Maskot Rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026: Wira & Manja

maskot rasmi tahun melawat malaysia 2026
Kongsi Artikel ini

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) atau Visit Malaysia 2026 memperkenalkan sepasang maskot rasmi berupa beruang matahari Malaya yang comel bernama Wira dan Manja. Pelancaran maskot dan logo VM2026 ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 6 Januari 2025 sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

beruang matahari

Pemilihan beruang matahari sebagai maskot adalah simbol komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar, memandangkan spesies ini kian terancam dan kurang dikenali ramai. Pengenalan Wira dan Manja bukan sahaja menarik perhatian umum dengan kecomelannya, malah menyampaikan mesej penting tentang kepelbagaian biodiversiti negara dan kepentingan melindungi khazanah alam semula jadi Malaysia.

Reka Bentuk dan Rupa Fizikal Maskot

Reka bentuk maskot Wira dan Manja berasaskan beruang matahari Malaya yang kecil dan berbulu hitam dengan tanda bulan sabit keemasan di dada (ciri semula jadi spesies ini). Kedua-dua maskot digambarkan dalam gaya animasi yang mesra, ceria dan “lovable” supaya menarik minat pengunjung dari semua peringkat umur.

Maskot visit malaysia 2026

Wira ialah beruang jantan yang mengenakan selendang batik bermotifkan kempen VM2026 di leher serta lencana “Visit Malaysia 2026” pada dadanya. Manja pula beruang betina yang memakai selempang batik melilit tubuh, dihiasi reben batik di kepala, serta memiliki pipi kemerah-merahan yang menambah seri wajahnya.

Corak dan warna batik pada pakaian kedua-dua maskot direka dengan teliti. Ia mewakili lima komuniti budaya utama Malaysia (Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak) sebagai simbol kepelbagaian dan perpaduan nasional. Secara keseluruhan, Wira dan Manja tampil sebagai dua karakter beruang yang comel, bersahabat dan penuh keceriaan, sesuai dengan imej Malaysia sebagai destinasi mesra pelancong.

Nama dan Latar Belakang Maskot

Maskot jantan diberi nama Wira, yang membawa maksud pahlawan atau hero dalam bahasa Melayu. Manakala maskot betina pula diberi nama Manja. Membawa maksud penyayang atau manja. Nama ini mencerminkan sifat mesra dan keakraban yang ingin ditonjolkan oleh maskot tersebut. Wira dan Manja diperkenalkan sebagai pasangan maskot (versi lelaki dan perempuan) untuk melambangkan inklusi dan kepelbagaian dalam kempen ini.

Beruang matahari Malaya dipilih kerana ia spesies unik yang endemik di rantau ini. Haiwan ini sepenuhnya dilindungi di Malaysia (terdapat di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung). Dari segi latar belakang penceritaan, maskot ini digambarkan sebagai “jurutera rimba”. Beruang kecil yang suka madu dan berperanan penting dalam ekosistem hutan dengan menyebar biji benih serta mengawal populasi serangga perosak.

Penciptaan maskot beruang matahari ini juga mendapat sokongan pakar pemuliharaan seperti Dr. Wong Siew Te (Pengasas Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo), yang menyifatkan pemilihan beruang matahari sebagai maskot sebagai langkah bersejarah untuk memperkenalkan spesies “paling kecil dan kurang dikenali di dunia” ini kepada orang ramai, sekali gus menyeru tindakan konservasi yang lebih bermakna.

Pereka dan Organisasi Terlibat

Maskot Wira dan Manja merupakan hasil rekaan pelukis tempatan yang berbakat. Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia, reka bentuk maskot ini dikembangkan secara teliti sebagai ilustrasi asli bukan dijana oleh AI.

Tourism Malaysia menjelaskan maskot ini dicipta sebagai sebahagian daripada identiti visual kempen VM2026. Ia sejajar dengan logo rasmi dan lagu tema, dengan kerjasama rapat antara MOTAC, Tourism Malaysia dan artis tersebut.

Simbolisme dan Maksud di Sebalik Reka Bentuk

Pemilihan beruang matahari sebagai maskot membawa makna simbolik yang mendalam. Beruang matahari Malaya melambangkan kepelbagaian khazanah alam liar Malaysia dan komitmen negara terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar. Tourism Malaysia menyatakan bahawa Wira dan Manja dijadikan ikon rasmi kempen untuk mencerminkan kesungguhan negara dalam melindungi spesies terancam ini. Seraya meningkatkan kesedaran awam tentang isu-isu konservasi seperti kehilangan habitat dan pemburuan haram.

Dari sudut budaya, elemen batik pada pakaian maskot membawa mesej perpaduan nasional dan keharmonian budaya. Corak batik yang mereka kenakan merangkumi unsur dari komuniti Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, menzahirkan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia. Gabungan motif batik ini juga selari dengan rekaan logo VM2026 yang menggunakan tulisan “Malaysia” berinspirasikan ukiran kayu tradisional & bunga raya (bunga kebangsaan). Ini menekankan warisan seni dan budaya tempatan dalam kempen pelancongan ini.

Secara keseluruhan, Wira dan Manja bukan sekadar maskot yang comel. Mereka membawa misi pendidikan dengan memperkenalkan spesies beruang terkecil di dunia kepada pelancong. Di samping menyeru tindakan kolektif untuk melindungi alam sekitar demi masa depan yang lestari. Kehadiran maskot jantan dan betina juga melambangkan inklusiviti (penyertaan kedua-dua jantina) serta kesinambungan generasi. Supaya mesej kempen dapat menambat hati semua lapisan umur dari kanak-kanak hingga dewasa.

Nak tahu lebih banyak cerita menarik tentang budaya, sejarah dan pelancongan Malaysia? Ikuti Projek Travel, tekan save dan share artikel ni supaya lebih ramai dapat manfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *