Imigresen Malaysia Kenakan Kompaun Warga Asing Tinggal Lebih Masa Mulai Oktober 2025
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mula melaksanakan tindakan kompaun ke atas warga asing yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari di negara ini bermula Oktober depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini bertujuan mempercepatkan proses tindakan undang-undang tanpa perlu melalui prosedur siasatan panjang atau pendakwaan di mahkamah.
Mekanisme Kompaun Baharu
Menurut beliau, sistem kompaun hanya terpakai bagi kesalahan tinggal lebih masa sehingga 90 hari sahaja. Antara butiran kompaun ialah:
- 1 hingga 30 hari: RM30 sehari, maksimum RM900
 - 31 hingga 60 hari: Kompaun automatik RM1,000
 - 61 hingga 90 hari: Kompaun tetap RM2,000
 
Namun, bagi kes tinggal lebih 90 hari, termasuk yang mencecah bertahun-tahun; JIM tetap akan membuka kertas siasatan & membawa kes ke mahkamah.
Percepat Proses Undang-undang
Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, sebelum ini setiap kes tinggal lebih masa memerlukan siasatan serta pendakwaan, yang boleh mengambil masa sehingga 14 hari. Dengan pelaksanaan kompaun, proses ini dapat disingkatkan kepada hanya satu hari. Ia mempercepatkan urusan penghantaran pulang warga asing yang terlibat.
Langkah ini juga dijangka mengurangkan kesesakan di depot tahanan imigresen di seluruh negara. Selain dapay memberi ruang kepada warga asing yang mempunyai alasan munasabah.
Statistik Operasi Imigresen
Sehingga 30 Ogos 2025, JIM telah menahan 35,225 pendatang tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi lebih 9,500 operasi yang memeriksa seramai 152,000 warga asing di seluruh negara.
Dalam tempoh sama, seramai 36,557 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Angka ini tidak termasuk tangkapan terbaharu yang direkodkan tahun ini.
Kes Berkaitan Malaysia–Thailand
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Dalam Negeri turut mengulas mengenai laporan penahanan seorang lelaki rakyat Malaysia di Thailand baru-baru ini bersama dua laras senjata api M16 dan 450 butir peluru.
Hasil siasatan awal, beliau menegaskan kes tersebut tidak berkait dengan sindiket besar atau kumpulan jenayah terancang. Polis Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk meneliti latar belakang suspek.
Baca juga : Malaysia Buka Akses Autogate Departure Untuk 8 Negara ASEAN & Pemerhati
Kesimpulannya, tindakan baharu ini dilihat sebagai usaha kerajaan memperkemas pengurusan warga asing di Malaysia, menyeimbangkan aspek undang-undang, keselamatan, serta kemudahan operasi penghantaran pulang.
👉 Untuk lebih banyak berita semasa dan info menarik, jangan lupa follow Projek Travel di media sosial! Jangan lupa juga untuk simpan & kongsi artikel ini supaya lebih ramai tahu tentang perubahan baharu dari Jabatan Imigresen Malaysia.
Sumber rujukan : m.malaysiakini.com