Iftar@KL 2025 merupakan salah satu acara berbuka puasa tahunan paling dinanti-nantikan. Ianya akan berlansung dengan meriah selama empat hari pada 15, 16, 22, dan 23 Mac 2025 di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Untuk pengetahuan semua, program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai rakan strategik.
Majlis perasmian program ini pada tahun ini telah dihadiri oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dalam memupuk nilai murni serta mengeratkan silaturrahim antara masyarakat.
Iftar @ Kuala Lumpur 2025
Apa Yang Menarik di Iftar@KL 2025?
Pada tahun ini, Iftar@KL telah mencapai edisi ke-13 sejak mula dianjurkan pada 2012. Lebih daripada sekadar acara berbuka puasa, program ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadikannya pengalaman unik, antaranya :
Berbuka Puasa Beramai-ramai di Dataran Merdeka

Pengunjung menikmati pengalaman berbuka puasa di ruang terbuka bersejarah di tengah kota Kuala Lumpur sambil merasai suasana Ramadan yang penuh harmoni.
Program Jom Exchange Al-Quran
Kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membolehkan orang ramai menukar Al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN dengan naskhah yang telah diperakui.
Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk

Aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk diadakan dengan penuh semangat kebersamaan, melibatkan sukarelawan serta pihak penganjur. Dari awal proses penyediaan bahan, memasak dalam kawah besar, hingga ke peringkat pembungkusan, setiap peserta berganding bahu memastikan bubur lambuk yang dimasak cukup rasa dan berkualiti.
Bubur lambuk ini diagihkan kepada para pengunjung yang hadir untuk berbuka puasa, selain disampaikan kepada golongan asnaf dan gelandangan di sekitar kawasan tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan dan kasih sayang sesama insan, tetapi juga menghidupkan tradisi berbuka puasa secara berjemaah serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Pengisian Kerohanian & Kebajikan
- Solat berjemaah & Tadarus Al-Quran
- Tazkirah & Bicara Ramadan
- Persembahan Nasyeed
- Kaunter Zakat Fitrah
- Sukarelawan Skuad Budaya
Gerai Jualan & Food Truck
Pelbagai hidangan lazat dari food truck dan gerai jualan yang mengambil bahagian, beroperasi hingga 12 tengah malam.
Pertandingan POV di Iftar@KL 2025
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai dengan menyertai Pertandingan POV di Iftar@KL. Peserta hanya perlu merakam video di TikTok atau memuat naik foto di Instagram sepanjang acara pada 15 & 16 Mac 2025. Gunakan tanda pagar rasmi seperti #santunbudaya, #POViftar2025, dan #iftarJKKK serta tandai akaun rasmi JKKN.
Seramai 15 pemenang dipilih setiap hari, dengan hadiah wang tunai seperti berikut:
- RM500 x 1 pemenang
- RM300 x 3 pemenang
- RM200 x 5 pemenang
- RM100 x 6 pemenang
Kerjasama Pelbagai Pihak untuk Kejayaan Iftar@KL 2025
Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi, antaranya MAIWP, PPZ, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Jabatan Penerangan Malaysia, serta Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur. Turut terlibat ialah PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Tourism Malaysia, dan Peniagawati.
Turut serta sebagai penaja dan penyumbang ialah syarikat korporat seperti AGRO Bank, Felda Global Ventures (FGV), Suria FM, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd, Bank Simpanan Nasional (BSN), F&N, Vida, ADABI, dan Boh Plantation Sdn. Bhd.
Iftar@KL 2025: Memupuk Perpaduan & Kebersamaan
Menurut YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga menggalakkan nilai-nilai kesukarelawanan, perpaduan dan keprihatinan sosial.

“Iftar @ KL yang dilaksanakan oleh JKKN ini merupakan salah satu pendekatan yang positif dalam memupuk nilai-nilai murni dan jati diri kepada masyarakat bandar dan khususnya generasi muda seperti contoh melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan. Penganjuran program sebegini juga merupakan tanggungjawab sosial Kementerian ini ke arah mencerminkan kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat Malaysia,”
Kemeriahan Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka
Bagi mereka yang telah menyertai Iftar@KL 2025, pastinya pengalaman berbuka puasa di lokasi bersejarah ini menjadi kenangan manis. Selain menikmati juadah berbuka, pelbagai aktiviti menarik turut mengeratkan hubungan sesama masyarakat dan memperkayakan pengalaman Ramadan.
@projektravel Ada yang sempat join tak iftar@KL 2025 ? Ni suasana sekitar hari pertama. #JKKN #BukaPuasa #IftarPerdana #dataranmerdeka #mysenibudaya #mymotac #semarakkansenibudaya #dbkl #dataranmerdeka #iftar ♬ original sound – ProjekTravel
Program ini bukan sahaja menampilkan nilai kebersamaan dan perpaduan tetapi juga mengukuhkan budaya gotong-royong serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Artikel Berkaitan : Buffet Ramadhan Kuala Lumpur 2025