Resipi Daging Masak Kicap, Simple, Mudah & Sedap!

Resipi Daging Masak Kicap, Simple, Mudah & Sedap
Kongsi Artikel ini

Resipi Daging Masak Kicap: Simple, Mudah & Sedap!

Daging merupakan salah satu sumber protein yang paling digemari ramai di seluruh dunia. Di Malaysia, daging lembu sering menjadi pilihan utama dalam pelbagai jenis masakan tradisional, dari gulai kawah di kampung, sup daging penuh herba, hinggalah ke menu moden seperti stik dan burger.

Selain kaya dengan zat besi dan vitamin B12, daging juga sangat versatil dan mudah disesuaikan dengan pelbagai rasa; manis, pedas, berempah mahupun masam. Salah satu resipi daging yang paling ringkas tapi kekal popular sepanjang zaman ialah menu daging masak kicap.

Artikel kalini, kami nak kongsi Resipi Daging Masak Kicap menggunakan bahan-bahan asas yang mudah didapati dan yang pastinya sedap.

Resipi Daging Masak Kicap

Bahan-Bahan Utama

  • Daging lembu (diiris nipis)
  • Cili kering kisar secukupnya
  • Kicap manis secukupnya
  • Kicap masin secukupnya
  • Gula secukup rasa

Bahan Tumis & Rempah

  • 1–2 biji bawang besar (dikisar)
  • 1 keping kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 1–2 kuntum bunga cengkih
  • 1–2 biji buah pelaga
  • 1 tangkai daun kari
  • 4–5 titis cuka (boleh abaikan jika tidak suka)
  • Sedikit air (jika mahu kuah)
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Hiasan (Dihiris)

  • ½ biji bawang besar
  • ½ biji cili merah
  • ½ biji cili hijau

Cara Memasak Daging Masak Kicap

  1. Perap daging: Gaulkan hirisan daging dengan cili kisar, kicap manis, kicap masin dan gula. Sukatan bahan boleh diubah ikut jumlah daging. Perap minimum 1 jam, atau semalaman untuk rasa lebih meresap.
  2. Kisar bawang: Kisar bawang besar hingga halus untuk bahan tumis.
  3. Tumis bahan kisar: Panaskan minyak, tumis bawang kisar sehingga wangi dan kekuningan.
  4. Masukkan rempah ratus: Tambahkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan daun kari. Tumis sehingga naik bau rempah.
  5. Masukkan daging perap: Masukkan daging yang telah diperap ke dalam tumisan. Gaul rata hingga sebati.
  6. Tambah cuka & air (jika perlu): Masukkan titisan cuka untuk rasa masam manis seimbang. Jika suka berkuah, boleh tambah sedikit air.
  7. Reneh atas api perlahan: Tutup kuali dan masak atas api kecil. Kacau setiap 2–3 minit sehingga daging empuk dan rempah sebati.
  8. Masukkan bahan hiasan: Akhir sekali, masukkan hirisan bawang besar, cili merah dan cili hijau. Gaul rata dan masak seketika.
  9. Siap untuk dihidang! Hidangkan panas bersama nasi putih atau nasi minyak.

Info Tambahan

  • Jumlah bahan boleh diubah ikut berat daging dan citarasa masing-masing.
  • Daging boleh digoreng seketika sebelum dimasak untuk tekstur lebih rangup di luar dan lembut di dalam.
  • Jika tak makan pedas, kurangkan jumlah cili kisar atau gantikan dengan lada benggala.
  • Boleh juma masukkan tomato & Kentang jika suka.

BACA JUGA: RESEPI DAGING MASAK KICAP PEDAS CHE NOM MUDAH DAN SEDAP

Mudah je kan? Walaupun ringkas, hasilnya tetap sedap dan menyelerakan. Daging yang empuk, kuah kicap berperisa, ditambah pula dengan hirisan bawang dan cili, memang membangkitkan selera. Resipi ni fleksibel dan boleh diubah ikut cita rasa sendiri. Jadi, jangan lupa cuba ya!

BACA: Cara Lembutkan Daging Guna Kurma: Tak Perlu Rice Cooker!

Kalau suka resipi Daging Masak Kicap ni, follow Projek Travel untuk lebih banyak idea masakan harian, resipi warisan dan tip dapur. Jangan lupa simpan & kongsi artikel ni dengan orang tersayang. Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *