AirBorneo, syarikat penerbangan milik penuh kerajaan Sarawak, kini semakin hampir untuk memulakan operasi rasminya pada Januari 2026. Kehadiran syarikat penerbangan baharu ini dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan domestik, penerbangan Borneo, serta akses ke kawasan pedalaman menerusi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Langkah ini sekali gus menjadikan AirBorneo antara perkembangan terpenting dalam landskap industri penerbangan Malaysia, khususnya bagi memperkukuh jaringan penerbangan luar bandar dan meningkatkan kemudahan perjalanan di Borneo.
Menggunakan RAS Sedia Ada di Sarawak, Sabah & Labuan
Menurut laporan Harian Metro, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin, memaklumkan bahawa AirBorneo akan menggunakan aset dan perkhidmatan RAS sedia ada sebaik sahaja proses peralihan selesai.
"Apabila proses peralihan selesai, AirBorneo dijangka memulakan operasi sendiri pada Januari 2026 dengan menggunakan RAS sedia ada di Sarawak, Sabah dan Labuan.
"Ia juga dirancang untuk berkembang ke operasi jet serantau menjelang akhir tahun, bergantung kepada ketersediaan pesawat, peruntukan slot lapangan terbang serta kelulusan pengawalseliaan," katanya.
Penggunaan laluan RAS amat penting dalam memastikan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah terus menerima akses pengangkutan udara yang stabil, selamat dan mampu milik.
Beroperasi Selepas Pengambilalihan Penuh MASwings
Pelancaran AirBorneo berkait rapat dengan proses pengambilalihan MASwings Sdn Bhd, yang dijangka selesai pada 31 Disember 2025. Pengambilalihan ini dibuat selepas pemeteraian Perjanjian Pembelian Saham pada 12 Februari lalu.
Dengan selesainya proses tersebut, seluruh operasi MASwings akan berpindah kepada AirBorneo secara berperingkat. Sekali gus memberi nafas baharu kepada sektor penerbangan Borneo.
Dua Pesawat Permulaan: Twin Otter & ATR
Untuk fasa awal operasi, AirBorneo akan memulakan penerbangan menggunakan:
- 1 pesawat Twin Otter – sesuai untuk penerbangan ke kawasan pedalaman dengan landasan pendek
- 1 pesawat ATR – digunakan untuk laluan RAS yang mempunyai permintaan tinggi
Menurut Lee Kim Shin, proses pengambilalihan pesawat dijangka mengambil masa sehingga enam bulan, dan ia akan dilakukan secara berfasa.
Penggunaan kedua-dua pesawat ini sangat signifikan memandangkan ia merupakan model utama yang digunakan untuk penerbangan komuniti, penerbangan pedalaman, & penerbangan jarak pendek di Borneo.
Logo AirBorneo: Wings of Unity, Borneo for You
Pada 21 Ogos lalu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg telah merasmikan logo dan identiti jenama AirBorneo. Bertemakan “Wings of Unity” dan slogan “Borneo for You”, identiti baharu ini melambangkan:
- Keterangkuman masyarakat Borneo
- Hasrat memperkukuh kesalinghubungan antara negeri di Malaysia Timur
- Komitmen menyediakan pengalaman penerbangan terbaik kepada rakyat dan pelancong
Pelancaran AirBorneo ini dijangka membuka lembaran baharu dalam sektor travel dan pelancongan Borneo. Selain meningkatkan pilihan syarikat penerbangan domestik bagi rakyat Malaysia.
Kesimpulan
Kemasukan AirBorneo bukan sekadar menambah pilihan syarikat penerbangan, tetapi turut memperkukuh ekosistem pelancongan dan mobiliti di Sarawak, Sabah dan Labuan. Dengan rangkaian laluan RAS. Operasi pesawat Twin Otter serta ATR, & perancangan untuk meneroka penerbangan jet serantau, AirBorneo bersedia menjadi pemain penting dalam industri penerbangan Malaysia pada tahun 2026.
Nak tahu lebih banyak perkembangan pelancongan dan industri penerbangan terkini? Jangan lupa follow Projek Travel, simpan artikel ini dan kongsikan kepada rakan-rakan yang minat travel Borneo!