Sejarah & Asal Usul Keturunan Wan di Kelantan
Gelaran Wan sering kali dikaitkan dengan keluarga bangsawan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan dan Terengganu. Gelaran ini lahir daripada pertembungan budaya, perkahwinan bangsawan, serta pengaruh kerajaan besar di Alam Melayu sejak beribu tahun lalu.
Dalam artikel ini, kita akan bincangkan tentang asal usul gelaran Wan, peranan keturunan Wan dalam masyarakat, dan bagaimana ia kekal menjadi sebahagian daripada identiti Melayu hingga hari ini.
Asal Usul Keturunan Wan dari Kesultanan Kelantan
Kajian awal sekitar tahun 1940 menyatakan bahawa keturunan Wan berasal dari bangsawan Kesultanan Kelantan. Hubungan ini turut berkait rapat dengan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu Indo-China seperti Funan, Chenla dan Champa, yang diasaskan oleh Wangsa Warman.
Wangsa Warman pernah memerintah kerajaan Langkasuka sejak tahun 200M sebelum disatukan semula pada zaman Raja Merong Mahawangsa pada tahun 630M. Namun, selepas serangan empayar Sriwijaya pada tahun 683M, Langkasuka runtuh dan legasi ini berasimilasi dengan kerajaan-kerajaan lain di rantau ini.
Perkahwinan, Islamisasi & Lahirnya Gelaran Wan
Apabila Pattani menerima Islam sekitar abad ke-12, berlaku perkahwinan campur antara pendakwah Islam dengan bangsawan Warman. Dari sinilah munculnya generasi baharu bergelar Wan, yang terbahagi kepada dua kelompok:
- Che Wan – golongan yang mempunyai hak menjadi pemerintah.
- Wan – golongan bangsawan yang memegang jawatan penting tetapi tidak berhak menaiki takhta.
Peranan ini berlangsung sehingga kejatuhan Kesultanan Pattani.
Pengaruh Dinasti Ming & Melayu-Yunan
Kajian Professor Tan Chee Beng (1991) pula mengaitkan gelaran Wan dan Nik dengan warisan dari Dinasti Ming (1368–1644) melalui masyarakat Cina-Muslim Hui Hui. Apabila mereka berasimilasi dengan masyarakat Melayu di pantai timur, wujudlah komuniti Melayu-Yunan yang melahirkan keturunan Wan dan Nik.
Mungkin inilah juga sebabnya mengapa orang Kelantan terkenal dengan wajah yang come lote hasil percampuran darah daripada pelbagai bangsa.
Keturunan Wan di Negeri-negeri Melayu
Perjalanan sejarah gelaran Wan tidak terhenti di Kelantan atau Pattani sahaja. Disebabkan faktor politik, perdagangan, perkahwinan campur serta penghijrahan bangsawan, keturunan ini berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu.
Menariknya, setiap negeri mempunyai versi dan cerita asal-usul keturunan Wan yang berbeza tetapi tetap berkait dengan akar bangsawan serta warisan Islam. Mari kita telusuri bagaimana keturunan Wan tersebar dan berakar di beberapa negeri utama seperti Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.
Terengganu
Di Terengganu, keturunan Wan berasal daripada perkahwinan campur antara nakhoda Champa, Raja Bugis dan puteri Laksamana Johor. Antara tokoh terkenal ialah Tok Sheikh Duyong dan Wan Abdullah bin Wan Mohammad Amin.
Selain itu, ramai juga ulama dan bangsawan Pattani yang berhijrah ke Terengganu selepas serangan Siam pada 1780-an, sekali gus menambahkan lagi jurai keturunan Wan di negeri ini.
Pahang
Keturunan Wan di Pahang lebih terserlah melalui Bendahara Wan Ahmad, pengasas Kesultanan Pahang moden. Susur galurnya datang daripada Kesultanan Johor-Riau, menjadikan jurai keturunan ini sebahagian daripada legasi besar dunia Melayu.
Perak
Sekitar 1750-an, seorang bangsawan dari Legeh, Wan Agas bin Tun Bija Diraja II, membuka jalan untuk perkembangan keturunan Wan di hulu Perak.
Selepas Perjanjian Reman-Siam 1899, semakin ramai masyarakat Patani, Reman dan Nongchik berhijrah ke Perak dan Kedah, membawa bersama gelaran Wan ke negeri-negeri utara.
Kedah
Di Kedah, keturunan Wan berasal daripada jurai Bendahara, Laksamana dan Temenggung Kedah. Namun legasi keturunan ini mula beransur hilang selepas penghujung abad ke-19 apabila jawatan-jawatan besar negeri diambil alih oleh kerabat diraja Kedah bergelar Tunku.
Baca juga: Asal Usul Gelaran NIK di Kelantan: Ramai Yang Tak Tahu!
Asal usul keturunan Wan bukan sekadar nama pangkal, tetapi melambangkan legasi bangsawan, sejarah perkahwinan campur, pengaruh Islam, dan pertembungan budaya dari pelbagai kerajaan serantau. Dari Kelantan hingga ke Kedah, keturunan Wan membawa identiti tersendiri yang membentuk sebahagian besar warisan Melayu.
Hari ini, gelaran Wan masih kekal digunakan dengan penuh kebanggaan, menghubungkan generasi moden kepada warisan agung nenek moyang mereka.
Sumber rujukan: thepatriots.asia
👉 Kalau korang suka kupasan tentang sejarah Melayu macam ni, jangan lupa follow Projek Travel di media sosial untuk lebih banyak perkongsian menarik. Save dan share artikel ni supaya lebih ramai tahu asal usul sebenar keturunan Wan!
- Resipi Kangkung Belacan
- Rainforest Rising di Anurak Community Lodge: Pengalaman Eco-Tourism Unik di Surat Thani
- Cuti Deepavali 2025 & Cuti Sekolah Tambahan KPM
- 5 Aktiviti Menarik Wajib Cuba di Surat Thani, Thailand
- Saudia Airlines Diiktiraf Antara Syarikat Penerbangan Terkemuka Dunia Dalam Keselamatan Operasi & Kualiti