Cara Simpan Daging Korban Yang Betul: Elak Pembaziran & Kekal Selamat Dimakan
Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing. Salah satu perkara penting selepas proses korban adalah cara penyimpanan daging yang betul bagi memastikan daging kekal segar, bersih dan selamat untuk dimakan.
Ramai yang masih tidak tahu bahawa penyimpanan daging yang tidak betul boleh menyebabkan pencemaran silang, pembiakan bakteria berbahaya dan pembaziran akibat kerosakan makanan. Oleh itu, berikut adalah 7 tip penyimpanan daging korban yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
Jangan Masukkan Terus Daging Bersama Plastik Tidak Bersih Ke Dalam Peti Sejuk
Elakkan menyimpan daging terus dalam plastik yang digunakan semasa agihan korban kerana plastik tersebut mungkin tidak bersih dan mengandungi kuman. Gunakan bekas bersih atau plastik pembungkus makanan yang selamat (food grade) sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Buang Bendasing Pada Daging
Sebelum disimpan, pastikan daging dibersihkan daripada bendasing seperti daun pisang, pasir, serpihan kayu atau apa-apa elemen luar yang boleh mencemarkan daging. Proses ini penting untuk mengekalkan kualiti dan kebersihan daging.
Asingkan Simpanan Daging Dengan Makanan Sedia Makan (RTE)
Daging mentah perlu disimpan berasingan daripada makanan sedia makan seperti ais krim, keju, dan makanan yang tidak perlu dimasak. Ini untuk mengelakkan pencemaran silang yang boleh berlaku melalui titisan air daging atau sentuhan tidak langsung.
Simpan Di Bahagian Sejuk Beku
Letakkan daging di bahagian sejuk beku (freezer) dengan suhu -18°C atau lebih rendah. Suhu ini mampu melambatkan pertumbuhan mikroorganisma dan memastikan daging kekal segar untuk tempoh yang lebih lama.
Potong Daging Kepada Bahagian Lebih Kecil
Bagi memudahkan proses memasak kemudian hari, potong daging kepada saiz kecil mengikut kegunaan harian. Kemudian, simpan dalam bekas plastik berpenutup yang selamat dan mudah ditandakan mengikut tarikh atau jenis potongan.
Simpan Dalam Freezer Dengan Segera
Jangan biarkan daging berada terlalu lama pada suhu bilik. Selepas selesai membersih dan membungkus, simpan terus ke dalam peti sejuk beku secepat mungkin bagi mengelakkan daging menjadi rosak atau berbau.

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA’s Facebook Page
Dengan mengamalkan cara penyimpanan yang betul, korang bukan saja menjaga kesihatan keluarga, malah mengelakkan pembaziran hasil ibadah korban. Daging yang disimpan dengan bersih dan selamat akan kekal enak, berkualiti serta sesuai dimasak untuk pelbagai menu sepanjang bulan.
BACA: 7 Petua Lembutkan Daging Tanpa Guna “Pressure Cooker”!
Jangan lupa untuk simpan dan kongsi artikel Cara Simpan Daging Korban ini. Ikuti media sosial Projek Travel untuk lebih banyak info bermanfaat sempena Aidiladha!