10 Hantu Paling Popular di Malaysia dan Kisah Seram Di Sebaliknya

Senarai Hantu yang ada di Malaysia
Kongsi Artikel ini

Hantu Paling Popular di Malaysia dan Kisah Seram Di Sebaliknya. Cerita seram di Malaysia memang tak pernah lapuk dek zaman. Dari zaman nenek moyang sampai ke generasi TikTok hari ini, nama-nama hantu tertentu masih kekal disebut dan terus menghantui fikiran rakyat Malaysia.

Setiap negeri, setiap kampung, pasti ada ceritanya tersendiri. Ada yang diwarisi turun-temurun, ada pula yang ‘hidup semula’ dengan sentuhan moden. Namun satu perkara yang pasti, kisah hantu di Malaysia bukan sekadar untuk menakut-nakutkan, tapi ia juga mencerminkan tentang kepercayaan, budaya dan warisan lisan masyarakat kita sejak dahulu kala.

Dalam artikel ni, jom kita kenali 10 jenis hantu paling popular di Malaysia. Hati-hati ya… mana tahu salah satu pernah “melintas” dalam hidup korang.

Senarai Hantu Paling Popular di Malaysia

Pontianak

Antara hantu paling ikonik dan sering disebut dalam budaya Melayu. Pontianak ialah roh wanita yang meninggal ketika hamil atau melahirkan anak. Dia digambarkan memakai gaun putih, berambut panjang, dan sering muncul bersama bau harum bunga kemboja. Tangisan dan ketawanya boleh meremang bulu roma, dan dikatakan sering muncul di kawasan sunyi seperti pokok pisang dan jalan kampung.

Toyol

Toyol ialah makhluk kecil seperti bayi, dipercayai digunakan untuk mencuri barang berharga. Ia sangat popular dalam kalangan masyarakat kerana sering dikaitkan dengan kehilangan wang secara misteri. Toyol juga dikatakan perlu dijaga seperti anak sendiri — diberi susu, mainan, dan tidak boleh diabaikan.

Orang Minyak

Watak orang minyak sering muncul dalam filem-filem Melayu lama. Ia merupakan manusia yang menuntut ilmu hitam dan melumuri badan dengan minyak supaya tidak dapat dikesan. Sasarannya ialah gadis sunti, dan dia beroperasi pada waktu malam. Kisahnya kekal popular kerana unsur seram bercampur realiti yang menakutkan.

Pocong (Hantu Bungkus)

Pocong ialah roh si mati yang tidak dilepaskan simpulan kain kafannya. Ia bergerak dengan cara melompat dan sering dikaitkan dengan gangguan di kawasan perkuburan. Kisah pocong juga menjadi antara topik utama dalam cerita seram asrama.

Penanggalan

Penanggalan adalah seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam demi kepentingan tertentu. Ia dikatakan mampu melepaskan kepalanya dari badan dan terbang dengan tali perut yang terurai untuk mencari mangsa. Ia terkenal kerana dikatakan menghisap darah wanita yang baru bersalin dan sangat ditakuti dalam kalangan masyarakat zaman dahulu. Bagi melindungi diri, ramai ibu selepas bersalin disarankan untuk mengelakkan rumah daripada terlalu gelap serta cara meletakkan daun berduri, seperti daun mengkuang, di bawah rumah ibu yang baru bersalin sebagai pelindung.

Pelesit

Pelesit ialah makhluk halus yang sering digunakan dalam amalan ilmu sihir. Ia biasanya menjelma sebagai belalang dan dikawal oleh pemiliknya untuk mempengaruhi atau menyerang orang lain. Pelesit juga dikaitkan dengan sihir pelaris dan boleh mendatangkan penyakit kepada mangsa.

Hantu Raya

Hantu Raya sering disebut dalam kisah orang lama. Ia dipelihara oleh seseorang untuk tujuan perlindungan atau kerja berat. Yang menyeramkan, hantu ini boleh menyerupai tuannya dan bertindak mengikut arahan. Namun jika tidak dijaga dengan betul, ia boleh bertukar menjadi ancaman.

Saka

Saka ialah jin atau roh pelindung yang diwarisi turun-temurun. Dalam masyarakat Melayu, saka sering dikaitkan dengan gangguan generasi keturunan jika tidak ‘diserahkan’ secara betul. Kisah saka ini sering menjadi tema dalam drama dan kisah benar yang dikongsikan dalam rancangan seram.

Hantu Makcik Karipap

Walaupun agak baru berbanding hantu tradisional lain, Hantu Makcik Karipap sangat popular dalam kalangan pelajar asrama dan institusi pengajian tinggi. Ceritanya tentang seorang wanita tua yang mengetuk tingkap asrama di tingkat paling atas untuk menjual karipap. Walaupun nampak kelakar, ia tetap beri rasa seram yang misteri.

Hantu Galah

Hantu Galah mungkin kurang dikenali oleh generasi baru, tapi masih mengekalkan aura misteri. Dikatakan sangat tinggi sampai kepalanya menyapu awan. Ia sering muncul di dalam hutan dan hanya menampakkan kaki panjang berbulu yang disangka batang pokok. Orang yang terserempak dengannya pasti ingat seumur hidup.

Mistik Melayu: Warisan atau Khayalan? Sama ada benar-benar wujud atau sekadar cerita dongeng, hantu-hantu ini telah menjadi sebahagian daripada budaya dan warisan masyarakat Malaysia. Dari cerita rakyat hingga ke media moden, hantu tetap jadi topik kegemaran yang menggabungkan rasa takut, ingin tahu dan hiburan. Yang pasti, jangan baca artikel ni waktu tengah malam sorang-sorang ya. Hehe.

@projektravel

#LearnOnTikTok Jenis-jenis Hantu popular di Malaysia. 1. Pontianak 2. Penanggal 3. Pelesit 4. Orang Minyak 5. Hantu Raya 6. Toyol 7. Pocong 8. Hantu Galah 9. Saka 10. * hantu ni popular di kalangan ‘budak hostel’. 😅 Korang pernah alami? Kongsi pengalaman korang di bahagian komen ✏️

♬ Horror, suspense, weirdness, ghost, UFO – Zassh

Nak tahu lebih banyak cerita seram dan mistik Malaysia? Jangan lupa untuk tinggalkan komen di bawah dan kongsikan pengalaman seram korang! Ada hantu yang korang rasa lebih menakutkan? Atau mungkin ada kisah seram yang belum tersenarai dalam artikel ni? Jom berbincang dalam ruangan komen!

Dan jangan lupa untuk ikuti kami di projektravel.net untuk lebih banyak artikel seram, misteri, dan budaya Malaysia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *