Perarakan Gajah Semarakkan Sambutan Hari Malaysia 2025 di Kelantan

perarakan gajah di kota bharu 2025
Kongsi Artikel ini

Perarakan gajah sempena Hari Malaysia 2025 di Kelantan

Sambutan Hari Malaysia 2025 di Kota Bharu, Kelantan kali ini diraikan dengan penuh keunikan apabila dua ekor gajah jinak, Sanum & Chery, menjadi tarikan utama dalam perarakan bersejarah menuju ke Istana Balai Besar. Lebih 1000 pengunjung hadir, termasuk rakyat tempatan dan pelancong. Acara ini bukan sekadar sambutan kebangsaan, tetapi juga satu manifestasi warisan budaya Melayu Kelantan yang terus hidup hingga kini.

Sejarah Bertemu Tradisi Dalam Sambutan Hari Malaysia

peserta perarakan bergajah di kelantan sempena hari malaysia

Apa yang menjadikan perarakan ini begitu berbeza ialah gabungan nostalgia tradisi dengan semangat kontemporari. Peserta yang hadir berbaju tradisional Melayu; lengkap dengan tanjak, kain pelikat dan sarong. Seolah-olah membawa penonton menelusuri lorong masa ke era kegemilangan istana Melayu zaman dahulu. Lebih daripada sekadar perarakan, ia menjadi medium pendidikan tidak formal yang memperkenalkan generasi muda kepada sejarah istana dan adat Melayu.

Gajah: Simbol Kuasa dan Maruah Istana

Menurut Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Dr. Mohamed Safaruddin Ismail, pemilihan gajah bukanlah sesuatu yang kebetulan. Ia membawa makna besar kerana pada zaman dulu, gajah sering digunakan sebagai kenderaan diraja dalam istiadat penting istana. Melambangkan kekuasaan serta martabat Sultan Kelantan.

Sebagai rujukan, pada tahun 1845 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II, Istana Balai Besar pernah menjadi saksi sebuah peristiwa penting. Ketika itu, Surat Sejabat daripada Raja Siam diarak menaiki gajah dari Pengkalan Raja Muda di Penambang menuju ke istana. Sebagai simbol pengiktirafan rasmi terhadap Sultan Muhammad II sebagai Yang di-Pertuan Kelantan.

@projektravel

Perarakan Bergajah sempena Hari Malaysia 16 September di Istana Balai Besar, Kota Bharu Kelantan. #SejarahMalaysia #Kelantan #PerarakanBergajah #HariMalaysia

♬ original sound – ProjekTravel – ProjekTravel

Dengan mengembalikan simbolik bersejarah itu, perarakan gajah sempena Hari Malaysia menjadi lebih daripada sekadar acara perayaan. Ia merupakan usaha untuk menghidupkan kembali memori silam, menyambung semula warisan istana dan mengangkat identiti bangsa agar terus dikenang generasi baharu.

Kerjasama Pelbagai Pihak

dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang

Dua ekor gajah yang menjadi tumpuan pada perarakan ini dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, melalui koordinasi Jabatan Perhilitan Malaysia bersama Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan.

Kehadiran haiwan ini bukan sahaja berperanan sebagai simbol warisan istana, tetapi turut berfungsi sebagai medium pendidikan awam mengenai kepentingan pemuliharaan gajah Asia (Elephas maximus) yang kini dikategorikan sebagai spesies terancam akibat penyusutan habitat semula jadi.

Suasana Meriah & Tarikan Pelancongan di Kelantan

Perarakan sejauh 1.2 kilometer ini bukan sahaja mencuri perhatian khalayak, malah menjadi rakaman berharga buat lensa kamera pengunjung. Keluarga, anak muda, serta pelancong mengambil peluang bergambar bersama gajah jinak, menjadikan acara ini lebih daripada sekadar peringatan sejarah. Ia turut menonjol sebagai tarikan pelancongan budaya yang unik di Kelantan.

Bagi pelancong dari luar negeri, perarakan ini memperlihatkan keistimewaan budaya Kelantan yang sukar ditemui di tempat lain. Sambutan Hari Malaysia 2025 di Kota Bharu membuktikan bahawa warisan tradisi mampu digabungkan dengan acara kebangsaan, lalu menghasilkan pengalaman pelancongan budaya yang autentik, berwarna-warni, dan penuh makna.

Baca juga : Bunga Mas Kelantan: Julung Kali Dipamer di Festival Warisan Melayu 2025

Sambutan Hari Malaysia 2025 di Kota Bharu jelas membuktikan bahawa sejarah dan budaya mampu dijadikan jambatan untuk menyemarakkan semangat kebangsaan. Perarakan gajah bukan sekadar simbolik, tetapi satu cara menghubungkan generasi kini dengan warisan istana Melayu Kelantan yang penuh nilai sejarah.

Dengan kehadiran rakyat pelbagai lapisan masyarakat, acara ini memberi mesej bahawa Hari Malaysia bukan hanya tentang perpaduan moden, tetapi juga kesinambungan tradisi dan identiti bangsa.

👉 Untuk korang yang berminat dengan warisan budaya dan acara unik seperti ini, jangan lupa follow Projek Travel di media sosial untuk lebih banyak kisah menarik. Simpan & kongsikan artikel ini supaya lebih ramai dapat menghargai tradisi Malaysia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *