KTMB Lancar Aplikasi KITS Style 2025

majlis pelancaran aplikasi ktmb Kits Style
Kongsi Artikel ini

KTMB Lancar Aplikasi KITS Style

Dalam usaha memperkukuh transformasi digital sektor pengangkutan awam negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus melangkah ke hadapan. Terbaharu, KTMB melancarkan KITS Style, iaitu aplikasi gaya hidup digital pertama seumpamanya dalam industri rel Malaysia.

Inisiatif ini bukan sahaja memperluaskan peranan KTMB sebagai penyedia pengangkutan. Ia juga menandakan kemajuan besar dalam penerapan konsep Mobility-as-a-Service (MaaS) di rantau ASEAN.

KITS Style dibangunkan sebagai platform komprehensif. Ia menggabungkan pelbagai fungsi seperti tempahan perjalanan, perancangan pintar, ganjaran, perkhidmatan kewangan dan pembayaran tanpa tunai; semuanya dalam satu aplikasi mudah alih.

majlis pelancaran aplikasi KITS Style

Lebih menarik, pelancaran KITS Style Prepaid Mastercard menjadikan KTMB sebagai pengendali rel pertama di ASEAN yang menawarkan kad transit terbuka. Kad ini boleh digunakan merentasi pelbagai perkhidmatan pengangkutan di seluruh Malaysia.

Apa Itu Aplikasi KITS Style?

Dibina daripada sistem asal KTMB Integrated Ticketing System (KITS) yang diperkenalkan pada 2019, KITS Style kini berevolusi menjadi platform semua-dalam-satu untuk keperluan mobiliti & gaya hidup harian pengguna. Antara fungsi utama dalam aplikasi ini termasuk:

  • Perancangan perjalanan berasaskan AI
  • Tempahan tiket rel, penerbangan, hotel, kereta sewa dan tarikan pelancongan
  • Pembayaran bil utiliti, pemindahan wang dan tambah nilai prabayar
  • Program ganjaran Rail Rewards
  • Peluang membeli insurans dan menikmati tawaran gaya hidup eksklusif
  • KITS Style Prepaid Mastercard (kad fizikal dan maya)

Dengan lebih 4.6 juta pengguna sedia ada, aplikasi ini dijangka menarik lebih ramai pengguna baharu yang mencari kemudahan pengangkutan moden, pintar & menyeluruh dalam satu platform digital.

Pengenalan Kad Prabayar Terbuka Pertama ASEAN

Salah satu sorotan utama pelancaran ini adalah KITS Style Prepaid Mastercard; menjadikan KTMB sebagai pengendali rel pertama di ASEAN yang melancarkan kad prabayar transit terbuka (open-loop prepaid card).

Kad ini membolehkan pengguna membuat pembayaran di luar rangkaian KTMB, & akan diperluaskan untuk kegunaan pengangkutan awam lain di seluruh negara. Kad fizikal dijangka berada di pasaran mulai September 2025, sementara versi maya boleh diakses segera melalui aplikasi.

Pengguna juga bakal menikmati promosi menarik dan diskaun perjalanan yang berkaitan dengan sistem kad prabayar ini.

Kolaborasi Strategik: KTMB, Capital A & Mastercard

KTMB turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Capital A & Mastercard, bagi memperkukuh integrasi digital & sistem pembayaran tanpa tunai yang selamat.

Antara kerjasama utama:

  • Platform Fly Rail: Integrasi perjalanan udara & rel bermula dengan sambungan dari KTMB ke Lapangan Terbang Senai, serta pelan pengembangan ke laluan domestik & antarabangsa.
  • Ganjaran Bersilang: Penumpang boleh menggabungkan Rail Rewards KTMB dengan AirAsia Rewards di platform OTA MOVE.
  • Infrastruktur Pembayaran: Mastercard akan mempertingkatkan keselamatan transaksi dan sistem pembayaran digital merentas perkhidmatan KTMB.

Sokongan Terhadap Wawasan Ekonomi Digital Malaysia

Pelancaran KITS Style sejajar dengan agenda MyDigital & Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, dengan memberi akses lebih luas kepada perkhidmatan digital, menggalakkan inklusiviti kewangan & memodenkan infrastruktur mobiliti negara.

Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook
Menurut Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, “Kolaborasi strategik antara KTMB dan ManagePay Systems Berhad (MPay) telah berjaya membangunkan aplikasi KITS Style ini sebagai sebuah platform digital yang dinamik, menyediakan perkhidmatan bersatu dan atas permintaan, serta berfungsi sebagai MaaS SuperApp.”

Baca Juga: ETS ke Segamat, Johor

Dengan pelancaran KITS Style, KTMB berjaya menggabungkan kemudahan perjalanan, gaya hidup moden dan teknologi digital dalam satu platform yang lengkap. Segala-galanya kini boleh diurus terus dari telefon pintar; dari beli tiket, rancang perjalanan, buat pembayaran hinggalah kumpul ganjaran.

Langkah ini bukan sahaja memudahkan hidup pengguna, malah menjadikan pengalaman naik keretapi jauh lebih lancar dan menyeronokkan. Tambahan pula, kad prabayar terbuka yang diperkenalkan membolehkan lebih banyak fleksibiliti untuk bergerak, bukan setakat dengan KTMB, tapi juga untuk pengangkutan awam lain di masa akan datang.

Kalau korang belum muat turun aplikasi KITS Style, inilah masanya untuk cuba sendiri pengalaman baharu yang lebih pintar, cepat & bebas tunai!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *