Adat Berkhatan Tradisional Melayu. Dalam kehidupan masyarakat Melayu, adat dan budaya memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan cara hidup sesuatu generasi. Setiap peringkat kehidupan — dari kelahiran, membesar, sehinggalah ke alam perkahwinan — sering disertai dengan amalan dan upacara yang mencerminkan nilai, kepercayaan dan identiti turun-temurun. Salah satu daripadanya ialah amalan berkhatan, yang bukan sahaja membawa makna dari sudut agama, tetapi turut menjadi simbol peralihan seorang kanak-kanak lelaki ke alam remaja.
Menarik apabila kita menelusuri semula adat berkhatan tradisional yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Artikel ini ditulis sekadar untuk berkongsi pengetahuan tentang warisan budaya yang kian jarang disebut, namun masih menyimpan nilai sejarah dan cerita yang unik.
Pengenalan kepada Berkhatan
Berkhatan, juga dikenali sebagai khitan atau bersunat, merupakan prosedur pembedahan yang melibatkan pemotongan sebahagian atau keseluruhan kulit kulup yang menutupi kepala zakar lelaki. Dalam konteks perubatan, prosedur ini dikenali sebagai ‘circumcision‘. Bagi masyarakat Melayu dan umat Islam secara amnya, berkhatan adalah amalan penting yang menandakan peralihan seorang kanak-kanak lelaki ke alam dewasa serta memenuhi tuntutan agama.
Hukum Berkhatan dalam Islam
Dalam Islam, berkhatan dianggap sebagai salah satu fitrah atau amalan semula jadi yang disyariatkan. Terdapat hadis yang menyebut lima perkara fitrah, iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memendekkan misai. Mazhab Syafie menetapkan bahawa berkhatan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan. (Sumber; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Peranan Tok Mudim dalam Upacara Berkhatan
Dalam masyarakat Melayu tradisional, upacara berkhatan dikendalikan oleh individu yang dikenali sebagai Tok Mudim. Tok Mudim memainkan peranan penting sebagai pengkhatan yang berpengalaman, menggunakan peralatan khas seperti pisau, gunting, dan penyepit yang diperbuat daripada tanduk atau tembaga. Mereka bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, tetapi juga memahami adat dan pantang larang yang perlu dipatuhi semasa upacara berlangsung. Selain kemahiran teknikal dan pengetahuan tentang adat, Tok Mudim juga menerima pengeras sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka
Pengeras
Biasanya Tok Mudim akan mengenakan pengeras (upah) bagi kerja yang telah dijalankan. Pengeras yang biasa diterimanya ialah:
- Sirih pinang berserta dengan duit pengeras yang tidak ditentukan jumlahnya
- Segantang beras
- Dua biji kelapa
- Sebatang damar
Sesetengah pengeras akan diberikan selepas kanak-kanak tersebut sembuh manakala, jumlah ketetapan dan bilangan bahan-bahan tersebut adalah mengikut Tok Mudim dan keikhlasan ibu bapa kanak-kanak yang terlibat.
Pemberian pengeras ini bukan sahaja sebagai bayaran, tetapi juga melambangkan penghormatan dan penghargaan masyarakat terhadap peranan Tok Mudim dalam memastikan kelancaran serta keberkatan upacara berkhatan
Proses Berkhatan Tradisional dalam Masyarakat Melayu
Dalam masyarakat Melayu tradisional, upacara berkhatan dijalankan dengan penuh adat dan istiadat:
- Persiapan Sebelum Berkhatan: Sehari sebelum upacara, kanak-kanak lelaki akan dimandikan dan dipakaikan pakaian baru. Mereka kemudian diarak seperti pengantin dan disandingkan, kadangkala disertai dengan majlis khatam al-Quran.
- Proses Berkhatan: Pada hari upacara, kanak-kanak akan dimandikan sekali lagi, termasuk mandi dengan air jampi yang disediakan oleh Tok Mudim. Mereka kemudian didudukkan di atas batang pisang, dan Tok Mudim akan menjalankan prosedur berkhatan dengan segera menggunakan alatan tradisional.
- Pantang Larang Selepas Berkhatan: Selepas berkhatan, kanak-kanak dikehendaki mematuhi beberapa pantang larang tertentu.
Pantang Larang Budak Berkhatan Zaman Dahulu
- Tidak Melangkah Bendul Pintu: Kanak-kanak yang baru berkhatan dilarang melangkah bendul pintu rumah. Kepercayaan tradisional menyatakan bahawa perbuatan ini boleh melambatkan proses penyembuhan luka.
- Mengelakkan Minum Air Berlebihan: Pengambilan air yang terlalu banyak dipercayai boleh menyebabkan pembengkakan pada kawasan yang dikhatankan, yang seterusnya boleh menimbulkan rasa sakit ketika membuang air kecil.
- Tidak Melangkah Tahi Ayam: Kanak-kanak juga dilarang melangkah tahi ayam kerana dipercayai bahawa perbuatan ini boleh menyebabkan luka berkhatan lambat sembuh dan berbau busuk.
- Pantang Makanan Tertentu: Selepas berkhatan, terdapat kepercayaan bahawa beberapa jenis makanan perlu dielakkan untuk memastikan luka cepat sembuh. Antaranya:
📌 Telur: Dikatakan boleh menyebabkan kegatalan pada luka.
📌 Makanan Laut Seperti Udang & Sotong: Dipercayai boleh menyebabkan alahan atau gatal pada kawasan luka.
📌 Makanan Pedas & Berempah: Boleh menyebabkan ketidakselesaan dan mungkin memperlahankan proses penyembuhan.
📌 Makanan Bergoreng & Berlemak Tinggi: Makanan seperti ini boleh meningkatkan risiko keradangan dan melambatkan proses penyembuhan.
Walaupun pantang larang ini berakar umbi dalam kepercayaan tradisional, penting untuk memahami bahawa amalan perubatan moden mungkin mempunyai pandangan yang berbeza.
Oleh itu, adalah bijak untuk menggabungkan nasihat perubatan moden dengan pemahaman budaya tradisional bagi memastikan proses penyembuhan yang optimum selepas berkhatan.
Peralatan Berkhatan Tok Mudim Zaman Dahulu
Dalam amalan berkhatan tradisional masyarakat Melayu, beberapa peralatan khusus digunakan oleh Tok Mudim untuk memastikan proses berkhatan berjalan lancar dan selamat. Antara peralatan tersebut termasuk:
- Pisau Khas Berkhatan: Pisau yang ditempah khas dan digunakan khusus untuk memotong kulit kulup. Biasanya, Tok Mudim memiliki dua bilah pisau; satu untuk digunakan dan satu lagi sebagai simpanan.
- Penyepit (Pengapit): Alat yang digunakan untuk mengapit bahagian kulit yang akan dipotong, memastikan ia tetap pada tempatnya semasa proses berkhatan. Penyepit ini biasanya diperbuat daripada nibung atau tembaga.
- Penjangka: Digunakan untuk menjarak bahagian yang akan dipotong pada kemaluan kanak-kanak. (biasanya diperbuat daripada tanduk kerbau atau tembaga)
- Gunting: Digunakan untuk memotong tisu atau kulit yang diperlukan semasa proses berkhatan.
- Batang Pisang: Disediakan oleh ibu bapa kanak-kanak yang akan berkhatan, batang pisang digunakan sebagai tempat duduk kanak-kanak semasa proses berkhatan dijalankan. Batang pisang dipilih kerana teksturnya yang lembut dan dipercayai dapat mengurangkan rasa sakit semasa proses berkhatan.
- Penggunaan Ubat Tradisional: Selepas berkhatan, luka akan dirawat menggunakan ramuan tradisional seperti campuran kulit pokok pauh & kapur (kulit pokok Pauh diperah dan dicampur dengan kapur dan air), putih telur, serbuk arang batu, Penisilin, Iodine dan Minyak ubat (ramuan daripada akar kayu)- Campuran daging mukmin (sejenis getah), cekur kering dan jerangau yang diproses dijadikan minyak. Ramuan ini dipercayai dapat mempercepatkan proses penyembuhan dan mencegah jangkitan secara tradisional.
Semua peralatan ini disimpan dengan rapi dalam sebuah beg khas oleh Tok Mudim dan dijaga dengan teliti untuk memastikan kebersihan dan ketajamannya. Batang Pisang pula akan diambil fresh sebelum majlis berkhatan.
Kebaikan dan Manfaat Berkhatan
Selain memenuhi tuntutan agama dan adat, berkhatan juga memberikan pelbagai manfaat kesihatan:
- Kebersihan: Membantu mengekalkan kebersihan zakar dengan mengurangkan pengumpulan smegma, iaitu bahan yang boleh menyebabkan bau dan jangkitan.
- Mengurangkan Risiko Jangkitan: Berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing dan penyakit kelamin tertentu seperti HIV dan HPV.
- Pencegahan Masalah Kesihatan: Mencegah keadaan seperti phimosis (kulup yang ketat) dan paraphimosis (kulup yang tersekat di belakang kepala zakar)
Kesimpulannya, berkhatan adalah amalan penting dalam masyarakat Melayu yang merangkumi aspek keagamaan, budaya, dan kesihatan. Walaupun kaedah berkhatan moden semakin meluas, memahami dan menghargai adat berkhatan tradisional dapat membantu melestarikan warisan budaya yang berharga ini.
Selain itu, berkhatan memberikan pelbagai manfaat kesihatan yang diiktiraf secara perubatan, menjadikannya amalan yang bermanfaat dari pelbagai sudut.
Artikel Berkaitan : Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar) di Kota Bharu, Kelantan
Jika korang rasa perkongsian tentang Adat Berkhatan Tradisional Melayu ini bermanfaat, simpanlah sebagai bacaan santai. Kongsikan juga bersama keluarga atau rakan untuk sama-sama mengenang cerita lama dalam masyarakat kita.