Apa Maksud Microsleep? Ketahui Tanda dan Risiko Tidur Sekejap Ini!

Maksud Microsleep
Kongsi Artikel ini

Apa Maksud Microsleep! Pernah tak korang rasa tiba-tiba “hilang” beberapa saat ketika memandu atau bekerja? Hati-hati, itu mungkin tanda korang sedang alami microsleep! Walaupun hanya berlaku selama beberapa saat, kesannya boleh membahayakan diri dan orang sekeliling, terutama bila korang sedang memandu atau mengendalikan jentera berat.

Dalam artikel ini, kita akan bincang secara lengkap tentang maksud microsleep, apa punca microsleep, tanda-tanda yang perlu diberi perhatian, serta cara-cara mencegah demi keselamatan dan kesihatan korang.

Maksud Microsleep

Microsleep merujuk kepada tempoh tidur yang sangat pendek, biasanya antara 1 hingga 30 saat, yang berlaku secara tiba-tiba dan tanpa disedari. Individu yang mengalaminya mungkin kelihatan terjaga — mata terbuka, tetapi otak sedang ‘tidur’.

Fenomena ini sering berlaku apabila seseorang terlalu letih atau kurang tidur, terutamanya ketika melakukan aktiviti yang berulang atau membosankan seperti memandu jarak jauh, belajar, atau kerja pejabat yang berterusan.

Punca Microsleep

Antara punca-punca utama berlakunya microsleep termasuk:

  • Kurang tidur atau waktu tidur tidak berkualiti
  • Memandu jarak jauh tanpa rehat
  • Tugas yang berulang atau monotonous
  • Gangguan tidur seperti insomnia, apnea tidur
  • Tekanan dan keletihan mental berpanjangan
  • Pengambilan ubat tertentu yang menyebabkan rasa mengantuk

Tanda-Tanda Alami Microsleep

Microsleep berlaku tanpa sedar, tapi ada beberapa petunjuk awal yang korang perlu tahu:

  • Kelopak mata berat dan kerap mengelip
  • Tersentak atau terangguk secara tiba-tiba
  • Hilang fokus dalam beberapa saat
  • Tidak ingat apa yang berlaku 10–30 saat yang lalu
  • Tersedar dengan perasaan panik atau keliru
  • Kereta terbabas ke lorong lain atau hampir langgar sesuatu

Bahaya Microsleep Semasa Memandu

Microsleep, boleh menyebabkan pemandu kehilangan kawalan terhadap kenderaan. Situasi ini amat berbahaya terutamanya semasa memandu pada kelajuan tinggi atau di kawasan yang memerlukan tumpuan penuh. Berikut beberapa lagi kesan buruk dari masalah ini jika berlaku ketika memandu:

  • Terlepas lampu isyarat
  • Terbabas ke bahu jalan
  • Melanggar kenderaan lain
  • Merempuh pejalan kaki atau objek

Menurut data keselamatan jalan raya, microsleep menyumbang kepada banyak kemalangan maut, terutama di lebuh raya.

Statistik Kemalangan Berkaitan Microsleep di Malaysia

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,305 kematian jalan raya dari tahun 2011 hingga 2021 berpunca daripada kemalangan akibat pemandu kenderaan yang tertidur (microsleep) semasa mengoperasikan kenderaan mereka. ​(Sumber;Ministry of Health Malaysia)

Selain itu, semasa Ops Selamat sempena Aidilfitri 2019, sebanyak 675 kemalangan dilaporkan berpunca daripada pemandu yang mengantuk, leka, berangan dan letih. Daripada jumlah itu, 14 membabitkan kemalangan maut, tiga parah, 10 kemalangan ringan dan 648 lagi adalah kemalangan melibatkan kerosakan sahaja. (Sumber; AstroAwani)

Cara Elak Microsleep

Untuk mengurangkan risiko microsleep, korang boleh amalkan tip berikut:

  1. Dapatkan tidur yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh.
  2. Ambil rehat secara berkala, disarankan setiap dua jam pemanduan.
  3. Jangan teruskan kerja atau perjalanan jika rasa terlalu penat
  4. Minum air secukupnya dan kurangkan kafein berlebihan
  5. Tidur sebentar (power nap) selama 15–20 minit jika mengantuk
  6. Rawat masalah tidur seperti sleep apnea dengan bantuan doktor

Kesimpulannya, microsleep mungkin nampak biasa, tapi risikonya sangat besar. Dengan mengenali tanda-tanda awal dan mengambil langkah pencegahan, korang boleh elak kemalangan, kekal produktif dan jaga kesihatan mental serta fizikal.

Artikel Penuh: Kenapa Travel Insurance Penting? Ini Sebab Korang Perlu Ambil!

Jadi lepas ni, kalau mata rasa berat atau mula hilang fokus — jangan paksa diri! Rehat seketika, nyawa lebih berharga dari destinasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *