Gelaran dalam masyarakat Melayu Kelantan bukan sekadar panggilan, tetapi simbol identiti, status sosial, dan warisan sejarah. Selain gelaran Nik, Wan, Tuan, & Tengku yang sudah terkenal, ada satu lagi gelaran yang sering menimbulkan persoalan iaitu gelaran Che. Walaupun ringkas, gelaran ini mempunyai kisah panjang yang penuh dengan warna-warni sejarah dan polemik.
Asal Usul dan Latar Belakang Gelaran Che
Majoriti penduduk Kelantan terdiri daripada bangsa Melayu dengan sejarah kerajaan dan kesultanan yang panjang. Walaupun Kesultanan Kelantan moden hanya bermula sekitar pertengahan abad ke-16, warisan identiti bangsawan telah lama bertapak. Gelaran tertentu digunakan bagi membezakan kedudukan dan peranan seseorang dalam masyarakat.
Gelaran Che menjadi menarik kerana ia digunakan turun-temurun dalam beberapa keluarga di Kelantan. Ada yang mendakwa ia khusus untuk golongan mualaf, namun hal ini dipersoalkan kerana gelaran tersebut kekal digunakan hingga ke anak cucu. Hakikatnya, gelaran ini mempunyai beberapa kemungkinan signifikan yang penting.
Empat Signifikan Gelaran Che
Hasil perbincangan dan catatan sejarah menunjukkan gelaran Che boleh dikaitkan dengan empat signifikan utama:
- Pahlawan dari Champa : Hubungan erat antara Kesultanan Kelantan dengan Kesultanan Champa meninggalkan jejak besar. Ramai bangsawan dan pahlawan Champa berhijrah ke Kelantan selepas kejatuhan kerajaan Champa pada tahun 1832 akibat serangan Dai Viet. Ada yang berpendapat gelaran Che adalah warisan pahlawan Champa, malah nama Pengkalan Chepa dikaitkan dengan sejarah ini.
- Keturunan Bugis di Terengganu : Sebahagian masyarakat Bugis yang berhijrah & menetap di pantai timur, khususnya Terengganu, menggunakan gelaran Che untuk membezakan diri daripada gelaran bangsawan lain. Dari situ, sebahagiannya merebak ke Kelantan melalui perkahwinan dan perpindahan keluarga.
- Keturunan Long Ghafar : Selepas legasi Long Ghafar cuba dimansuhkan, sebahagian keturunannya menggunakan gelaran Che sebagai langkah keselamatan politik. Gelaran ini digunakan bagi mengelakkan perhatian atau ancaman daripada pihak berkuasa. Sehingga ia kelihatan seolah-olah gelaran masyarakat mualaf pada waktu itu.
- Hasil Perkahwinan Campur : Dalam kes lain, anak kepada wanita bangsawan (seperti bergelar Wan atau Nik) yang berkahwin dengan lelaki kebanyakan, akan diberi gelaran Che. Ia sebagai tanda memanjangkan warisan bangsawan dalam keluarga walaupun status bapa tidak daripada golongan tersebut.
Dari Gelaran ke Panggilan Harian
Hari ini, gelaran Che bukan sahaja merujuk kepada asal usul tertentu, tetapi juga digunakan sebagai panggilan hormat kepada orang yang lebih tua dalam keluarga atau masyarakat. Sama seperti gelaran Tok atau Datuk yang wujud kerana faktor usia & peranan dalam keluarga, Che telah menjadi sebahagian daripada bahasa pertuturan masyarakat Kelantan.
Baca juga: Asal Usul Gelaran NIK di Kelantan: Ramai Yang Tak Tahu!
Gelaran Che di Kelantan bukan sekadar satu panggilan, tetapi cerminan perjalanan sejarah, hubungan antarabangsa, & warisan keluarga yang diwarisi sejak berabad lamanya. Sama ada ia berasal daripada pahlawan Champa, keturunan Bugis, legasi Long Ghafar atau hasil persemendaan, ia tetap menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Melayu Kelantan.
Apa yang lebih penting, gelaran hanyalah simbol luaran. Nilai sebenar seseorang diukur melalui ilmu, akhlak, dan amal yang ditinggalkan. Biarlah setiap Che hari ini bukan sekadar nama keturunan, tetapi lambang legasi kebaikan, adab, dan budi orang Melayu Kelantan.
Sumber Rujukan : SEJARAH KELANTAN
👉 Kalau korang rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa simpan, kongsikan dengan rakan-rakan, dan terus ikuti Projek Travel untuk lebih banyak perkongsian menarik tentang sejarah, budaya, dan perjalanan!
- Sidang ASEAN 2025: AirAsia Arah Penumpang Rancang Perjalanan Awal
- AirAsia X Lancar Penerbangan Terus Laluan Kuala Lumpur – Tashkent | Tambang Promosi RM799*
- Langkawi Atasi Bali & Phuket! Dinobat Pulau Kedua Terbaik Asia oleh Conde Nast Traveler
- Resipi Sup Tulang Thai
- 8 Keajaiban UNESCO di Arab Saudi
One thought on “Disebalik Gelaran Che di Kelantan: Sejarah, Asal Usul dan Signifikannya”