Candi Sukuh: Keunikan Seni Bina, Simbol Kesuburan dan Warisan Ritual Kuno

candi sukuh
Kongsi Artikel ini

Candi Sukuh Pamer Patung Simbol Kesuburan

Sejak beratus-ratus tahun lalu, candi-candi lama berdiri teguh sebagai saksi bisu kegemilangan tamadun kuno di rantau Asia, khususnya di Nusantara. Ia bukan sekadar binaan batu yang tersusun megah, tetapi menjadi pusat ibadat, ritual, serta lambang kekuasaan pada zamannya. Keagungan seni bina ini memuatkan falsafah hidup, kepercayaan spiritual, dan budaya masyarakat silam yang terus meninggalkan kesan hingga hari ini.

Setiap candi mempunyai keunikan tersendiri. Ada yang memaparkan kisah epik dewa-dewi, ada yang sarat dengan unsur astronomi, seni dan ritual penyucian, malah ada juga yang menonjolkan falsafah simbol kesuburan. Di Indonesia khususnya, peninggalan candi dari era Hindu-Buddha hingga Majapahit tidak hanya dianggap sebagai tapak arkeologi, tetapi sebagai warisan budaya yang membuka ruang untuk menyingkap misteri kehidupan masyarakat lampau.

candi sukuh

Salah satu candi yang menonjol kerana kelainannya ialah Candi Sukuh. Terletak di Dusun Sukuh, Desa Berjo, Kecamatan Ngargoyoso, Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah, kuil ini berada di lereng Gunung Lawu pada ketinggian sekitar 1,186 meter dari aras laut. Suasana pergunungan memberi nuansa mistik yang unik. Tidak hairanlah ia menjadi destinasi pilihan pencinta sejarah, seni bina, dan simbolisme budaya Jawa kuno.

Sejarah Penemuan dan Pengiktirafan Candi Sukuh

Candi Sukuh mula dicatatkan pada tahun 1815 semasa pemerintahan Gabenor Thomas Stamford Raffles. Kemudian, usaha pemeliharaan dilakukan oleh Dinas Purbakala sejak tahun 1917. Menurut sumber sejarah, pembinaan candi ini berlangsung sekitar abad ke-15 Masihi, iaitu ketika pemerintahan Ratu Suhita (1429–1446), salah seorang pemerintah terakhir Kerajaan Majapahit. Oleh kerana kedudukannya sebagai salah satu kuil terakhir peninggalan Majapahit, ia dikenali dengan jolokan The Last Temple.

Pada tahun 1995, Candi Sukuh telah menerima pengiktirafan UNESCO sebagai sebahagian daripada warisan dunia yang wajib dipelihara. Status ini bukan sahaja menegaskan nilai sejarah dan kebudayaannya, malah meletakkan Candi Sukuh sebagai salah satu tapak budaya penting di Asia Tenggara.

Keunikan Seni Bina Candi Sukuh

Berbeza dengan kebanyakan candi Hindu lain di Nusantara yang lazimnya menyerupai Gunung Semeru atau dibina menghadap arah matahari terbit, Candi Sukuh tampil dengan seni bina yang amat luar biasa. Struktur utamanya berbentuk trapezoid dan sering dibandingkan dengan piramid tamadun Maya, namun dengan bahagian puncaknya yang terpotong rata. Reka bentuk ini menonjolkan perbezaan jelas daripada gaya seni bina Hindu klasik yang biasanya bercorak menara menjulang tinggi.

candi sukuh

Kompleks Candi Sukuh terdiri daripada tiga tingkat utama yang disusun mengikut susun atur hierarki:

  • Tingkat Pertama – Gerbang utama yang menjadi pintu masuk ke kawasan candi.
  • Tingkat Kedua – Sebuah pintu gerbang, diapit oleh arca dwarapala, iaitu patung penjaga pintu khas dalam tradisi Hindu.
  • Tingkat Ketiga – Merupakan bahagian terpenting, menampilkan halaman yang luas dengan bangunan utama di puncak. Dari sini terdapat tangga sempit yang hanya boleh dilalui seorang demi seorang, seolah-olah memberi simbol pengasingan spiritual ketika mendekati pusat suci.
candi sukuh

Di sekeliling kawasan ini turut ditemui monolit & arca bersaiz besar. Ia yang mencerminkan kreativiti serta ciri khas seni arca Majapahit pada era terakhir kegemilangannya. Keunikan ini menjadikan Candi Sukuh bukan sekadar tapak keagamaan, tetapi juga sebuah karya seni bina yang sarat simbolisme & penuh misteri.

Simbolisme Kesuburan dan Arca Kontroversi

Salah satu sebab Candi Sukuh dianggap kontroversi adalah kerana wujudnya arca dan relief yang menggambarkan organ reproduktif manusia secara jelas. Antaranya, relief berbentuk phallus (alat kelamin lelaki) berhadapan dengan faraj, yang diukir di lantai pintu masuk.

candi sukuh

Walaupun kelihatan erotik dan kasar dari sudut pandang moden, ukiran tersebut tidak dimaksudkan untuk bersifat lucah. Sebaliknya, ia melambangkan kesuburan, penyucian diri, serta falsafah tentang kelangsungan hidup. Malah, menurut tradisi, sesiapa yang melangkahi relief tersebut dipercayai akan terbebas daripada kotoran jasmani & rohani kerana terkena suwuk (pengobatan tradisional).

Terdapat juga cerita turun-temurun bahawa relief ini digunakan sebagai ujian kesetiaan dan keperawanan pasangan pengantin. Kononnya, pengantin lelaki akan meminta pasangannya melangkahi relief tersebut; jika pakaian pengantin perempuan tersangkut atau koyak, ia dianggap tanda masih suci. Walaupun kisah ini bersifat cerita rakyat, ia memperlihatkan bagaimana simbolisme kesuburan ditafsirkan dalam konteks budaya masyarakat Jawa.

Nilai Sejarah dan Budaya

Selain arca reproduktif, Candi Sukuh turut menampilkan relief yang memuatkan kisah epik Hindu seperti Sudamala & Garudheya, yang berkaitan dengan tema penyembuhan & pembebasan diri daripada kekuatan jahat. Kehadiran simbol-simbol ini menguatkan pendapat para sarjana bahawa Candi Sukuh dibina bukan sekadar sebagai tempat pemujaan, tetapi juga sebagai ruang ritual penyucian.

Hari ini, Candi Sukuh terus menjadi destinasi pelancongan budaya yang memikat. Ia bukan sahaja menawarkan pengalaman estetik melalui seni bina & arca unik. Tetapi juga mencetuskan renungan tentang bagaimana masyarakat silam menghubungkan kehidupan, kesuburan, dan kesakralan melalui simbolisme seni.

candi sukuh

Candi Sukuh membuktikan bahawa warisan budaya Nusantara kaya dengan makna simbolik yang melangkaui zaman. Ia adalah saksi bisu tentang kreativiti, falsafah hidup, serta kepercayaan masyarakat Majapahit menjelang keruntuhan empayar mereka.

✨ Jika korang suka artikel tentang warisan budaya macam ni, jangan lupa untuk follow Projek Travel di media sosial. Simpan & kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan supaya lebih ramai dapat mengenali keindahan sejarah Nusantara!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *