Pengalaman Percutian Musim Sejuk di Switzerland: Aktiviti Menarik di Gunung Titlis

Travel Musim Sejuk di Switzerland
Kongsi Artikel ini

Percutian Musim Sejuk di Switzerland

Bila cakap pasal syurga dunia, ramai terbayang keindahan negara-negara Eropah seperti Iceland, Norway, Denmark dan Switzerland. Tapi kali ini, saya nak fokus pada satu destinasi istimewa iaitu Switzerland!

Negara ini sememangnya terkenal dengan landskap gunung-ganang yang indah, tasik biru jernih, serta salji putih yang memukau mata. Tak hairanlah Switzerland sering menjadi destinasi idaman untuk mereka yang mencari pengalaman percutian musim sejuk di Eropah.

Dalam artikel ini, saya nak kongsikan pengalaman manis berada di Switzerland, khususnya di Gunung Titlis, salah satu destinasi paling popular untuk aktiviti salji. Jom saya kongsikan pengalaman sebenar yang mungkin boleh jadi inspirasi untuk korang rancang travel ke Switzerland nanti.

Switzerland: Syurga Dunia Musim Sejuk

Alhamdulillah, rasa macam mimpi bila dapat jejak kaki ke sini pada Disember 2024. Paling best, dapat main salji buat pertama kali! Memori masih segar, sebab trip ini memang salah satu wishlist travel saya.

Untuk pengetahuan korang, musim sejuk di Switzerland bermula dari Disember hingga Februari. Kalau nak elak harga tinggi musim cuti sekolah, sebaiknya rancang untuk datang pada hujung Januari atau Februari. Tapi masa saya ke sana bulan Disember pun, suasananya tetap seronok dan tak terlalu sesak.

Perjalanan ke Gunung Titlis

Perjalanan menuju Gunung Titlis bermula seawal pagi dengan bas bersama rombongan diuruskan oleh agen pelancongan. Lebih kurang jam 10 pagi, kami tiba di kawasan parkir. Dari dalam bas lagi hati sudah berdebar dan rasa teruja makin membuak-buak untuk main aktiviti salji ! Turun saja dari bas, wajah terus disapa angin sejuk -9°C. Fuh, rasa beku sekejap dibuatnya!

Gunung Titlis, Switzerland
Gunung Titlis, Switzerland

Untuk masuk ke Gunung Titlis, harga tiket sekitar CHF90 (~RM504). Tiket ini sudah termasuk pengalaman naik cable car dengan pemandangan salji memukau, keseronokan meluncur di Trubsee Slide, serta peluang meneroka keunikan Glacier Cave. Setiap aktiviti menawarkan pengalaman berbeza yang pasti membuatkan perjalanan musim sejuk ke Switzerland jadi lebih bermakna.

Nota: Harga tiket mungkin berbeza ikut pakej group atau travel agent. Untuk lebih tepat, semak laman web rasmi Gunung Titlis.

Aktiviti Menarik di Gunung Titlis

Gunung Titlis terkenal dengan pelbagai aktiviti salji menarik sesuai untuk semua peringkat umur. Antara tarikan utama:

1. Cable Car

Perjalanan ke puncak mengambil masa lebih kurang 15-20 minit. Terdapat tiga jenis cable car:

  • Cable car biasa (seperti di Genting Highlands)
  • Revolving Cable Car (unik kerana berpusing 360°)
  • Open Cable Car (berharga CHF12/pax)
Cable Car Gunung Titlis
Kereta kabel biasa (kiri) dan Revolving Cable Car (kanan) di Gunung Titlis

Saya sempat naik cable car biasa dan Revolving Cable Car. Pemandangan white winter Switzerland dari atas memang menakjubkan, sambil ambil gambar dan video untuk kenangan.

2. Trubsee Slide

Ini antara aktiviti paling saya suka! Pada awalnya agak cuak tengok cerun yang curam. Tapi bila nampak budak kecil pun berani naik, perasaan teringin pun datang tiba-tiba untuk cuba.

Trubsee Slide
Pelampung Trubsee slide

Dengan hanya menggunakan pelampung khas, saya meluncur laju ke bawah. Best sangat! Tapi kena hati-hati sebab tiada brek. Caranya? Kena guna kaki untuk berhenti. Seronok dan mencabar pada masa yang sama.

3. Glacier Cave

Sayangnya saya tak sempat masuk ke Glacier Cave sebab terlalu leka bermain salji dan slide. Gua ais semula jadi ini antara tarikan wajib di Titlis, terutamanya musim sejuk kerana suasananya seakan dalam filem Ice Age.

Mungkin ini alasan untuk saya datang lagi ke Switzerland nanti!

4. Puncak Gunung Titlis

Puncak Gunung Titlis
Kenangan yang terindah di Gunung Titlis

Di puncak, suasana memang ekstrem. Angin kuat, salji tebal dan suhu yang sangat sejuk. Saya siap pakai 6 lapis baju, tapi masih terasa dingin menusuk terutama di wajah.

Tip penting: pastikan pakai layering pakaian yang betul untuk kekal selesa.

Info Penting Buat Traveler

  • Mata wang: Switzerland guna Swiss Franc (CHF). Euro diterima di sesetengah tempat, tapi lebih baik gunakan CHF.
  • Pembayaran: Tunai, kad debit atau kredit diterima dengan meluas.

Tips Travel Musim Sejuk di Switzerland

  1. Pakaian: Jaket tebal, thermal inner, sarung tangan (lebih baik jenis touch screen), long john, stoking, ear muff dan mafla.
  2. Layering: Minimum empat lapis pakaian. Bawa heating pad atau pemanas tangan.
  3. Minuman panas: Bawa thermos sendiri, isi air panas dari hotel.
  4. Penjagaan kulit: Pakai losyen badan dan lip balm untuk elak kulit kering.
  5. Makanan segera: Bawa mi segera cup dari Malaysia. Lebih jimat sebab harga mi segera di Gunung Titlis jauh lebih mahal.

Bagi sesiapa yang merancang untuk travel ke Switzerland, terutama pada musim sejuk, pengalaman di Gunung Titlis ini memang tak boleh dilepaskan. Ia bukan sahaja sesuai untuk pencinta alam semula jadi, malah menjadi tarikan keluarga, pasangan, dan juga sesiapa sahaja yang ingin merasai keseronokan berada di puncak gunung bersalji.

Saya doakan korang juga berpeluang merasa salji di negara orang. InshaAllah, rezeki Allah luas.

Perkongsian : Qahira Idrus

✈️ Kalau korang suka perkongsian ni, jangan lupa simpan artikel ni, kongsi dengan geng travel, dan terus ikuti Projek Travel untuk lebih banyak tip, panduan dan inspirasi percutian menarik!

Mengenai Penulis :
Hai, saya Que dari Sg. Buloh, Selangor. Minat dengan dunia travel sejak kecil lagi. Mula mengembangkan sayap untuk melancong ke luar negara bersama rakan dan juga solo sejak tahun lepas, 2024 dan masih berjinak lagi. Saya bekerja sebagai Digital Marketing Executive di sebuah syarikat swasta. Jemput follow IG @queauni untuk inspo travel dan boleh juga singgah baca blog saya di bio Instagram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *