Pendengar Ikan di Terengganu | Dalam dunia moden hari ini, kita sering mendengar tentang teknologi sonar, alat pengesan GPS dan pelbagai gajet canggih yang membantu nelayan mengesan lokasi ikan di lautan. Namun, pernahkah kita terfikir bagaimana orang zaman dahulu mengesan ikan? Tanpa sebarang bantuan alat moden, mereka sepenuhnya bergantung kepada kepekaan terhadap alam, gerak naluri, dan kebolehan luar biasa – anugerah yang dimiliki oleh individu terpilih, malah ada yang mewarisinya secara turun-temurun.”.
Pendengar Ikan (Fish Listener)
Di beberapa kawasan pesisir seperti Terengganu, wujud individu yang dikatakan mampu ‘mendengar’ ikan, yang faham bahasa laut – satu kelebihan yang sangat jarang dan dianggap luar biasa. Mereka menyelam ke dasar laut, menutup dunia luar, dan menumpukan seluruh deria kepada bunyi halus serta getaran air – seolah-olah mampu memahami bahasa laut yang tidak terdengar oleh manusia biasa.
Menurut cerita orang-orang lama, pendengar ikan boleh mengenal pasti kehadiran spesies ikan tertentu hanya melalui desiran air atau ketukan halus di dasar laut. Mereka akan menyelam dalam keadaan sunyi, fokus penuh pada persekitaran, lalu menentukan di mana perlu diletakkan jala atau pukat. Kebolehan ini menjadi satu bentuk seni dan kelebihan yang tidak ternilai bagi komuniti nelayan ketika itu.
Pendengar Ikan Terakhir di Terengganu
Menariknya, di Setiu, Terengganu, khabarnya masih wujud seorang juru selam yang dikenali kerana memiliki kebolehan luar biasa ini. Beliau bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, tetapi juga simbol warisan maritim yang hampir lenyap. Dengan menyelam dalam diam & tumpuan penuh, beliau masih mampu mengesan ikan dengan cara lama – mendengar, merasai dan memahami isyarat laut.
Sayangnya, tiada lagi yang lain mewarisi kebolehan ini. Ia semakin pupus seiring perubahan zaman dan kebergantungan terhadap teknologi moden. Namun, kisah pendengar ikan dari Setiu ini menjadi bukti bahawa warisan hebat bangsa kita masih hidup.
Artikel Berkaitan : Terrapuri Heritage Village, Setiu Terengganu; The Lost of Malay Kingdom
Minat kisah sebegini? Follow Projek Travel untuk lebih banyak cerita budaya dan warisan luar biasa dari seluruh Malaysia. Simpan & kongsikan artikel ini agar ia terus hidup dalam ingatan generasi mendatang.