Terrapuri Heritage Village bukan sekadar sebuah resort; ia adalah sebuah projek pemuliharaan seni bina Melayu klasik yang terletak di Kampung Mangkuk, Penarik, Setiu, Terengganu. Nama “Terrapuri” bermaksud “Tanah Istana”, mencerminkan usaha untuk menghidupkan semula warisan seni bina Melayu Terengganu yang berusia ratusan tahun (warisan Kerajaan Melayu Langkasuka).
Warisan Kerajaan Melayu yang Hilang
Diasaskan oleh Mr. Alex Lee, Terrapuri bermula sebagai usaha menyelamatkan rumah-rumah tradisional Melayu Terengganu yang semakin pupus. Beliau mengumpul dan menyimpan rumah-rumah lama ini selama bertahun-tahun sebelum memulakan projek ini pada tahun 2006.

Dengan pelaburan peribadi yang besar, termasuk menjual harta dan kenderaan, beliau berjaya membina Terrapuri sebagai sebuah tempat yang memelihara dan mempamerkan keindahan seni bina tradisional. “The Lost of Malay Kingdom“.
Seni Bina dan Pengalaman
Terrapuri menampilkan 29 buah rumah kayu tradisional yang berusia antara 100 hingga 250 tahun, yang dahulunya milik golongan bangsawan Melayu Terengganu. Rumah-rumah ini dibina semula menggunakan teknik pasak tanpa paku, mencerminkan kehalusan seni bina Melayu klasik. Setiap rumah dinamakan sempena lokasi asalnya dan menampilkan dekorasi dalaman yang unik dan berbeza.
Masuk ke setiap vila terasa seolah-olah melangkah masuk ke zaman dahulu — namun dengan keselesaan moden (termasuk pendingin hawa) yang tidak mencacatkan keaslian. Setiap vila dilengkapi dengan tab mandi kayu, serambi peribadi, dan pancuran hujan, menawarkan pengalaman autentik kehidupan Melayu lama.
Jenis-Jenis Rumah di Terrapuri Heritage Village

Setiap rumah di Terrapuri dinamakan sempena lokasi asalnya di Terengganu, mengekalkan identiti dan sejarah tersendiri. Antara nama rumah yang terdapat di sini termasuk:
Superior
- Rumah Kolam
- Rumah Gelugor Raja
Deluxe Garden
- Rumah Tembakang
Deluxe Pool View
- Rumah Binjai Rendah
Executive Deluxe
- Rumah Seberang Takir
- Rumah Pengkalan Kubu
Grand Deluxe
- Rumah Nibong
- Rumah Jeram
- Rumah Kedai Buluh
- Rumah Paloh
- Rumah Tasek
- Rumah Dusun
- Rumah Sungai Mas
- Rumah Belukar Titian
- Rumah Pulau Duyong
- Rumah Losong
- Rumah Pengkalan Leban
Super Grand Deluxe
- Rumah Pulau Musang
- Rumah Kubang Jela
Setiap rumah ini dibina semula dengan teliti, mengekalkan ciri-ciri asli seperti ukiran kayu yang rumit, struktur bertiang tinggi, dan bumbung singgora. Bahan utama yang digunakan adalah kayu cengal dan penaga, yang terkenal dengan ketahanan dan keindahannya.
Pengalaman Autentik dan Alam Semula Jadi
Terletak di antara Laut China Selatan dan Setiu Wetlands, Terrapuri Heritage Village menyajikan pemandangan yang cukup menenangkan, dengan suasana yang damai dan jauh dari hiruk-pikuk bandar.Kalau korang bertuah dengan cuaca cerah, korang boleh nampak Pulau Perhentian, Lang Tengah, Pulau Cepu, Redang dan Pulau Bidong dari kejauhan—menjadi latar semula jadi yang mengagumkan.
Jangan lepaskan peluang untuk alami sendiri moment matahari terbit di hadapan resort, berlantaikan pasir putih Pantai Penarik yang membentang indah tepat di depan mata.
Resort ini juga menyediakan pelbagai aktiviti seperti berbasikal, lawatan ke perkampungan nelayan, permainan tradisional, Fireflies Cruise, Setiu Wetlands Cruise dan trip ke Pulau Redang. Dengan ketiadaan akses internet, ia menjadi tempat yang ideal untuk “detoks digital” dan refleksi diri.
Artikel Berkaitan : Jenis-Jenis Tempat Penginapan untuk Percutian Bajet dan Mewah
Dan untuk mereka yang ingin bersantai sepenuhnya, Terrapuri turut dilengkapi dengan kolam infiniti — menawarkan pemandangan tenang dan eksklusif sambil berenang atau berehat di tepi air.

Gabungan unsur warisan, alam dan keselesaan menjadikan Terrapuri tempat yang bukan sekadar untuk menginap, tapi untuk benar-benar merasai kehidupan.
Komitmen kepada Warisan Budaya
Terrapuri bukan sekadar tempat penginapan, tetapi juga simbol dedikasi terhadap pemuliharaan warisan budaya. Usaha Mr. Alex Lee telah memberi inspirasi kepada ramai untuk menghargai dan memelihara seni bina tradisional Melayu, memastikan bahawa sejarah dan budaya tidak hilang ditelan zaman.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, sila layari laman rasmi mereka di terrapuri.com
Warisan bukan untuk ditonton, tapi untuk dirasai dan dihargai. Jika rumah kayu ini menyentuh jiwa kamu, kongsikan dengan mereka yang menghargai nilai yang tak lekang dek masa.— Terrapuri Heritage Village adalah destinasinya.
Rindu resort ni dan tak jemu dengar penerangan dari Mr Alex. Sangat fasih dalam bidangnya.
Banyak ilmu Mr Alex pasal rumah tradisi dan budaya orang kita. Setiap kali jumpa, ada je ilmu baru dia kongsi.