Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) di Kota Bharu, Kelantan

istana Jahar Kota Bharu
Kongsi Artikel ini

Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) di Kota Bharu, Kelantan. Kota Bharu, merupakan ibu negeri Kelantan, bukan sekadar destinasi membeli-belah dan syurga makanan tradisional, tapi juga kaya dengan warisan sejarah yang menarik untuk diterokai.

Jika korang peminat sejarah atau suka melihat seni bina lama yang unik, Kota Bharu menawarkan pelbagai tarikan menarik, antaranya Istana Jahar, sebuah istana lama yang menyimpan seribu satu kisah tentang warisan Kesultanan Melayu Kelantan.

Terletak di pusat Kota Bharu, Istana Jahar adalah lokasi wajib bagi pencinta sejarah dan budaya Kelantan. Dengan seni bina Melayu klasik dan koleksi pameran menarik, ia menjadi muzium warisan diraja yang berharga.

Jom kita lihat lebih lanjut keunikan Istana Jahar dan mengapa ia perlu masuk dalam itinerary korang bila berkunjung ke Kota Bharu!

Istana Jahar

Sejarah Istana Jahar

Istana Jahar, yang juga dikenali sebagai Muzium Adat Istiadat, memancarkan keindahan senibina tradisional Melayu Kelantan. Bangunan ini pada mulanya merupakan Istana Raja Bendahara Long Kundur Bin Sultan Ahmad, yang dibina pada tahun 1887. Istana Jahar bukan sekadar bangunan bersejarah, tetapi juga pernah menjadi tempat persemayaman beberapa sultan yang memerintah, termasuk Almarhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV (1920 – 1944).

Pada tahun 1992, Muzium Adat Istiadat mula ditubuhkan dan disempurnakan dengan upacara perasmian yang dihadiri oleh Al-Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 27 Julai 1992.

Istana Jahar Muzium Adat istiadat di Istana Jahar Kota Bharu
Istana Jahar Muzium Adat istiadat

Hak milik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan

Bangunan yang menjadi hak milik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan ini telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah negeri pada tahun 2005 di bawah Akta 645. Muzium ini bukan sahaja menyimpan sejarah Istana Jahar, tetapi juga menjadi wadah bagi pameran pelbagai jenis Adat Istiadat Diraja Kelantan sejak zaman berzaman.

Di dalam muzium ini, pengunjung dapat menikmati keindahan seni ukiran bangunan dan hiasan istana kesultanan Kelantan yang terkenal. Pameran merangkumi alatan istiadat diraja, tekstil, perhiasan, pakaian, dan barang tembaga, mencerminkan kekayaan budaya Kelantan.

Pameran Istiadat Berkhatan Di Raja Kelantan Pada Zaman Dahulu di Istana Jahar Kota Bharu
Istiadat Berkhatan Di Raja Kelantan Pada Zaman Dahulu

Bagian belakang istana turut mempunyai daya tarikan tersendiri dengan kehadiran Balai Senjata. Di sini, pelawat dapat melihat koleksi alat-alat senjata lama Negeri Kelantan, termasuk keris, lembing, badik, kelewang, dan lain-lain. Pameran ini bukan sahaja memberi wawasan kebudayaan, tetapi juga memaparkan kehebatan seni kepanduan dan kepakaran tukang senjata zaman dahulu.

Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) bukan sekadar memelihara warisan budaya, tetapi juga mendidik generasi kini dan akan datang tentang sejarah dan tradisi. Dengan penghargaan terhadap warisan ini, masyarakat Kelantan terus mengukuhkan identiti budaya mereka dalam landskap moden yang terus berubah.

Maklumat Tiket & Waktu Operasi Muzium Istana Jahar

  • Bayaran Masuk : RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Manakala pengunjung antarabangsa pula bayarannya ialah RM4 untuk orang dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.
  • Waktu Operasi : Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.
  • Lokasi : Istana Jahar terletak di sisi Istana Balai Besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan

Dengan memahami dan mengekalkan warisan ini, kita bukan sahaja menghargai masa lalu tetapi juga memastikan identiti dan kearifan terus hidup.

Artikel Berkaitan : Senarai Hotel Terbaik di Kota Bharu 2025

2 thoughts on “Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) di Kota Bharu, Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *