLokal #fypKelantan #KelantanFoodie #Nostalgia #EtokSalai #Asmr ♬ original sound – ProjekTravel

Etok salai bukan sekadar makanan ringan biasa, tetapi ia adalah sebahagian daripada warisan kulinari unik negeri Kelantan. Dengan rasa yang enak, harga berpatutan, dan pelbagai perisa menarik, tidak hairanlah ia menjadi street food kegemaran ramai.

Jika korang berkunjung ke Kelantan, pastikan untuk mencuba sendiri etok salai dan rasai pengalaman menikmati kudapan tradisional yang penuh dengan keunikan rasa. Jangan lupa ikut cara makan orang Kelantan: guna gigi untuk membuka kulit etok dan nikmati rempahnya yang sedap!

Jika artikel Fakta Menarik Etok Salai ini memberi info berguna, sebarkan kepada rakan dan keluarga di media sosial!

Artikel Menarik : Kenali Kepulauan Borneo Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *