Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 : Kenali 12 Fakta Menarik & Unik

Rumah Melayu Kelantan Tiang 12
Kongsi Artikel ini

Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 (RMKT-12) . Rumah tradisional Melayu di Malaysia merupakan warisan seni bina yang mencerminkan keunikan budaya dan gaya hidup masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Kebiasaannya ia dibina dengan bahan semula jadi seperti kayu cengal, buluh, dan atap nipah, rumah-rumah ini direka khas untuk menyesuaikan diri dengan iklim tropika.

Setiap negeri mempunyai gaya seni bina tersendiri, termasuk Rumah Kutai di Perak, Rumah Minangkabau di Negeri Sembilan, dan Rumah Limas di Johor. Antara yang paling unik ialah Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 yang terkenal dengan keindahan ukiran dan reka bentuk yang penuh simbolik dan falsafahnya.

Rumah Melayu Kelantan Tiang 12

Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 bukan hanya sekadar tempat kediaman, tetapi simbol kehalusan seni bina tradisional yang diwarisi sejak berabad lamanya. Keistimewaan rumah ini terletak pada penggunaan 12 tiang kayu utama yang memberikan kekuatan struktur tanpa memerlukan paku besi.

RMKT-12 ialah warisan budaya yang mencerminkan kepakaran tukang kayu Melayu dalam menyusun sambungan kayu menggunakan teknik tradisional seperti tanggam dan pasak. Setiap aspeknya dibina dengan teliti serta mengandungi makna tersirat yang melambangkan kearifan lokal & nilai tradisi.

Dengan sejarah panjang yang melangkaui lebih satu abad, rumah ini terus menjadi kebanggaan rakyat Kelantan dan bukti kemegahan seni bina Melayu. Reka bentuk yang kompleks dan struktur yang kukuh menjadikan RMKT-12 antara warisan seni bina paling berharga di Malaysia.

12 Fakta Menarik & Unik

Mari sama-sama kita terokai dengan lebih mendalam 12 fakta menarik yang membuatkan RMKT-12 begitu istimewa dan mengapa ia terus menjadi kebanggaan warisan Melayu:

Tiang Asal yang Masyhur

RMKT-12 mempunyai 12 tiang kayu asal yang tidak dipotong, membentuk struktur yang berdiri teguh dari dalam tanah hingga ke puncak syiling rumah. Keunikannya terletak pada kestabilan dan kekukuhan tanpa menggunakan sambungan dari tanah hingga ke bumbung.

Warisan 153 Tahun Lalu

Berdiri sejak 1870, RMKT-12 adalah satu-satunya rumah yang berkeadaan lengkap sebagaimana 153 tahun lalu. Dengan pintu gerbang, dinding janda berhias, dan ukiran motif Kelantan, rumah ini mempunyai pelbagai kisah di sebaliknya.

Rumah Pemeles Berkeindahan

Dengan luas 28 meter persegi, RMKT-12 adalah jenis ‘Rumah Ibu’ yang memukau lengkap dengan komponen seperti pemeleh, serambi basah, tebar layar, dinding janda berhias, dan ukiran flora Alam Melayu yang memikat.

Struktur yang Melambangkan Manusia

Setiap struktur RMKT-12 adalah perlambangan anggota manusia. Dari kaki hingga kepala, rumah ini menciptakan kesinambungan yang memukau sebagaimana anggota manusia.

Teknologi Alam Melayu

Pembinaan RMKT-12 menggunakan teknologi khas Alam Melayu yang dikenali sebagai tanggam dan pasak, tanpa bergantung pada paku besi, untuk menjaga keutuhan kayu.

Persinggahan Tokoh Terkenal

Lokasi asal RMKT-12, di Kampung Menuang (Kg. Atas Paloh), pernah disinggahi oleh ulama-ulama dan tokoh terkenal seperti Tok Kenali, Haji Daud Bukit Abal, dan Prof. Emiritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abd. Majid.

Mikrokosmos Kehidupan Melayu

RMKT-12 bukan hanya sekadar sebuah rumah, tetapi ‘mikrokosmos’ dan gerbang kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Ia melibatkan seni bina dan fungsi kediaman sebagai tempat perlindungan dan kehidupan orang Melayu.

Metafora dan Perlambangan

Setiap sudut RMKT-12 memuatkan metafora dan perlambangan yang berkait rapat dengan unsur Melayu, dari pemilihan tapak hingga proses pembinaan, mencerminkan kepercayaan, pantang larang, dan falsafah Melayu yang boleh disimpulkan dari bentuk kejadian sesuatu bahagian rumah.

Simpanan Artifak Bersejarah

RMKT-12 menjadi tempat simpanan pelbagai artifak seperti perabot, dan karya seni berusia puluhan tahun, termasuk koleksi Warisan Kelantan seperti Wau, congkak, kain lepas semutar, tembikar mambong, anyaman, & batik.

Dimiliki oleh Golongan Bangsawan

RMKT-12 biasanya dimiliki oleh golongan bangsawan, juru ukir istana, dan hulubalang elit, mencerminkan status dan keagungan rumah ini.

Ikon Pelancongan di Kota Bharu

RMKT-12 bukan sahaja warisan, tetapi juga ikon pelancongan yang berada di pusat bandar Kota Bharu. Keunikan warisan Kelantan ini menjadikannya destinasi yang menarik minat lebih ramai pelancong ke negeri Serambi Mekah ini.

Karya Fotografi Bersejarah

Lokasi RMKT-12 menjadi tempat berkumpulnya karya fotografi terkenal yang mengabadikan 11 jajahan di Kelantan. Pemiliknya, seorang jurugambar berpengalaman lebih dari 30 tahun, merakam sejarah dalam konsep ‘coffee book table’.

Kesimpulan

Jemput datang ke Kelantan dan lawati RMKT-12 untuk merasai sendiri nostalgia serta kekayaan budaya warisan turun-temurun. Di sini, korang bukan sahaja dapat menyaksikan keindahan seni bina tradisional, malah memahami falsafah hidup masyarakat Melayu terdahulu.

Setiap sudut, dari ukiran dan struktur rumah ini membawa makna tersendiri, melambangkan ketelitian dan kehalusan seni warisan Melayu.

Jangan lepaskan peluang mengunjungi rumah unik ini dan merasai sendiri keunikan seni bina kebanggaan rakyat Kelantan.

Artikel Berkaitan : Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) di Kota Bharu, Kelantan

One thought on “Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 : Kenali 12 Fakta Menarik & Unik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *