Senarai Aktiviti Menarik di Kelantan 2025: Rafflesia pun ada kat sini!

Senarai Aktiviti Menarik di Kelantan 2025
Kongsi Artikel ini

Senarai Aktiviti Menarik di Kelantan 2025

Kelantan merupakan antara negeri yang paling kaya dengan warisan budaya dan nilai tradisi Melayu-Islam. Dengan landskap geografi yang unik; Kelantan menawarkan lebih daripada sekadar destinasi pelancongan biasa.

Apa yang membezakan Kelantan daripada negeri-negeri lain adalah keterpaduan antara elemen budaya tradisional, keindahan alam semula jadi dan kehidupan komuniti tempatan yang masih utuh memelihara cara hidup nenek moyang mereka. Dialek Kelantan yang tersendiri, upacara diraja yang diwarisi turun-temurun, serta kulinari unik seperti nasi kerabu, laksam & kuih akok; semuanya menjadi sebahagian daripada naratif pelancongan negeri ini.

Lokasi strategik dan tarikan pelancongan yang pelbagai menjadikan Kelantan pilihan ideal untuk percutian keluarga yang menyeronokkan dan bermakna.

Dalam artikel ini, kami senaraikan aktiviti terbaik di Kelantan yang wajib korang cuba. Dari alam semula jadi hingga warisan budaya; semuanya menanti untuk diterokai.

Belajar & Menyelami Budaya Kelantan di Istana Jahar

Istana Jahar, yang kini dikenali sebagai Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan, merupakan tempat terbaik untuk mendalami warisan budaya negeri ini. Dibina pada abad ke-19, istana ini menampilkan seni bina Melayu yang indah & memuatkan pelbagai pameran menarik seperti pakaian diraja, senjata tradisional, & adat perkahwinan istana.

BACA: Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) di Kota Bharu

Sunrise di Pantai Kuala Rekang: Pantai Tercantik di Kelantan

Jika korang penggemar pemandangan alam semula jadi yang menenangkan, Pantai Kuala Rekang di daerah Bachok adalah destinasi yang tidak boleh dilepaskan. Bagi admin, ia merupakan pantai tercantik dan terbersih di Kelantan. Pantai ini menawarkan suasana damai dengan garis pantai yang panjang, pasir halus dan deretan pokok kelapa yang tersusun. Keistimewaan utama di sini ialah panorama matahari terbit (sunrise) yang menakjubkan.

Pengalaman Unik Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung

Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung merupakan antara tarikan pelancongan yang menarik di Kelantan, menampilkan suasana perdagangan tradisional di atas air yang jarang ditemui. Untuk ke sini, pengunjung perlu menaiki bot dari beberapa jeti terpilih untuk sampai ke lokasi pasar. Di sini, pelbagai jenis makanan tempatan seperti nasi tumpang, kerabu, kuih-muih serta hasil kraftangan dijual terus dari bot-bot kecil oleh peniaga setempat. Pasar ini beroperasi pada setiap hujung minggu. Pastikan datang awal untuk menikmati pengalaman ini dengan lebih selesa dan tenang.

Cabaran Mendaki Gunung Stong & Air Terjun Jelawang

Bagi pencinta alam dan aktiviti lasak, pendakian ke Gunung Stong di Dabong, Kelantan adalah satu pengalaman luar biasa yang patut dicuba. Gunung ini terkenal dengan Air Terjun Jelawang, salah satu air terjun tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 303 meter (1,414 kaki dari aras laut). Pendakian ke puncak Gunung Stong mengambil masa sekitar 5 hingga 7 jam, bergantung kepada tahap kecergasan, dan menawarkan pemandangan hutan hujan tropika yang menghijau serta habitat semula jadi flora dan fauna yang unik.

Menjejak Rafflesia di Tanah Tinggi Lojing

Lojing Highlands, yang terletak di sempadan Kelantan dan Pahang, merupakan kawasan tanah tinggi yang masih terpelihara dan kaya dengan biodiversiti. Siapa sangka, di Kelantan pun ada bunga Rafflesia; bunga terbesar di dunia yang jarang ditemui & tumbuh di lokasi tertentu saja. Di sinilah habitat semula jadi Rafflesia Kerri, sejenis spesies unik yang boleh mencecah diameter lebih satu meter ketika mekar. Bagi korang yang sukakan cabaran ringan dan mahu mendekati alam, aktiviti jungle trekking di Lojing sangat disyorkan.

Perjalanan ini biasanya diketuai oleh pemandu arah daripada komuniti Orang Asli yang berpengalaman luas; bukan sekadar penunjuk jalan, mereka juga berkongsi ilmu tentang tumbuhan ubatan, hidupan hutan, serta cerita-cerita tempatan. Kalau bertuah, korang dapat lihat sendiri Rafflesia yang mekar di hutan; pengalaman yang jarang dan cukup mengujakan.

Pasar Siti Khadijah: Syurga Kuliner Tradisi Kelantan

Bagi pencinta makanan tempatan, Pasar Siti Khadijah di tengah Kota Bharu adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Pasar ini bukan sekadar pusat beli-belah, tetapi juga lambang kekayaan kuliner tradisi Kelantan yang diwarisi turun-temurun. Di tingkat bawah, aroma rempah ratus & masakan tradisional menyambut pengunjung; korang boleh temui pelbagai jenis kuih seperti akok, jala mas, tahi itik, lompat tikam, serta juadah berat seperti nasi dagang, nasi kerabu, laksam & nasi tumpang yang dijual segar setiap pagi. Di bahagian dalam pasar juga terdapat deretan gerai menjual serunding, keropok, budu, dan rempah masakan Kelantan, sesuai dijadikan buah tangan.

BACA: Senarai Lengkap Tempat Menarik di Kelantan 2025

Kelantan ialah destinasi yang unik, menggabungkan alam semula jadi, budaya dan makanan tradisional dalam satu pengalaman percutian yang bermakna. Korang minat sejarah? Suka aktiviti alam? Atau nak berehat bersama keluarga? Kelantan ada pilihan untuk semua peringkat umur.Jadi, jangan lepaskan peluang untuk terokai keistimewaan Kelantan dalam percutian korang yang seterusnya.

Simpan dan kongsi artikel Aktiviti Menarik di Kelantan 2025 ini kalau korang rasa bermanfaat. Jangan lupa follow media sosial Projek Travel untuk lebih banyak tip dan inspirasi percutian menarik di Malaysia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *