7 Petua Lembutkan Daging Tanpa Guna “Pressure Cooker”!
Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan penghayatan. Aidiladha bukan sahaja dikenali sebagai hari raya korban, tetapi juga menjadi simbol pengorbanan, kesatuan ummah dan kepedulian sosial, khususnya melalui ibadah menyembelih haiwan korban seperti lembu, kambing dan unta.
Di Malaysia, korban lembu merupakan amalan paling meluas, sama ada secara individu atau perkongsian keluarga dan komuniti. Selepas selesai penyembelihan, daging korban akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan, sambil sebahagian daripadanya dimasak untuk juadah keluarga.
Namun, satu cabaran yang sering dihadapi ketika memasak daging korban ialah tekstur daging yang agak liat, terutamanya jika tidak menggunakan periuk tekanan (pressure cooker) atau daging belum direhatkan dengan baik. Oleh itu, pelbagai petua tradisional untuk melembutkan daging telah diamalkan sejak zaman dahulu dan masih digunakan hingga hari ini.
Dalam artikel ini, kami kongsikan 7 petua berkesan untuk melembutkan daging liat, sama ada daging lembu korban atau sebarang jenis daging lain. Petua-petua ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah mudah diamalkan di rumah tanpa peralatan moden.
Petua Lembutkan Daging
Potong Daging Mengikut Arah Urat
Teknik potongan memainkan peranan penting. Potong daging melawan arah urat agar seratnya terputus. Ini membantu daging menjadi lebih lembut semasa dimasak dan mudah dikunyah.
Rebus Daging Dalam Periuk Bertutup Rapat
Kaedah tradisional yang masih diamalkan:
- Rebus daging dalam periuk bertutup rapat.
- Letakkan pemberat seperti lesung batu di atas tudung periuk untuk perangkap wap.
- Jangan masukkan garam awal-awal. Tambahkan garam di akhir proses memasak agar daging tidak menjadi keras.
Gunakan Buah Kurma
Petua ini mungkin jarang didengar tetapi sangat menarik:
- Masukkan beberapa biji kurma (atau bijinya sahaja) ke dalam rebusan.
- Selain membantu melembutkan daging, kurma memberikan rasa manis semula jadi pada kuah.
- Tempoh memasak bergantung pada jumlah air dan kekuatan api.
Masukkan Hirisan Nenas
Nenas mengandungi enzim bromelin yang terkenal membantu melonggarkan serat daging:
- Tambah 1–2 hirisan nenas segar ke dalam rebusan.
- Jangan guna terlalu banyak kerana ia boleh mengubah rasa masakan (jadi seperti pajeri!).
- Sesuai untuk rendang, singgang atau gulai daging.
Sapukan Soda Bikarbonat
Ini adalah antara cara paling mudah dan popular digunakan di rumah:
- Lumurkan daging dengan sedikit soda bikarbonat.
- Biarkan selama 15–30 minit, kemudian bilas bersih sebelum dimasak.
- Kaedah ini sangat berkesan terutama untuk daging yang telah dibekukan.
Masukkan Sudu Logam ke Dalam Rebusan
Petua klasik yang dikatakan mampu mempercepatkan pemanasan:
- Masukkan sudu logam (besi/stainless steel) ke dalam periuk semasa merebus daging.
- Ia dipercayai membantu meningkatkan suhu sekitar dan menjadikan daging lebih cepat empuk.
Teknik Dua Periuk Untuk Cairkan Daging Beku
Jika ingin melembutkan daging beku dengan cepat, cuba cara ini:
- Letakkan periuk logam pertama secara terbalik.
- Letak daging beku di atasnya.
- Tekapkan periuk logam kedua di atas daging.
- Berat dari atas bantu mencairkan daging lebih cepat dan memudahkan proses hirisan.
Sumber inspirasi: Facebook Zubaiyah Hassan
Daging liat bukan lagi masalah jika kita tahu teknik yang betul. Petua-petua di atas telah diamalkan sejak dahulu dan terbukti berkesan, tanpa perlu bergantung kepada periuk tekanan atau teknik moden.
Cuba satu persatu dan lihat mana yang paling sesuai dengan gaya memasak korang. Dalam banyak-banyak petua ini, sapuan soda bikarbonat (No. 5) adalah yang paling mudah dan cepat diamalkan.
BACA: Resepi Daging Goreng Belengas Kelantan
Dah cuba petua mana satu? Kongsikan pengalaman korang, dan jangan lupa simpan & kongsi artikel ini. Untuk lebih banyak petua dapur, ikuti Projek Travel; bukan sekadar travel, tapi juga warisan rasa!
3 thoughts on “7 Petua Lembutkan Daging Tanpa Guna “Pressure Cooker”!”