Kenduri Gaya Kelantan: Fahami warisan budaya Kelantan dari sudut bahasa.
Budaya kenduri dalam masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan nilai tradisi dan identiti setempat, termasuklah di negeri Kelantan yang terkenal dengan keunikan dialeknya. Dialek mereka bukan hanya sekadar bahasa, tetapi nadi kepada budaya yang hidup; terutama ketika berlangsungnya kenduri kahwin, bekwoh, dan pelbagai majlis kekeluargaan yang penuh adat.
Dalam artikel ini, kita akan mengupas beberapa istilah dialek Melayu Kelantan yang sering digunakan ketika kenduri, serta makna dan penggunaannya dalam konteks sosial.
Dialek Melayu Kelantan dalam Budaya Kenduri
1. Bekwoh – Big Work, Big Celebration
Perkataan bekwoh merupakan dialek Kelantan yang membawa maksud kenduri besar, khususnya kenduri kahwin. Secara jenaka, sesetengah masyarakat moden mengaitkan istilah ini dengan frasa bahasa Inggeris “big work“, kerana persiapan kenduri sememangnya memerlukan tenaga & kerjasama yang besar daripada seluruh komuniti.
2. Jokako – Pasukan Penanggah Tradisional
Dalam kenduri di Kelantan, jokako merujuk kepada penanggah, iaitu individu atau sekumpulan orang kampung serta ahli keluarga yang membantu dalam urusan penyajian makanan. Peranan jokako sangat penting dan mencerminkan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Kelantan.
3. Madoh – Menjemput Kenduri Secara Tradisional
Perbuatan madoh bermaksud pergi ke rumah sanak saudara atau kenalan untuk menjemput mereka hadir ke kenduri. Meskipun zaman kini lebih gemar menjemput melalui WhatsApp atau media sosial, amalan madoh masih kekal sebagai simbol kasih sayang & hormat-menghormati dalam masyarakat tradisional Kelantan.
4. Makey Gulaa – Simbol Jemputan Makan Kenduri
Ungkapan makey gulaa dalam dialek Kelantan bermaksud pergi makan kenduri, di mana ‘gulaa’ merujuk kepada ‘gulai’ – makanan utama dalam kenduri. Istilah ini menjadi ungkapan popular apabila seseorang hendak ke kenduri: “Jom makey gulaa”.
5. Blarok – Rombongan Pengantin
Dalam majlis perkahwinan, blarok merujuk kepada rombongan pihak pengantin, biasanya disertai oleh sanak saudara dan jiran tetangga. Ia memperlihatkan kemeriahan suasana kenduri dan semangat kekitaan yang masih kukuh dalam masyarakat Kelantan.
6. Ngeley – Adat Memberi Hadiah
Satu lagi istilah penting ialah ngeley, iaitu pemberian duit sebagai hadiah kepada tuan rumah kenduri, lazimnya dalam bentuk salam kaut. Sebelum menghadiri kenduri, soalan seperti “ngeley ko dok?” akan ditanya sesama kawan, untuk tahu sama ada mereka perlu membawa duit atau tidak. Jika jawab “dok”, bermakna makan sahaja tanpa memberi hadiah. Istilah ini memperlihatkan kehalusan budaya dan kefahaman bersama dalam masyarakat.
7. Siso – Buah Tangan Tuan Rumah
Selepas kenduri selesai, tetamu selalunya dibekalkan dengan siso, iaitu buah tangan yang diberikan sebagai tanda penghargaan. Biasanya berupa telur, siso menjadi simbol kemurahan rezeki dan tanda persaudaraan yang erat antara tuan rumah dan tetamu.
8. Anok Kaso dan Paa – Hantaran Tradisi
Dulang hantaran yang diperbuat daripada tembaga dikenali sebagai anok kaso, manakala paa pula membawa maksud hantaran secara umum. Dalam majlis pertunangan atau perkahwinan, kedua-dua istilah ini sering digunakan dan masih relevan hingga ke hari ini.
Dialek Kelantan dalam konteks kenduri bukan sahaja mencerminkan kekayaan linguistik, tetapi juga menunjukkan cara hidup masyarakat yang menjunjung tinggi nilai gotong-royong, hormat-menghormati & keakraban.
Memahami istilah seperti bekwoh, jokako, ngeley, & lain-lain bukan sekadar mengenali bahasa, tetapi menyelami roh kebudayaan Melayu Kelantan yang masih mekar dalam amalan seharian. Pengetahuan ini penting bukan sahaja untuk generasi muda Kelantan, tetapi juga untuk pencinta budaya seluruh Malaysia.
Suka artikel ni? Simpan, kongsi dan follow Projek Travel untuk lebih banyak cerita budaya dan warisan!
- ITINERARY LABUAN BAJO 7H6M (24–30 MAC 2026)
- Pergi Haji Naik Kapal Laut : Kisah Jemaah Melayu Zaman Dahulu Menempuh Lautan Berbulan-Bulan
- Falsafah Sirih Junjung Dalam Adat Melayu: Simbol Adab, Maruah dan Kesantunan
- Diskaun ETS 30% & Pas ERL Baharu: Jimat Kos Harian
- Komodo Dragon: Fakta “Naga Dunia Nyata” Paling Berbahaya