Resipi Siput Sedut. Dalam masyarakat Melayu, hidangan seperti siput sedut masak lemak cili api memang sudah menjadi warisan turun-temurun. Kuahnya yang pekat, berlemak, pedas, dan harum menggoda selera siapa sahaja. Setiap kali makan besar keluarga, menu ini sering menjadi pilihan kerana rasanya yang unik dan mampu membangkitkan selera dan nostalgia.
Resipi ini memerlukan teknik yang betul supaya hasilnya bukan sahaja sedap, tetapi juga bersih dan sempurna. Jom kita bongkar rahsia, bahan-bahan dan langkah-langkah penyediaannya!
Bahan-bahan (Untuk 4-5 hidangan)
- 700g siput belitung (sedut)
- 4 cawan santan cair (atau 2 kotak kecil santan + air)
- 3 biji bawang merah kecil
- 3 ulas bawang putih
- 1-2 ketul kunyit hidup
- 1 batang serai
- ½ inci halia
- 8-10 tangkai cili padi
- 1 helai daun kunyit
- 1 keping asam keping
- Garam secukup rasa
- Serbuk seasoning (jika suka)
Cara Bersihkan Siput Sedut
- Rendam siput dalam air sampai tenggelam, gosok-gosok kulit untuk buang lumpur.
- Tapis dan bilas dengan air bersih. Ulang 2-3 kali hingga air jernih.
- Rendam siput dalam air garam, tutup selama 30 minit supaya pasir dalam siput keluar. (Ada juga petua gaul dengan kelapa parut semalaman, tapi ini cara cepat.)
- Bilas semula dengan air bersih.
- Potong buang hujung ekor cengkerang (anggaran 3 ruas) supaya senang sedut nanti. Gunting pokok atau pisau potong daging boleh digunakan.
- Celur siput dalam air panas selama 30 saat sambil kacau-kacau, kemudian tos dan ketepikan.
Cara Masak Lemak Cili Api
- Potong kasar cili padi, bawang merah, bawang putih, halia, dan kunyit hidup.
- Kisar bahan ini bersama air hingga halus.
- Sediakan serai: buang hujung akar dan lapisan keras, kemudian titikkan.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk, panaskan sampai naik wap (jangan sampai mendidih).
- Masukkan santan, garam, dan kacau sebati. Untuk rasa lebih lemak, masukkan juga kepala santan (bahagian pekat yang terapung).
- Tambah asam keping, serai, dan koyak masuk daun kunyit. Kacau kerap sampai mendidih.
- Masukkan siput sedut, kacau dalam 5 minit atau sampai mendidih sekali (tak perlu lama sebab siput dah dicelur).
- Perasakan dengan serbuk seasoning atau garam ikut cita rasa.
- Bila dah mendidih sekali, tutup api dan biarkan siput terendam dalam kuah lebih kurang 30 minit supaya kuah meresap.
Petua & Panduan
- Untuk buang pasir dalam siput: Rendam air garam dan tutup selama 30 minit.
- Elak santan pecah minyak: Letak garam semasa mula memasak.
- Lebih berlemak: Tambah kepala santan.
- Kerap kacau: Bila santan mula mendidih, supaya tak pecah minyak.
Resipi siput sedut masak lemak cili api ini memang tak pernah jemu. Dengan ikut langkah-langkah dan rahsia air tangan orang lama, korang pasti boleh hasilkan hidangan yang memikat selera di rumah. Selamat mencuba!
Artikel Berkaitan : Resipi Ketam Masak Lemak Cili Api
Jangan lupa follow Projek Travel di media sosial untuk lebih banyak resipi tradisi, tips menarik, dan artikel budaya! Simpan dan kongsikan artikel Resipi Siput Sedut Masak Lemak ni supaya lebih ramai dapat belajar resipi klasik Melayu kita.